MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

SENI : BIARKANLAH ARTIS WANITA MENYANYI ...



Dalam wawancara Harakah dengan saya tempohari bertajuk, “Biarkanlah artis wanita menyanyi tetapi dengan syarat …” saya berpandangan tak perlu kita menghalang wanita menyanyi bahkan tiada masalah sekiranya lelaki mendengar dan menyaksikan wanita menyanyi dengan syarat-syarat yang tertentu. Saya telah mengemukakan beberapa pandangan ulama yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan aksi tersebut. Saya memilih untuk menerima pakai pandangan yang membenarkan wanita menyanyi di khalayak ramai. (TGNA sedang mencuba permainan snoker setelah sekian lama diharamkan di Kelantan)

Saya bersetuju bukan kerana saya seorang yang suka mendengar lagu. Saya pun tak cukup masa untuk mendengar lagu kerana kesibukan menjaga kawasan di Jerantut sedangkan saya tinggal di Gombak, Taman Melewar. Tambahan pula saya sibuk dengan perniagaan untuk mencari sedikit rezeki harta benda untuk menyara anak isteri dan juga untuk menampung pergerakan saya menjaga kawasan. Di atas kereta pun saya tak minat nak mendengar. Semasa memandu, saya lebih suka berfikir apa yang patut dibuat untuk perniagaan saya dan untuk jamaah yang saya dukungi. Sewaktu memandu, banyak idea yang datang tapi tak boleh nak rekodkan kerana tengah memandu. Macam dalam sembahyang. Banyak idea datang sampai anak kunci hilang pun terjumpa tengah-tengah sembahyang. Tapi, tak boleh nak direkodkan sebab tengah solat.

Jadi.. saya bersetuju kerana ada pendapat yang mengatakan, harus bagi wanita menyanyi di khalayak ramai dengan menjaga adab-adab yang tertentu. Kalau ulama sepakat kata haram maka saya tak boleh nak kata harus. Kaya kena pakai yang kata haramlah.

Ya.. dalam Islam, adab amat dititik beratkan. Bermain badminton dan bolasepak serta menontonnya harus andaikata kita menjaga adabnya yang asas iaitu tidak meninggalkan solat. Kalau tidak, haramlah ia. Bukankah peringkat awal TGNA telah mengharamkan permainan snoker? Tetapi akhirnya TGNA sendiri mencuba permainan snoker setelah dibenarkan kembali oleh pihak Kerajaan Tempatan. Kenapa? Sebab dulunya snoker sinonim dengan judi. Kini, snoker adalah satu permainan untuk ketenangan fikiran dan menjaga kesihatan. Jadi .. TGNA dah ubah aksi ‘snoker haram’ kepada ‘snoker harus’. Mudah dan luaskan Islam ini? Itupun bergantung pada ulama yang menguruskannya. Kalau ulama berfikiran sempit, payah dan sempitlah Islam itu.

Keduanya saya bersetuju bila mana saya lihat dari sudut dakwahnya. Orang muda kadang-kadang rasa was-was nak sokong parti Islam. Mereka takut kalau-kalau mereka tak boleh lagi berhibur. Para artis lagi la takut. Takut kiranya mereka susah nak cari makan. Lagipun itulah kepandaian mereka dalam mencari sedikit wang. Walau pun kita boleh kata, banyak lagi kerja yang boleh dibuat untuk cari makan tetapi nak buat macamana, yang itu saja yang mereka pandai. Lainlah kalau kerja yang mereka buat jelas haramnya sampai tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharamannya.
Jadi ... dari sudut dakwahnya saya bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka boleh terima syarat-syaratnya. Paling tidak kita dapat ‘mengindahkan’ aksi artis semasa di atas pentas serta penyokongnya sekali. Sekaligus sudah tentu ini membuat mereka tidak berbelah bahagi untuk menyokong dan membantu politik Islam sehingga boleh memenangkan PAS lalu dapatlah kita mengurus dan mentadbir dengan acuan Islam.
(Gambar atas : Saya dan TGNA sewaktu dipertemukan oleh PAKSI berkaitan isu wanita boleh menyanyi di khalayak ramai)


Mungkin ada yang berkata, matlamat tidak menghalalkan cara. Ya .. saya bersetuju dengan kaedah feqah itu. Pertama, kaedah itu sesuai untuk perkara yang tiada khilaf pengharamannya. Kedua, persoalannya apakah membenarkan penyanyi wanita menyanyi di khlayak ramai itu dikategorikan sebagai cara tidak halal? Bukankah telah saya pertegaskan bahawa keharusannya bergantung kepada sejauh mana para artis dan penonton mampu menghayati adab-adabnya seperti tidak menari dengan aksi yang mengghairahkan, mesti menutup aurat, senikatanya berunsur nasihat atau penceritaan alam semesta dan menjaga pergaulan bebas.

Bayangkan kalau para artis dan peminatnya meyakini bahawa Islam tidak menghalang mereka menyanyi maka tak mustahil mereka akan berbondong-bondong memberi sokongan kepada PAS kerana mereka pun amat benci kepada UMNO. Saya pernah beberapa kali berjumpa dengan artis lelaki dan wanita terutama selepas saya menyampaikan kuliah di masjid di sekitar Lembah Kelang. (Tak perlu saya nyatakan nama mereka). Saya tanya mereka kenapa tak nak sokong PAS. Mereka kata ‘kami tau UMNO jahat. Kami pun tak sokong mereka. Kami tau PAS baik tapi mereka bawa Islam yang sempit. Semuanya tak boleh. Jadi kami takut nak sokong PAS. Takut tak leh cari makan. Tapi kalau PAS terbuka sikit, kami geng artis ni mesti sokong PAS. Walau pun PAS kata Islam tak cegah hiburan tapi kami sangsi lagi sebab bila ada program hiburan je, Pemuda PAS akan buat bantahan. Jadi, kami konfius (keliru) lah. Banyak kali dah mereka bantah. Sekarang dah ada kerajaan kenapa tak buat konsert yang beradab sopan. Mereka kata kami menyanyi tak ikut adab sopan. Sebenarnya silap tu. Bila kami diundang menyanyi, kami kena ikut kehendak penganjur. Kalau penganjur kata pakai tudung, jangan menari maka kami ikut je lah. Yang penting kami dapat sedikit wang untuk makan minum kami. Kami pun nak sangat buat persembahan depan TGNA. Kalau TGNA benarkan, barulah kami yakin dan rasa PAS ni memang betul-betul tak sekat hiburan. Setakat cakap dalam akhbar (selepas hantar surat bantahan supaya konsert dibatalkan) bahawa PAS tak sekat hiburan, kami tak pakai’.

Kita boleh bayangkan bagaimana tsunami politik telah berlaku apabila pemimpin dan penyokong UMNO berpaling tadah kepada PAS, PKR pada Tahun 1999. Lihat pula satu ledakan politik juga telah berlaku pada Tahun 2008 ekoran ramainya penyokong MIC dan MCA telah menyokong pembangkang.

Sekarang ada dua golongan lagi yang perlu kita ubah dan yakinkan mereka iaitulah golongan artis serta peminatnya dan peneroka FELDA. Sebenarnya ada satu lagi iaitu undi pos. Masalah undi pos, kita biarkan dulu. Jadi ... PAS kena yakinkan golongan artis serta peminat-peminatnya bahawa Islam yang dibawa oleh PAS tidak menghalang sama sekali aktiviti hiburan yang penuh dengan adab sopan. Kalau boleh biar orang sokong PAS bukan kerana benci UMNO sahaja tetapi kerana mereka suka dan yakin pada PAS.

Berbalik kepada persoalan penyanyi wanita yang disiarkan oleh Harakah dalam ruangan polemik maka ianya telah menimbulkan minat di kalangan ahli Persatuan Seniman Islam (PAKSI). Saya dihubungi oleh Sdr. Dinsman untuk mempertemukan saya dengan TGNA bagi membincangkan persoalan tersebut di rumah Kelantan, di Ampang, K. Lumpur. Saya bersetuju lalu pertemuan di atur di sebelah pagi pada 29.11.2008 sebelum TGNA bertolak ke Jerantut bagi merasmikan Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS).

Ikut adatnya saya tidak boleh tinggalkan Jerantut kerana ada 3 program penting yang dilakukan serentak pada sebelah malam hari itu. Program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia, Perasmian KIAS dan Pelancaran Program Jom Sertai PAS Peringkat Kebangsaan. Tetapi bagi menghormati permintaan PAKSI dan saya sendiri nak dengar pandangan TGNA mengenai persoalan wanita menyanyi di khalayak ramai maka saya bersetuju untuk bersama dalam perbincangan tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, wartawan Harakah dan beberapa orang ahli persatuan PAKSI termasuk seorang profesor, hadir sama. Saya berada di sebelah TGNA. Ahli persatuan mengemukakan pertanyaan kepada saya dan TGNA mengenai persoalan wanita menyanyi di khalayak ramai termasuk penonton lelaki. Yang jelas, TGNA memang mesra dengan AJK PAKSI.
(Gambar kiri : Saya, AJK PAKSI, termasuk wartawan Harakah bergambar kenangan dengan TGNA selesai selesai perbincangan)

Mungkin pembaca nak tau apa jawapan dan sikap TGNA dalam kes ini. Saya tidak dapat memberitahu pembaca tentang sikap TGNA dalam masalah ini. Takut sikapnya dah berubah, sebab masalah fekah boleh berubah ikut suasana. Jadi .. seeloknya anda pergilah tanya TGNA sendiri. Biar TGNA sendiri yang memberi pandangannya bukan dari mulut atau tulisan saya, itu lebih selamat.

Tapi cukuplah kalau saya katakan kepada mereka yang berminat nak menganjurkan konsert yang melibatkan artis wanita menyanyi di tempat terbuka yang disaksikan pula oleh kaum lelaki maka anda boleh buat kertas cadangan yang lengkap dan persembahkanlah kepada TGNA. Sekiranya beliau berpuas hati dengan bentuk perlaksanaannya seperti pakaian, jenis lagu, tiada tarian dan tiada percampuran lelaki perempuan maka Insya Allah saya yakin TGNA akan membenarkannya. Anda boleh jemput Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Dato’ Syarifah ‘Aini, Siti ‘Aisyah dan yang lain-lain. Dan pastikan konsert itu pula, perlu dibuat di Kelantan sahaja terlebih dahulu (sebelum dibuat di negeri yang diperintah oleh PR), agar mudah bagi TGNA nak menjawab sebarang kekeliruan yang bakal ditimbulkan nanti. Buatlah semasa TGNA masih MB Kelantan. Bincang elok-elok dengan TGNA. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk Dakwah Islam.

Yang penting, saya mahu orang seronok dan gembira dengan Islam yang di bawa oleh PAS. Saya sentiasa teringat akan hadis yang menyatakan ‘Islam akan diperkukuh dan disokong oleh orang-orang fasik’.

(Saya sedang mencari wawancara Harakah dengan saya tempohari untuk di posting dalam blog ini. Kalau jumpa nanti, saya akan posting Insya Allah).

Nota : Hari Sabtu dan Ahad, saya ada program. So... tak de lah posting yang baru.

Baca Selanjutnya...

TGNA BERTEMU DENGAN TOKOH HINDU SANGGAM



Seperti yang saya katakan, saya melihat antara kelemahan pendakwah atau pendokong jamaah Islam ialah terlalu ramai yang bijak berpidato, pandai berceramah, suka berkuliah dan berusrah tetapi tak ramai yang mengambil langkah mempraktikkan penghayatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Kelemahan ini menyebabkan jamaah jadi kaku, lembab dan sebu. (Gambar Sebelah : TGNA memegang tangan Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia)
Pendakwah sering mengungkapkan ‘Lisaanul haal afsah min lisaanil maqal’ yang bermaksud lebih kurang ‘amal perbuatan itu lebih mudah difahami daripada ucapan lidah’. Sebab itu, di sekolah telah diajar secara praktikal bagaimana cara mengambil wudhu, berbeza pengajaran sebelum ini yang hanya bergantung kepada teori. Semuanya dilakukan untuk mudah difahami oleh anak-anak murid.
Dalam konteks seni dan budaya, saya sebagai YDP PAS Kawasan Jerantut, bersama AJK PAS Kawasan telah mengambil langkah menganjurkan Program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia sempena majlis perasmian Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) yang merupakan pusat aktiviti PAS Kawasan Jerantut. Cadangan saya telah diterima oleh AJK PAS Kawasan namun sebelum itu, berlaku perbincangan hangat mengenai program kesenian dan kebudayaan yang bakal diadakan. Bagi sesetengah mereka, seolah-olah seni dan budaya ini bukan dari Islam atau tidak sesuai dianjurkan oleh Parti Islam.
(Gambar atas : Saya, Dato' Tuan Ibrahim dan En. Balasubramanium sedang bertanya mengenai persembahan tarian klasik India dan nyanyian dari kumpulan rock. Gambar kiri : TGNA sedang melihat gambar-gambar aktiviti PAS Jerantut di rumah Bala) 

Saya jelaskan bahawa seni dan budaya berkait rapat dengan sesuatu bangsa yang diciptakan tuhan. Bangsa itu pula diciptakan Allah swt supaya kita kenal mengenali antara satu sama lain. Kita bukan sahaja perlu kenal bangsa India yang berkulit gelap dan Cina berkulit cerah tetapi kita juga diminta mengenali perkara yang berkaitan dengan bangsa itu sendiri seperti dialek bahasanya, adat resamnya, termasuk seni dan budaya mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Lita’arafu’ atau saling kenal mengenali antara satu sama lain seperti yang terkandung dalam Ayat 13 Surah Al Hujurat.
Penjelasan saya telah dapat meyakinkan mereka untuk bersetuju mengadakan persembahan kebudayaan pada malam perasmian. Lalu ditetapkan tarikh 29.11.2008 sebagai malam perasmian yang akan dipenuhi dengan persembahan kesenian dan kebudayaan Melayu, Cina dan India. Perasmian akan dilakukan oleh Mursyidul ‘Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).
Untuk persembahan Melayu, kita menetapkan paluan kompang mengiringi kedatangan TGNA manakala persembahan tarian singa pula untuk kebudayaan Cina dan India pula tiupan serunai dan paluan gendang. 

(Gambar kanan atas : TGNA, Ust. Ahmad Awang, Dato' Tuan Ibrahim dan saya serta beberapa pimpinan PAS Negeri Pahang termasuk Vicent Lee , Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS (cina) Malaysia, sedang menyaksikan persembahan tarian singa dan paluan gendang India)
Dalam pada itu, timbul satu masalah mengenai 2 permintaan iaitu dari En. Balasubramanium, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Kaum India) Malaysia memohon untuk mengadakan persembahan tarian klasik oleh penari kanak-kanak perempuan. Dan satu lagi, terdapat satu pasukan band terdiri dari anak-anak muda Melayu memohon untuk mempersembahkan muzik rock di hadapan TGNA. Asalnya mereka ini adalah orang UMNO dari sebuah kampung di Jerantut yang majoritinya UMNO. PAS tak pernah menang di situ bahkan sentiasa kalah dengan majoriti antara 500 – 700 undi di setiap kali pilihanraya. Tapi dalam PRU 12, Mac 2008 baru-baru ini, saya sebagai calon Parlimen Jerantut hanya kalah dengan majoriti 60 undi sahaja manakala calon PKR menang dengan majoriti 20 undi. Satu rekod dan sejarah baru tercipta di kampung tersebut. Kenapa berlaku perubahan mendadak?
Antara faktornya ialah kampung tersebut memang meminati program kugiran / muzik. Suatu hari, ketua kumpulan mereka telah bertemu dengan saya memohon untuk membeli 2 alat muzik yang telah ‘uzur’ dan perlu diganti. Budgetnya lebih kurang RM1500. Sebelum saya memutuskan bersetuju memberi sumbangan, saya terpaksa bertanya ilmu saya dari sudut hukum dan dakwah. Maka saya yakin dari sudut hukumnya tiada masalah dan dari sudut dakwahnya, Insya Allah mudah-mudahan mereka menyokong Islam yang saya bawa menerusi PAS, kalaupun tak mahu jadi ahli. Ternyata benar apabila aksi saya itu, diperbualkan di kedai kopi sekitar kampong tersebut bahawa PAS tidak menghalang untuk berhibur. Di situlah timbulnya hasrat mereka nak buat persembahan di hadapan TGNA.
Untuk 2 masalah ini, saya menyatakan di pihak saya, tiada masalah. Cuma saya kena tanya TGNA, apakah beliau bersetuju untuk menyaksikan 2 persembahan itu. Alhamdulillah lebih kurang 2 bulan sebelum program, saya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan En. Balasubramanium  dapat bersembang dengan TGNA semasa kunjungan peribadinya ke Jerantut, sekaligus singgah di rumah Balasubramanium. Kami mengambil kesempatan bertanya sendiri dengan beliau. Dalam pertemuan itu, TGNA telah memberi lampu hijau kepada 2 persembahan itu dengan alasan ‘dakwah’ di mana mereka masih perlu dijinakkan.
Akhirnya berlangsunglah program bersejarah dan cukup hebat pada malam 29.11.2008  itu yang turut dihadiri oleh Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS pada masa itu. Kebetulan pada malam itu juga diambil kesempatan untuk melancarkan Program Jom Sertai PAS Peringkat Kebangsaan yang mana Pahang dipilih sebagai negeri pertama melakukannya.
Dan yang paling menariknya ialah hadirnya Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (PHSM) pada malam tersebut. Kehadirannya semata-mata hendak berjumpa TGNA yang dilihat amat mesra dengan sesiapa sahaja dan amat terbuka dengan penganut agama lain serta kebudayaan mengikut bangsa masing-masing. Sebenarnya TGNA juga agak keletihan namun beliau gagahkan juga untuk datang semata-mata nak berjumpa dengan Penasihat PHSM itu. Seolah-olah pada malam itu,  PAS Jerantut telah berjaya mempertemukan 2 tokoh agama yang berlainan di KIAS. (Gambar atas kiri : tarian singa sedang dipersembahkan)
Cukuplah kalau saya katakan bahawa majlis pada malam tersebut, memberi impak yang besar kepada landskap politik Jerantut dari sudut keterbukaan PAS dengan program kesenian dan kebudayaan antara kaum.  TGNA dilihat membawa Islam yang mudah dan syumul sehingga orang merasa seronok dengan Islam, tidak lagi merasa rimas.  Sesungguhnya Islam perlu diterjemahkan dalam alam praktikal bukan lagi dalam dunia teori dan fantasi. Lebih-lebih lagi kita telah memerintah di empat buah negeri. Praktikkanlah Islam selagi ada kesempatan. Wallahu’alam.
(Insya Allah, posting akan datang saya akan ceritakan pula pertemuan antara saya dengan TGNA yang diatur oleh Persatuan Seniman Islam (PAKSI) di rumah Kelantan , dekat bangunan Tabung Haji, KL pada pagi 29.11.2008 ekoran kenyataan saya dalam Harakah yang menyatakan orang lelaki boleh mendengar dan menyaksikan wanita yang menyanyi)
Baca Selanjutnya...

SENI, BUDAYA DAN TOK GURU NIK AZIZ

Bila Tok Guru Nik Aziz Menonton Filem 'Ketika Cinta Bertasbih 2'

Khabarnya Tok Guru Nik Aziz akan menonton tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ yang akan diadakan di Balai Islam, Lundang pada 28.2.2010 nanti. Kalau tidak kerana saya ada jemputan ceramah Maulidur Rasul di sebuah masjid di Kuantan pada 1.3.2010, nescaya saya jua akan ke sana untuk menontonnya. Bukankah seni boleh menghaluskan jiwa yang kasar. Bukankah jiwa kita semakin hari semakin kasar dan keras kecuali mereka yang memurnikannya dengan zikir dan sekali sekala menyiraminya dengan sesuatu yang ‘berseni’!!?? (Gambar atas : TGNA sewaktu Malam Kebudayaan & Kesenian Rakyat Malaysia di KIAS, Jerantut, yang turut dihadiri oleh Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia. Akan diposting dalam masa terdekat)

Seni ialah sesuatu yang indah dan halus. Memanfaatkan seni seperti bergurau senda dan berhibur dengan nyanyian termasuk menonton filem, boleh menghilangkan kepenatan dan kebosanan. Bukankah Rasulullah saw pernah membantu isteri kesayangannya Aisyah ra ketika hendak menonton aksi kebudayaan masyarakat Arab?? Cuma dulunya menonton secara 'live’ tetapi kini menonton di panggung wayang atau di dewan-dewan besar menerusi filem yang ditayangkan.

Apa pun yang pasti, Tok Guru Nik Aziz (TGNA) telah menjemput Mawi dan menyaksikan sendiri dengan berpakain jubah dan serban. Yang pasti, saya juga mempunyai ceritanya yang tersendiri mengenai Seni, Budaya dan TGNA. Yang pasti jiwa saya lebih suka beraksi dari berteori. Ramai orang suka berteori mengatakan Islam adalah syumul meliputi ibadah, ekonomi, budaya, seni dan politik tetapi kadang-kadang mereka sendiri tak mampu mengurus kesyumulan Islam itu, mengikut kadar kemampuan mereka. Bukan setakat tak mampu malah cepat pula menghukum ini haram dan ini tak betul dan ini pula tak Islamik. Bebeza dengan TGNA, yang membenar bahkan menyaksikan sendiri persembahan kebudayaan dan kesenian sesuai dengan penerangan dan ajaran dalam kuliahnya bahawa Islam adalah syumul.

Seingat saya,TGNA sendiri terpaksa mengadakan satu perjumpaan khas dengan tok-tok guru dan ulama di Kelantan ekoran tindakannya membenarkan Mawi membuat persembahan di Kelantan. Sanggahannya bukan hanya datang dari ulama biasa malah dari ulama dalam jamaah PAS sendiri. Bukankah ulama dan tok-tok guru itulah juga yang menjelaskan bahawa dalam Islam, ada seni dan budaya?

Apa pun yang jelas, saya amat yakin bahawa TGNA bukanlah kepingin sangat nak tengok Mawi dan M. Nasir menyanyi serta menonton tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’. Kita tahu TGNA memang seorang yang berperibadi tinggi, ibadahnya kuat dan zikirnya banyak serta kerjanya sebagai MB Kelantan pun banyak yang perlu diselesaikan. Penting sangatkah hiburan dan tayangan filem bagi seorang yang bernama Tok Guru Nik Aziz yang juga seorang Menteri Besar. Mana mungkin TGNA mahu menyaksikan aksi yang dianggap melekakan itu. Mungkin TGNA boleh buat macam tok-tok guru atau ulama yang lain, yang hanya bersetuju dan membenarkan aktiviti hiburan termasuk tayangan filem tanpa pergi menyaksikan sendiri pertunjukan nyanyian atau tayangan filem. (Gambar di atas : Amy Search dengan rakannya bersama TGNA. Beliau juga pernah jemput TGNA ke restorannya di Wangsa Maju)

Sebenarnya apa yang TGNA ingin beritahu kepada masyarakat ialah hiburan, seni dan budaya tak salah pun dari sudut Islam. Lantas untuk mudah orang faham maka TGNA sendiri yang berada di hadapan pentas di mana Mawi, M. Nasir dan penyanyi jemputan yang lain, menyanyi. TGNA sendiri akan berada di depan layar menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’ dengan berpakaian jubah dan serban. Aksi TGNA ini sudah cukup untuk orang faham dengan sejelas-jelasnya bahawa memang benarlah Islam adalah agama yang syumul meliputi kesenian dan kebudayaan. (Gambar sebelah : TGNA dikunjungi oleh Kartika yang telah dijatuhkan hukuman sebat tetapi sehingga kini belum terlaksana)

Apabila orang melihat aksi TGNA ini maka orang melihat TGNA adalah seorang yang jujur dan benar dalam mempraktikkan ilmunya. Natijahnya orang merasa seronok dan sayang kepada Islam yang selama ini mereka merasa sempit dada dengan Islam yang diajar oleh kebanyakan ustaz atau ulama-ulama. Kenapa? Sebabnya serba serbi semuanya tak boleh. Akibatnya mereka tidak gembira dengan Islam tetapi mereka tetap setia dengan Islam.
Bila dah seronok dengan Islam yang dibawa oleh TGNA maka tak hairanlah bila ramai artis tersohor telah berjumpa dengan TGNA. Mereka rasa TGNA adalah kawan walaupun karekter mereka jauh berbeza dengan TGNA. Kawan yang boleh membimbing menuju ke jalan hidayah. Apabila pemimpin atau pendokong jamaah Islam berjaya menjadi kawan kepada orang-orang yang jauh dari Islam maka itu adalah satu kejayaan dalam dakwahnya. Alangkah bertuahnya Malaysia seandai ulama dan tok-tok guru berfikiran dan berwatak ‘syumul’ seperti TGNA. Setakat ini kita mempunyai ramai ulama’ dan tok-tok guru yang hanya bijak berbicara mengenai Islam yang ‘syumul’ semata-mata

Oleh itu bawalah Islam sesuai dengan keadaan masakini. Insya Allah, saya akan cerita pula mengenai Seni, Budaya, TGNA dan saya dalam posting akan datang..(Gambar sebelah kiri : Dato' Siti Nurhaliza mengunjungi TGNA)

Ini lagu Dato’ Siti Nurhaliza mengenai Budi Bahasa Budaya Kita. Persoalannya apakah suara wanita itu aurat, akan saya bahas dalam posting akan datang atau pembaca boleh cari dalam temubual Wartawan Harakah dengan saya di ruangan polemik pada Tahun 2009.

Baca Selanjutnya...

Bila Orang Yang Dikasihi Menemui Kekasihnya

Teringat saya kepada suasana ketika Allahyarham Dato' Fadhil Nor meninggal dunia lebih kurang 10 tahun yang lalu.

PAS Kawasan Jerantut telah kehilangan seorang petugas yang amat dedikasi, bekerja tidak mengira penat dan lelah bahkan serba boleh. Apabila mendapat berita beliau di hospital, saya terus bergegas dari Kuala Lumpur terus ke Hospital Jerantut. Sampai saja di perkarangan Hospital Jerantut pada 18.2.2010, saya menerima sms menyatakan Sdr. Yazib Sulong, Setiausaha Kerja PAS Jerantut telah kembali ke pangkuan ilahi.

Sukar hendak menceritakan perasaan saya ketika itu. Akhirnya saya tewas juga sehingga mengalirkan air mata, meskipun saya seorang lelaki yang sepatutnya mesti gagah menahan air mata dari mengalir keluar.

Suasana sayu di perkarangan Hospital Jerantut dengan jumlah pengunjung yang ramai sehingga seorang jururawat menyatakan pada saya, jumlah mereka yang menziarahi allahyarham boleh dianggap amat luar biasa bagi mereka, yang sekian lama bertugas di hospital.

Keesokan harinya jenazah allahyarham hendak dikebumikan. Sekali lagi saya menyaksikan betapa ramainya kenalan beliau termasuk Cina dan India yang datang menziarahi allahyarham buat kali terakhir.

Saya teringat apabila lautan manusia mengiringi jenazah allahyarham Dato’ Fadhil Nor tempohari. Semuga Allah swt mengakhiri hidup kita semua dengan kemulian, keampunan dan rahmatNya.

Baca Selanjutnya...

Saluran... Pastikan Jangan Tersumbat (Bahagian Akhir)


Bagaimana Bentuk Saluran Tersumbat Dalam Sesebuah Organisasi & Penyelesaiannya Masakini

Biasanya apabila muncul kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka terhadap mana-mana organisasi maka terpancullah kalimat penyedap dan penyelamat ini dari pimpinan, ‘Sebenarnya kita terbuka. Cuma kita mahu setiap kritikan mestilah ikut saluran’, ‘kita sedia berbincang’ dan macam-macam lagi.

Tegur menegur memang bagus. Kadang-kadang dipanggil ingat mengingati, muhasabah atau nasihat menasihati. Allah swt pernah tegur Nabi saw yang berpaling daripada orang buta kerana memberi perhatian kepada pemuka Quraisy sehingga teguranNya itu terpahat dalam al quran Surah ‘Abasa.

Persoalannya kenapa dewasa kini, kritikan, aduan dan teguran serta pandangan untuk organisasi dibuat secara terbuka. Sebabnya ialah kerana tindakan demikian dilihat lebih diberi perhatian oleh pimpinan organisasi dan keduanya mungkin ‘saluran’ untuk berbuat demikian telah tersumbat atau kabur.

Contohnya baru-baru ini kita lihat bagaimana rintihan isteri yang memohon wang simpanan suaminya (yang menyimpan wang suaminya untuk bekalan hari tua) bagi membiayai kos hospital, tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan walaupun dibuat mengikut saluran. Namun apabila dibuat secara terbuka di media lalu terus diluluskan.

Cadangan dan pandangan serta kritikan terhadap SPR yang dibuat ‘ikut saluran’ tidak mendapat perhatian tetapi apabila ia dibuat secara terbuka dengan mengadakan himpunan ‘BERSIH’, barulah ada sedikit tindakan yang agak positif sehingga pengerusinya bersedia untuk bertemu dengan wakil BERSIH dan parti politik.

Kita juga boleh lihat bagaimana pantasnya pihak-pihak yang berkenaan bekerja menyelesaikan masalah, apabila masalah dan aduan rakyat dibuat secara terbuka di media seperti TV3 dan seumpamanya sedangkan sebelum itu, telah dibuat mengikut saluran, tapi tiada tindakan dan tidak berbekas.

Begitulah perbezaan antara kritikan, aduan, teguran atau mengemukakan pandangan yang dibuat ‘secara terbuka’ berbanding dengan ‘ikut saluran’.

Tetapi sekiranya organisasi tersebut mempunyai mekanisma yang baik dalam menerima aduan dan kritikan serta pandangan ahli maka saya yakin tiadalah aksi ‘secara terbuka’ yang amat tidak disukai oleh pimpinan organisasi. Lebih selamat lagi sekiranya pimpinan organisasi bertindak pantas dengan mengambil tindakan segera menyelesaikan aduan atau kritikan yang ditimbulkan ahli bawahannya.

Hayatilah kisah Saidina Umar r.a dalam menangani aduan penduduk Himsh yang mana Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Umar r.a sebagai gabenor mereka. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar r.a mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin ‘Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya Ya Umar :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan atau menyelesaikan masalah kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar r.a memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’, dengan harapan agar setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab, Wahai Umar, saya rasa tak wajar saya menceritakan masalah peribadiku namun kerana adanya aduan maka aku terpaksa menjelaskannya.

1. Wahai Umar, saya tidak menerima kunjungan tetamu pada waktu malam kerana saya telah jadikan waktu malam untuk Allah sedangkan waktu siang hari untuk manusia/rakyat jelata.

2. Wahai Umar, saya sering datang lewat ke pejabat kerana saya tidak mempunyai orang gaji maka saya sendirilah yang menguli tepung gandum sehingga ia mengembang lalu dibakar untuk diberi makan kepada keluarga aku. Setelah siap menyediakannya barulah aku keluar ke pejabat yang kebiasaannya telah hampir waktu tengahari.

3. Wahai Umar, saya hanya mempunyai sehelai sahaja baju untuk dipakai. Dalam sebulan ada satu hari saya membasuh pakaianku itu. Saya tunggu pakaian itu kering barulah saya pergi ke pejabat.

4. Wahai Umar, sewaktu saya masih kafir, saya pernah menyaksikan seorang sahabat Nabi saw bernama Khubaib bin ‘Adiy,yang menerima siksaan dari Orang Kafir Quraisy yang telah mencederakan tubuhnya di hadapanku namun aku tidak menolongnya. Apabila aku teringat akan peristiwa itu, tak semena-mena aku rasa terkilan dan terasa berdosa. Sebab itulah aku keluar dari majlis.

Kisah ini mempunyai banyak pengajarannya. Antaranya ialah :

1. Aksi Saidina Umar r.a yang berusaha membuat lawatan ke Himsh menggambarkan sikap ambil berat pemimpin terhadap setiap aduan atau masalah yang ditimbulkan lalu menyelesaikannya dengan pantas agar api fitnah tidak terus menyala.

2. Aksi sedemikian juga menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a berusaha untuk mendengar sendiri aduan rakyat tanpa mengutus wakil sebagai ‘orang tengah’. Kerana kadang-kadang orang tengah banyak menyembunyikan fakta dan realiti sebenar yang boleh menjejaskan kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu daripada sampai ke pengetahuan ketua.

3. Apabila ada aduan yang berupa dakwaan maka Saidina Umar r.a menunjukkan keadilannya dengan memberi peluang kepada Said bin ‘Aamir untuk menjawab segala dakwaan/aduan dari rakyatnya secara terbuka. Manakala dakwaan dan jawapan itu pula dibuat di hadapan rakyat jelata agar rakyat sendiri dapat menilai penjelasan yang sebenar dari kedua-dua belah pihak.

Sehubungan dengan itu kita melihat bahawa ada organisasi yang pemimpinnya berjiwa besar, sanggup bersemuka dengan orang bawahannya secara terbuka asalkan ianya dapat menyelesaikan masalah sehingga membawa ketenangan dan kebaikan kepada organisasi yang dipimpin agar organisasinya mantap dan terus kukuh.

Walau bagaimanapun, menyelesaikan masalah samada berupa aduan, kritikan, teguran dan cadangan, boleh juga dibuat dengan mengikut saluran sekiranya itu satu kaedah yang berkesan bahkan sememangnya itu adalah kaedah yang lebih beradab dan berakhlak.

Namun, kenapakah wujud kritikan, teguran dan pandangan yang dibuat secara terbuka oleh ahli atau anggota terhadap satu-satu organisasi yang dianggotainya sedangkan saluran untuk berbuat demikian telahpun disediakan? Banyak sebabnya. Antaranya ialah kerana disebabkan saluran yang disediakan itu, didapati tersumbat atau kabur. Apakah bentuk-bentuk saluran yang dikatakan ‘tersumbat’ yang biasanya berlaku dalam sesebuah organisasi? Antaranya ialah :

1. Pemimpin organisasi samada yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan seumpamanya bersikap diktator atau bahasa mudahnya disebut ‘tak nak dengar cakap orang lain’. Atau …

2. Pemimpin bersifat terbuka tetapi orang di kiri kanannya pula (samada setiausaha organisasi atau PA/setiausaha peribadi) yang menyekat maklumat dan kritikan, teguran dan pandangan dari sampai ke pengetahuan pemimpin. Atau …

3. Pemimpin bersifat terbuka tetapi gaya dan penampilannya pula tidak mesra sehingga orang merasakan beliau seorang yang susah bergaul apatah lagi hendak mendengar aduan dan masalah. Atau …

4. Dalam mesyuarat tiada ruang yang cukup untuk mengemukakan pandangan, kritikan, teguran atau muhasabah. Atau ..

5. Ada ruang yang cukup dalam mesyuarat untuk berbuat demikian tetapi pengerusi mesyuarat atau pimpinan kanan organisasi bersifat ‘suka potong cakap’ ahli mesyuarat. Atau …

6. Kritikan, aduan, teguran dan pandangan telah dibuat mengikut saluran organisasi menerusi setiausaha oraganisasi atau setiausaha ketua jabatan tetapi ianya tidak dipanjangkan atau diistilahkan sebagai 'dibakul sampahkan' kerana mungkin kritikan, aduan, teguran serta pandangan itu menyentuh hal peribadi setiausaha atau rakan-rakan setiausaha atau pimpinan yang boleh dirumuskan sebagai menyentuh kepentingan mereka yang berkepentingan. Atau …

7. Tiada ketelusan di pihak pengurusan organisasi di mana mereka yang mengemukakan aduan secara resmi dengan mengikut saluran akan dipandang serong atau diboikot bahkan mungkin terpencil dari organisasi. Atau …

8. Sikap tidak mengambil berat pimpinan terhadap kritikan dan cadangan walaupun ia dikemukakan mengikut saluran utama organisasi seperti di dalam mesyuarat agung tahunan atau muktamar.

Ini adalah bentuk-bentuk yang boleh dianggap ‘saluran tersumbat’ yang saya rumuskan dalam beberapa seminar yang pernah saya 'handle / uruskan' untuk kakitangan kerajaan dan swasta. Rumusan di atas dipersetujui dan diperakui oleh peserta yang hadir sebagai antara sebab kenapa mereka memendam rasa atau mereka membuat kritikan secara terbuka di dalam blog atau membuat surat layang.

Untuk menjadikan kritikan, teguran dan pandangan itu positif, bermanfaat dan berguna bagi merubah organisasi sehingga menjadi sebuah organisasi yang cemerlang maka diperturunkan beberapa cadangan berikut :

1. Pemimpin organisasi yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan barisan pemimpinnya hendaklah jujur dalam menerajui organisasi lebih-lebih lagi organisasi yang bernama jamaah atau gerakan Islam. Rasa jujur dan bertanggungjawab juga hendaklah ada di jiwa petugas organisasi yang berhubung kait dengan pemimpin seperti setiausaha, setiausaha kerja, PA/setiausaha peribadi dan seumpamanya.

2. Ruang untuk menyuarakan pendapat atau muhasabah hendaklah dibuka sebaik mungkin agar ahli atau AJK Tertinggi Organisasi dapat meluahkannya dengan penuh tanggungjawab tanpa halangan dari pengerusi/presiden dan pimpinan kanan organisasi.

3. Menyediakan mekanisma terkini dalam menerima aduan dan cadangan dengan menerima pakai aduan, kritikan atau teguran serta cadangan yang dibuat menerusi e-mail dan sms. Sistem e-mail dan sms bolehlah dianggap sebagai bank aduan dan cadangan. Alamat e-mail dan nombor untuk sistem sms hendaklah diberitahu kepada ahli bawahan.

Mekanisma ini telah diterima pakai sebagai sah oleh kebanyakan jabatan kerajaan termasuk bank-bank yang amat mengambil berat mengenai kebertanggungjawaban dan kesahihan. Aduan dan cadangan menggunakan surat yang mesti bertandatangan sudah boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Bukankah kita pernah menerima e-mail atau sms dari pihak-pihak tertentu dan ianya dianggap sah termasuk surat yang tertulis “Surat ini adalah cetakan berkomputer dan tidak memerlukan tandatangan”?.

4. Menubuh Jawatankuasa Urusan Aduan & Cadangan Ahli (JUADAH) yang dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan dalam organisasi. Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang tidak berada dalam struktur organisasi.Orang yang tidak berada dalam organisasi, mereka tiada tugas yang spesifik. Orang yang tiada tugas, biasanya tiada kerja organisasi dan bila tiada kerja maka mereka adalah bebas dari melakukan kesalahan berorganisasi. Ini berarti mereka adalah bebas dari kritikan dan aduan.

5. Tugas JUADAH ialah :

a. Menerima aduan dan cadangan-cadangan dari ahli menerusi sumber yang sah samada menerusi surat, e-mail atau sms.

b. Meneliti dan menyerah aduan atau cadangan yang diterima, kepada AJK Tertinggi Organisasi untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkaitan dengan aduan atau cadangan. Umpamanya aduan yang berkaitan dengan lajnah atau biro ekonomi hendaklah diserah kepada pengerusi lajnah atau biro terbabit. Aduan yang berkaitan dengan organisasi hendaklah diserah kepada Pengerusi atau Presiden atau Setiausaha Agung Organisasi terbabit untuk dibincang dalam AJK Tertinggi.

c. Memberi tempoh yang cukup kepada AJK Tertinggi Organisasi atau lajnah/biro yang berkaitan dengan aduan atau cadangan itu, untuk memberi respon atau mengambil tindakan terhadap aduan dan cadangan tersebut.

d. Memaklumkan kepada pengadu status tindakan terhadap aduan dan cadangan yang telah atau yang akan diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap aduan atau cadangan tersebut.

Yakinlah bahawa seandainya saluran untuk membuat kritikan, teguran dan mengemukakan cadangan disediakan secara sistematik dan diurus dengan jujur, penuh tanggungjawab maka sesuatu organisasi itu akan terhindar dari fitnah ‘peperangan alam maya’ dengan menggunakan senjata blog. Dan kalau pun ada, mungkin ianya boleh diklasifikasikan sebagai ‘peluru sesat’.

Seperkara yang harus diingat kepada pemimpin organisasi, jangan sama sekali berlaku tidak adil atau melakukan kezaliman apabila menerima aduan. Jangan jadi seperti orang yang membuat lapuran polis lalu pelapurnya yang disiasat, bukannya apa yang dilapurkan.

Sebagai seorang mukmin apatah lagi mukmin yang berada dalam organisasi jamaah atau gerakan Islam, hendaklah kita sentiasa merasakan seolah-olah kita melihat Allah dan kalau perasaan sedemikian tidak dirasai di hati dan jiwa kita maka sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat kita.

Ingatan saya ini adalah untuk saya, para pemimpin jamaah Islam dan penyokong-penyokong yang aktif menulis blog. Wallahu ‘A’lam.

Insya Allah, blog baru akan saya sentuh cerita panjang mengenai Said bin 'Aamir, kenapa Saidina Umar melantiknya sebagai gabenor. Saya akan posting pada hari Isnin Insya Allah.
Baca Selanjutnya...

Saluran .. Pastikan Jangan Tersumbat (bah. 1)

‘Seandainya kamu menyeleweng nescaya kami akan membetulkan kamu dengan ‘blog’, wahai Saidina Umar’.

Gambar hiasan : Berbincang merancang dan menyelesaikan masalah ikut saluran

Mana-mana organisasi samada yang bersifat gerakan Islam mahupun ‘organisasi biasa’, semuanya terdedah kepada masalah. Kebiasaannya, semua masalah dilihat ‘negatif’ tetapi ianya adalah ‘positif’ bagi mereka yang bijaksana dalam mengurus dan mengolah masalah. Sebab itu kita sering mendengar ungkapan dari pakar motivasi yang berbunyi ‘kegagalan itu adalah sumber kejayaan’. Bukankah kegagalan itu dianggap sesuatu yang negatif?

Dalam organisasi, antara masalah yang sering timbul ialah wujudnya ahli yang mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap organisasi yang dianggotainya secara terbuka lebih-lebih lagi dalam dunia blog yang beroperasi tanpa wayar.

Kadang-kadang mengkritik, menegur dan memberi pandangan secara beradab dan ‘ikut saluran’ masih dianggap satu masalah oleh sesetengah pimpinan organisasi apatah lagi jika ianya dibuat secara terbuka. Kalau ada di kalangan pimpinan beranggapan mengkritik, menegur dan memberi pandangan itu satu masalah maka itu menggambarkan organisasi itu ‘sudah jumud’. Berada dalam organisasi yang jumud amatlah rugi dan merugikan.

Apa yang perlu dalam menangani masalah kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka ini ialah memperkemaskan ‘sistem saluran’ bagi menyalurkan kritikan, teguran dan pandangan secara aman, beradab dan bersopan. Seandainya sistem saluran tidak dibaiki dan diubahsuai, sesuai dengan masa kini maka organisasi akan terus bergelora. Kita akan menyaksikan, suasana ahli bawahan akan terus menerus mengkritik, menegur dan memberi pandangan secara terbuka, tidak mengikut saluran. Hal yang sama juga akan berlaku di pihak pimpinan, di mana mereka akan terus mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap ahli bawahannya secara terbuka, tidak ikut saluran. Akhirnya berlakulah ‘tembak menembak’ di alam maya antara pimpinan dengan ahlinya. Yang pasti dalam situasi begini, pimpinan sentiasa dilihat betul kerana mereka adalah pimpinan dan ahli pula tetap dilihat bersalah, tak ikut saluran kerana mereka adalah ahli bawahan. Semuanya ini berlaku kerana sistem saluran yang kabur dalam organisasi tersebut. Justeru itu sistem saluran harus diperkemas dan diperjelaskan kepada ahli bawahan dan juga pimpinan organisasi.

Perkara kedua yang perlu ada bagi mengatasi masalah kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka ialah kejujuran samada di pihak pimpinan dan juga ahli bawahan. Kedua-dua pihak hendaklah jujur untuk membangunkan organisasi yang dianggotainya lebih-lebih lagi jika organisasi itu adalah sebuah jamaah Islam. Kedua-dua pihak hendaklah merasa takut pada Allah swt dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Harus diingat, tanggungjawab bukan hanya terpikul di bahu pimpinan tetapi ia juga di bahu anggota atau ahli.

Di pihak pimpinan, hendaklah ia jujur menerima dan memberi perhatian terhadap setiap kritikan, teguran dan pandangan dari ahli bawahan sekiranya ia benar walaupun ianya mungkin terkena pada diri sendiri. Di kala inilah para pimpinan harus sentiasa ingat akan kata-kata yang sering bermain di bibirnya ketika berceramah, berkuliah dan berusrah iaitu ‘Pedang inilah wahai Umar yang akan membetulkan kamu, jika kamu menyeleweng’. Ungkapan ini sering bermain dibibir apabila diamanah sebagai pemimpin setelah dipilih oleh perwakilan.

Seandainya pimpinan jamaah Islam tidak sanggup dikritik, ditegur dan diberi pandangan, usahlah menyebut ungkapan di atas lagi sebagaimana tak wajarnya kita membaca Surah Al Asr di akhir majlis sedangkan setiap program hatta mesyuarat sekalipun, kita jarang menepati masa. Hendaklah kita merasakan bahawa kita berdosa kerana bercakap perkara yang kita sendiri tak buat.

Simboliknya zaman dahulu orang popular dengan ‘pedang’ untuk membetulkan sesuatu perkara. Namun kini orang hanya menggunakan ‘blog’ untuk menegur dan mengkritik serta memberi pandangan dalam organisasinya. Inilah ‘pedang’ untuk membetulkan pimpinan mana-mana organisasi di masa kini. Seandainya pedang alam maya ini tidak diiktiraf oleh pimpinan organisasi masa kini lebih-lebih lagi organisasi Islam yang bernama jamaah Islam, NGO Islam atau gerakan Islam maka mereka akan dilihat dan dianggap masih hidup di zaman primitif.

Seandainya Saidina Umar ra masih ada pada hari ini nescaya akan ada orang yang berkata ‘seandainya kamu menyeleweng nescaya kami akan membetulkan kamu dengan ‘blog’ wahai Saidina Umar’. Pastinya Saidina Umar akan bersyukur kerana ada orang yang berani menegurnya walaupun ia seorang yang garang dan tegas.

Di pihak orang bawahan pula hendaklah mengemukakan kritikan, teguran dan pandangan mengikut saluran, dengan penuh jujur dan taqwa semata-mata untuk kebaikan organisasinya. Jagalah adab dan tatasusila ketika menyusun dan merakamkan ayat-ayat di dalam blog.

Ya... apabila hendak mengkritik, menegur memberi pandangan ‘ikut saluran’ dengan penuh adab sopan maka timbul persoalan, saluran manakah harus diikut?

Insya Allah…akan datang saya akan mencadangkan saluran yang sesuai dengan masa kini untuk diamalkan oleh mana-mana organisasi agar tidak timbul suasana huru hara dalam organisasi. Saya juga akan kupas kenapa ahli suka buat kritikan, teguran dan memberi pandangan secara terbuka berdasarkan rumusan yang saya buat sewaktu mengendalikan kursus organisasi ‘kepejabatan’ yang tidak jauh bezanya dengan organisasi ‘pertubuhan’.

Saya akan menjadikan kisah Saidina Umar ra dengan Said bin ‘Aamir di bawah sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah beroganisasi.

‘Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Saidina Umar ra sebagai Gabenor di Himsh. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar ra mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar ra memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’ mengharapkan mudah-mudahan setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab :

(Jawapan dan pengajarannya dalam konteks aduan masalah, akan dinukilkan dalam posting akan datang)
Baca Selanjutnya...

YB KHALID DAN YB. DATO' DR HASAN.. BERSATULAH..!!!

Bersegeralah Memilih Untuk Ke Tengah Syurga

Nabi bersabda dengan maksudnya “Aku memberi jaminan kepada mereka yang meninggalkan pertengkaran sedangkan ia berada di pihak yang betul, maka akan ditempatkannya di tengah-tengah syurga. Dan sekiranya ia meninggalkan pertengkaran sedangkan ia memang bersalah maka akan ditempatkannya di tepi syurga.”

Hadis ini menggambarkan isi hati Nabi saw yang mahukan umatnya menjauhi aksi suka bertengkar. Pertengkaran boleh mengeras dan menjauhkan hati sesama insan. Sudah tentu kita tidak mahu kita berjauh hati sesama sahabat yang berada dalam wadah dan jamaah yang sama. Pecah hati bukan sahaja menyegarkan kebencian dan menjarakkan ukhuwah malah melemahkan parti dan jamaah.

Hasan Al Banna pernah mengungkapkan bahawa beliau tidak takut kepada Inggeris dan Amerika yang merupakan 2 kuasa besar ketika itu tetapi beliau hanya takut kepada 2 perkara yang lain iaitu takut sekiranya kita jauh dari Allah lalu Allah swt akan jauh dari kita lantas sukarlah kita untuk mendapat pertolongan dariNya. Kedua, beliau takut berpecahnya hati mereka yang berada dalam saf jamaah lantas jadilah kita sebagai anggota parti dan jamaah yang lemah.

Kalau hati dah pecah maka kumpullah segala harta kekayaan nescaya tidak mungkin sama sekali kita mampu menyatu dan melembutkan hati-hati tersebut. Hanya keinsafan, kejujuran dan ketaqwaan serta sifat rendah diri (tawadhu) sahaja yang boleh melunturkan jiwa yang telah hancur dek perbalahan dan persengketaan.

Kalau orang yang meninggalkan pertengkaran itu, Rasulullah jamin akan berada di tengah syurga (kalau ia di pihak yang benar) dan di tepi syurga (kalau ianya di pihak yang salah) maka ini menunjukkan Nabi saw tidak 'gembira' dengan orang yang suka bertengkar. Sekaligus menunjukkan Rasulullah saw amat menyintai dan kasih kepada orang yang meninggalkan pertengkaran. Kalau begitu keadaannya alangkah mulianya orang yang merendah diri dengan memujuk dirinya supaya tidak bertengkar walaupun dia benar.

Pertengkaran jangan dilihat bertengkar sampai tegang urat saraf tetapi pertengkaran dalam bentuk moden ini ialah pertengkaran dalam blog sampai tegang urat jari-jemari. Pertengkaran juga boleh ditafsirkan pertembungan antara dua kumpulan disebabkan pertikaian terhadap sesuatu perkara.

Orang yang bertengkar dan berselisih faham biasanya hilang kedamaian dalam hatinya. Dirinya tau bahawa hati yang damai itu adalah nikmat dan ia pernah beberapa kali mengecapi nikmat kedamaian dan ketenangan hati. Bila bertengkar, hatinya menjadi kelam kabut dan gundah gulana serta berserabut sehingga ia terlupa akan nikmat kedamaian yang pernah dikecapinya itu. Justeru itu, perlu ada orang menyedarkannya bahawa pilihlah kedamaian dengan meninggalkan pertengkaran, perbalahan dan permusuhan.

Orang yang bertengkar dan bermusuh, bila ia berdamai bukan sahaja diri dan jiwanya akan menjadi damai tetapi orang lain, anak beranak dan yang lebih penting sahabat-sahabat seperjuangan turut sama merasai kedamaian. Kalau mereka berpelukan kerana bermaafan, mungkin air mata mereka akan gugur jua ke lantai. Setiap kali air mata keluar dari kelopak mata, biasanya hati akan terus menjadi damai, puas dan terasa nikmat kasih sayang. Bukan mereka yang berdamai sahaja yang menangis kerana bersyukur atas nikmat kasih sayang 'fillah' itu malah orang yang menyaksikannya jua pasti akan turut sama menitis air mata kegembiraan.

Oleh itu saya mencadangkan kepada YB. Khalid Samad agar memujuk hati dengan memilih jalan untuk berdamai demi mencari erti ‘nikmat damai’ yang menjadi impian semua insan. Insafi diri yang ingin mencari redha ilahi lalu ingat akan jaminan Nabi saw yang mana Allah telah sediakan syurga di tengah-tengahnya bukan lagi ditepi.

YB. Khalid akan dilihat seorang yang berjiwa besar sekiranya sanggup berjumpa dengan YB. Dato’ Hasan Ali, untuk mohon maaf atas apa yang telah berlaku. Kenapa YB. Khalid harus memulakannya dulu? Ya. Siapa dulu, kita tak kesah. Bukankah Allah swt suka orang yang tawadhu’. Seandai YB. Khalid merasa di pihak yang benar maka lagi lah Allah swt suka dan kasih kepada orang yang benar tetapi merendah diri dan tawadhu dengan memulakan aksi ‘mohon maaf’ dengan sahabatnya. Lagipun, walau apa jua keadaan, YB. Dato’ Dr. Hasan Ali adalah Ketua PAS Selangor. Selagi seseorang itu bernama ‘ketua’ selagi itulah ahli di bawah kena ada perasaan hormat. Tetapi Allah swt juga akan ‘respect’ kepada ketua yang tawadhu’. Ketua yang merendah diri mungkin akan mengambil keputusan bermaaf-maafan dengan orang bawah. Bukan senang ‘orang atas’ hendak minta maaf dengan ‘orang bawah’.

Seandainya kedua-dua sahabat seperjuangan ini dapat memujuk diri untuk bersifat tawadhu’ dengan saling bermaaf-maafan nescara ribuan malaikat akan turun ke bumi melimpahkan rahmat ilahi kepada mereka berdua. Pastinya Allah swt menyediakan tempat kepada mereka di tengah-tengah syurga atas jaminan Nabi saw. Tentunya Nabi saw senyum gembira kepada mereka berdua yang telah merebut jaminannya itu. Beruntunglah sesiapa saja yang dapat mengembirakan Nabi saw.

Saya cadangkan juga majlis maaf bermaafan itu diadakan di hadapan Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dihadiri oleh wakil akhbar terutamanya harakah. Siaran akhbar penting dalam dunia sekarang sebagai memaklumkan kepada ahli bahawa tidak ada lagi apa-apa yang perlu dikritik dan juga dianalisa mengenai isu disiplin. Siaran akhbar bukan bermaksud hendak menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada nak menutup berbuatan fitnah memfitnah khususnya di alam maya (blog).

Selain daripada itu, selepas majlis tersebut diadakan, saya juga mencadangkan agar YB. Khalid membuat rayuan agar diringankan hukuman daripada 6 bulan kepada ‘diberi amaran’. Bersangka baiklah kepada AJK PAS Pusat, mudah-mudahan akan ada pertimbangan lain yang difikirkan sesuai setelah meneliti rayuan YB. Khalid.

Membuat rayuan bukan bermakna YB Khalid mengakui akan kesalahannya tetapi ianya lebih kepada sikap mengambil peluang mengikut prosedur disiplin parti. Mana-mana perundangan sehingga ke mahkamah sekalipun, rayuan diperuntukkan dan mereka yang dihukum hendaklah mengambil peluang dari ruang tersebut. Samalah seperti YB. Dato' Seri Nizar yang membuat rayuan yang berakhir dengan keputusan yang telah kita maklumi bersama.

YB Khalid harus pandang kepada mereka yang mengharapkan aksi YB digelanggang parti dan politik tanahair. Jangan hampakan sokongan dan harapan sahabat-sahabat. Jadikan hukuman sebagai pengajaran. Usahlah difikirkan ia betul atau pun tidak. YB. Khalid bukan YDP PAS Kawasan yang berada dipinggiran tetapi YB Khalid adalah YDP Shah Alam. Bandar Shah Alam tak sama dengan Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar dan seumpamanya. Rakyat Shah Alam memerlukan khidmat YB sebagai ahli Parlimen Shah Alam manakala ahli parti pula memerlukan khidmat YB sebagai YDP sepanjang masa.

Kenapa kita mahu YB. Khalid dan YB. Dato’ Hasan Ali bersatu kembali dengan melupakan sengketa lama. Sebabnya mereka berdua adalah tokoh yang mempunyai kelebihan masing-masing. YB. Khalid sudah teruji dengan mehnah tetapi terus jua berjuang dalam parti walaupun terpaksa pula berhadapan dengan ‘kerenah’ dalaman. Begitu juga YB. Dato’ Hasan Ali tak kurang juga pengorbanannya sebagai seorang pakar motivasi walaupun kehadirannya di tengah-tengah perjalanan perjuangan.

Seandainya 2 tokoh ini bersatu hati, melangkah ke hadapan membawa panji Islam yang bernama PAS nescaya UMNO/BN akan terus lemas. Islam yang dibawa oleh PAS akan terus mara menuju puncak khususnya di Negeri Selangor. Andai 2 tokoh ini bersatu nescaya akan menangislah syaitan-syaitan kerana gagal memecahbelahkan jamaah Islam sebagaimana menangisnya syaitan apabila melihat sepasang lelaki dan wanita bersatu secara sah mengikut kehendak Allah swt dan petunjuk Rasulullah saw.

Tetapi alangkah ruginya Islam sekiranya 2 tokoh ini terus menerus berada dalam keadaan seperti sekarang ini. Betapa sedihnya Rasulullah saw kerana 2 tokoh yang baik ini sepatutnya menumpukan perhatian kepada musuh sebenar iaitu UMNO/BN. Pastinya Rasulullah saw menangis sekiranya baginda menyaksikan situasi ini sebagaimana telah menangisnya hati-hati sahabat yang mencintai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah.

Sesungguhnya di belakang YB. Khalid ada penyokong, begitu juga di belakang YB. Dato’ Dr. Hasan Ali juga ada penyokong maka bersatunya YB. Khalid dengan YB Dato’ Dr. Hasan Ali bererti 2 gerombolan Islam akan bersatu, menghadapkan wajah pada Allah swt memohon kekuatan untuk berhadapan dengan musuh yang bencikan kebaikan dan makruf. Apakah ada di sana sahabat-sahabat yang tidak suka kepada penyatuan ini? Pastinya semua mengharapkan sesuatu yang ajaib akan berlaku kepada 2 tokoh yang kita sayangi ini.

Ya Allah ! Saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan isihatiku ini yang juga isi hati pencinta perjuangan Islam, yang mahu melihat kekuatan Islam di dalam kekuatan ukhuwah. Ya Allah, satukanlah kembali hati pendokong-pendokong jamaah Islam PAS. Ya Allah, janganlah hina kami dengan perpecahan hati. Ya Allah, limpahi hati kami dengan nikmat Iman dan kasih sayang. Amin…!!!
Baca Selanjutnya...

Kadang-kadang Budibicara Perlu Digunakan Dalam Menyelesaikan Masalah

Satu Catatan Pengalaman ...

Ditakdirkan Allah, saya telah diamanahkan oleh ahli PAS Jerantut untuk menjadi YDP PAS Kawasan bermula 2007 hingga kini. Semasa mula memikul amanah tesebut telah berlaku beberapa kes yang menguji saya yang masih baru dalam memimpin PAS Jerantut.

Antara kesnya ialah ada seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat PAS Kawasan melebihi 3 kali berturut-turut tanpa makluman. Ikut perlembagaan, ia wajar digugurkan. Maka dalam mesyuarat, telah dibangkitkan kes AJK tersebut oleh salah seorang AJK Pas Kawasan. Lalu mesyuarat memutuskan bersetuju untuk menghantar surat tunjuk sebab, kenapa beliau tidak boleh digugurkan dari jawatan tersebut.

Saya juga turut bersetuju tetapi saya memohon pada mesyuarat agar surat tunjuk sebab itu, biarlah saya sendiri yang tulis. Bukan tak percaya pada Setiausaha PAS Kawasan tetapi saya lebih berpuas hati sekiranya AJK tersebut ‘mengamuk’ kepada saya yang mana ayat-ayat dalam surat itu ditulis sendiri oleh saya. Saya tentu terkilan dan kecewa sekiranya AJK tersebut ‘marah-marah’ kat saya setelah membaca surat tunjuk sebab, sedangkan surat itu bukan saya yang tulis. Maklumlah dalam beroganisasi, sekiranya ada apa-apa yang orang tak puas hati maka ‘ketua’lah yang akan dipersalahkan. Justeru itu, saya susun sebaik mungkin ayat-ayat dalam surat tersebut dengan harapan hatinya lunak, sejuk dan tak berang setelah membacanya.

Alhamdulillah, beliau respon dan menjawab surat tersebut dengan baik dan akhirnya beliau konsisten dengan mesyuarat. PAS Kawasan tak jadi menggugurkan beliau dan beliau juga tidak berhasrat untuk meletak jawatan bahkan beliau komited pula dengan mesyuarat. Syukurnya saya pada Allah swt pada waktu itu, hanya Allah saja yang tahu.

Kenapa saya kata begitu..!! Sebabnya AJK yang berkaitan, silap haribulan, parti (PAS Kawasan Jerantut) boleh bergelora dibuatnya.

Selepas beberapa bulan, saya diuji lagi bilamana mesyuarat membangkitkan tentang status salah seorang ‘orang penting’ dalam organisasi PAS Jerantut yang hanya sekali sahaja datang mesyuarat. Hujah ahli mesyuarat dengan nas perlembagaannya cukup kuat dan sukar dibakul sampahkan. Mengambil kira kes yang pertama, mesyuarat mencadangkan agar PAS Kawasan Jerantut menghantar surat tunjuk sebab kepada ‘orang penting’ dalam PAS Jerantut itu yang berada di jawatan yang agak tinggi dalam parti, selepas pemilihan yang dibuat oleh perwakilan PAS Jerantut pada Tahun 2009.

Kira-kiranya kes beliau ni agak berat kerana beliau hanya datang mesyuarat sekali sahaja (tanpa makluman) sedangkan beliau adalah orang berjawatan tinggi dalam PAS Jerantut, bukannya AJK biasa. Tambahan pula beliau telah mempertikaikan beberapa keputusan mesyuarat sedangkan beliau sendiri tak hadir.

Saya agak tersepit dan resah gelisah dengan kes ini. Kenapa? Sebabnya beliau boleh dianggap seorang yang berpengaruh juga dalam PAS Jerantut. Tetapi saya cuba kuatkan semangat dengan bersuara dalam mesyuarat, meminta sedikit kuasa sebagai YDP agar surat tunjuk sebab tidak dikeluarkan. Saya terpaksa menggunakan kuasa YDP dengan memilih langkah yang 'silap' ini. Silap saya ialah kerana tidak bersetuju dengan kehendak majoriti AJK yang mahukan surat tunjuk sebab dihantar. Saya juga silap dan bersalah kerana mengikut nas perlembagaannya, beliau amat wajar dan layak serta elok digugurkan kerana beliau bukan sahaja tidak hadir tetapi beliau juga mengkritik keputusan mesyuarat yang beliau tidak hadir sedangkan beliau sepatutnya hadir atas jawatannya yang tinggi dalam parti. Walaupun ahli mesyuarat bersetuju dengan permintaan saya itu, namun saya tetap rasa takut dan bersalah kerana saya telah menggunakan sedikit kuasa sebagai YDP.

Ekoran dari pilihan saya yang ‘silap’ itu, saya juga telah membuat ‘congak dan kira-kira’ di mana seandainya pilihan saya itu mengundang fitnah maka saya akan meletakkan jawatan saya sebagai YDP serta merta.

Alhamdulillah, syukur pada ilahi, tindakan saya itu tidak menimbulkan apa-apa gelombang fitnah sehinggalah sampai ke mesyuarat agung tahunan pada 2009 yang berakhir dengan pengunduran terhormat sahabat saya itu. Bahkan beliau dengan saya serta AJK yang lain terus mesra seolah-olah tiada apa-apa masalah antara kami semua.

Sebenarnya, sebelum AJK PAS bersetuju dengan kehendak saya itu, saya telah mengemukakan hujah bahawa sekiranya surat tunjuk sebab dihantar dan disusuli dengan penggugurannya maka saya membuat andaian, mungkin akan menyebabkan berlakunya ‘ribut' dalam PAS Jerantut. Kalaupun beliau boleh menerima tindakan itu kerana tahu akan kesalahannya namun belum tentu para pengikutnya boleh menerima dan berpuas hati. Lagipun, kes ini adalah dikatogarikan sebagai kes dalaman parti yang tidak melibatkan orang luar.

Oleh itu saya mengambil sikap, biarlah saya dan AJK tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bagi saya kesusahan menutup pintu fitnah itu lebih baik dari kesusahan berhadapan dengan fitnah dan beraksi menolak kefasadan itu lebih baik dari beraksi mendapatkan kebaikan.

Persoalannya kenapa saya memilih menggunakan sedikit kuasa YDP berbanding menuruti kehendak AJK? Ya..Dalam hal ini saya berpendirian adakalanya ketua perlu menggunakan sedikit kuasanya dengan penuh taqwa, hati-hati dan bijaksana. Sekali sekala ketua kena guna kuasanya untuk kebaikan organisasinya. Lebih-lebih lagi dalam bab menjatuhkan ‘hukuman’.

Saya melihat keputusan majoriti hanya bergantung kepada peraturan organisasi PAS semata-mata. Memanglah, kalau ikut perlembagaan, 3 kali berturut-turut tak datang mesyuarat (tanpa makluman) boleh diambil tindakan. Saya pula berpandangan, kesan dari tindakan itu, apakah menguntungkan jamaah atau sebaliknya. Oleh kerana saya berpandangan ianya mungkin akan mendatangkan kesan yang buruk pada jamaah maka saya dan AJK bersetuju akhirnya untuk membiarkan AJK terbabit tidak diambil tindakan.

Lagi satu,perlembagaan, peraturan dan undang-undang bukanlah penyelesai masalah sebenar. Ia adalah jalan yang terakhir. Kata Prof. Aziz Bari dalam rencananya 8 Febuari 2010 dalamn Sinar Harian :

1. “Memang undang-undang tidak boleh menyelesaikan masalah, malah ia tidak diwujudkan untuk perkara itu...”

2. “Mahkamah sendiri sering menggalakkan rundingan dan penyelesaian di luar kerana ia lebih murah dan cepat, selain mahkamah sendiri ada beban kerja yang cukup banyak.”

Oleh itu, saya lebih suka kepada jalan ‘berbincang dan bersemuka’ dengan orang yang melakukan masalah dalam jamaah kemudian jika tak selesai juga barulah kita mengambil jalan tindakan mengikut peraturan.

Contohnya, kadang-kadang bila berlaku satu kemalangan di hadapan polis, polis sendiri menasihatkan kita supaya selesaikan dulu ikut muafakat, budibicara dan tolak ansur. Polis yang sama nasihatkan kita supaya tak usahlah buat ‘lapuran polis’. Tak usahlah bawa ke mahkamah. Bila bawa ke mahkamah, hukuman yang dijatuhkan tak semestinya betul. Dah lah duit habis kerana bayar kat peguam, terpaksa pulak turun naik mahkamah kerana ‘pospon, pospon dan pospon’. Habis masa dibuatnya. Akhir sekali, mahkamah jatuhkan hukuman berdasarkan kekuatan hujah peguam. Yang betul, jadi salah, yang bersalah, terlepas. Suka tak suka, itulah keputusan hakim. Dan inilah jua yang berlaku ke atas Saidina Ali kw bila hakim memutuskan mengenai kes baju besinya yang dicuri oleh Yahudi. Hakim telah membuat keputusan yang adil kerana Saidina Ali kw gagal membawa saksi tetapi pada hakikatnya baju besi itu memang sebenar-benarnya baju Saidina Ali kw.

Kuasa budibicara cukup besar peranannya dalam menyelesaikan masalah khususnya dalam berjamaah atau beroganisasi. Kuasa budi bicara memerlukan ilmu, hikmah dan psikologi yang tinggi. Sebab itu, ketua organisasi kena ada kebijaksanaan, jangan hanya bergantung kepada keputusan majoriti semata-mata, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tindakan yang berbentuk ‘hukuman’.

Kalau semua pergerakan jamaah atau organisasi mesti ikut suara ramai, kita tidak memerlukan pemimpin yang hebat. Siapa-siapa pun boleh jadi pemimpin atas alasan semuanya mesti bergerak ikut keputusan suara ramai. Ketua hanya berfungsi sebagai ‘pengerusi mesyuarat’. Kalau organisasi mempunyai ketua seperti ini, tak kira ia jamaah Islam atau sebaliknya, kita boleh saksikan bahawa jamaah atau organisasi itu akan jadi lemah dan huru hara.

Justeru itu, alangkah baiknya setiap masalah di bawa berunding terlebih dahulu. Kalau isteri nusyuz, Islam ajar kita supaya beri nasihat dulu. Tak menjadi juga, baru pisahkan tempat tidur. Kemudian dipanggil orang tengah. Tak makan saman juga barulah diambil tindakan pukul (pukul pengajaran bukan menyakitkan).

Oleh yang demikian, dalam membuat apa-apa tindakan dalam organisasi, kumpulan, politik dan dakwah kita harus berhati-hati dengan mengamboil kira kepada satu kaedah ‘menghapuskan satu kemungkaran atau fitnah jangan sampai timbul kemungkaran atau fitnah yang baru’.

Wallahu’alam
Baca Selanjutnya...

Isu JK Disiplin : Sebenarnya Orang Masih Sayangkan PAS ...

Dunia PAS mutaakhir ini sering bergelora. Ombaknya beralun dek kemenangan yang tidak diduga pada PRU12 Mac 2008. Kira-kiranya dah agak tenang selepas gelora UG tapi ramai yang meramalkan akan bergelora kembali selepas keputusan JK Disiplin PAS diumumkan. Ternyata ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Ramai juga yang bertanya saya mengenai keputusan JK Disiplin tapi saya berdiam diri. Cuma.. bertambah ramai yang bertanya pandangan apabila mereka membaca luahan Abdullah Karim dalam blog. Orang bertanya saya mungkin atas dasar Pengerusi JK Disiplin adalah PJ Pahang dan Abdullah Karim juga Ahli Badan Perhubungan PAS Pahang merangkap Penasihat/Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pahang(meletak jawatan pada 30.1.2010 kerana menemani isterinya di Scotland). Dan kebetulan saya pula diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Saya hanya mampu berkata "hormatilah dan akurlah dengan keputusan JK Disiplin pimpinan Dato' Tuan Ibrahim (DATI) dan hormatilah jua pandangan Abdullah Karim, seorang anak muda yang mungkin suatu hari nanti amat berguna mewarisi kepimpinan parti".

Saya telah membaca luahan DATI dalam blognya. Ya.. DATI adalah seorang yang baik dan jiwanya lembut. Kalau beliau menyatakan bahawa pada awalnya beliau menolak amanah sebagai Pengerusi JK Disiplin maka sesungguhnya penolakannya itu saya yakin kerana jawatan itu tidak sesuai dengan jiwanya. Beliau memang seorang yang mudah mesra dengan semua orang hatta dengan kanak-kanak. Bagi saya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada DATI boleh dianggap satu yang tak wajar. Meletakkan sesuatu, tak kena pada tempatnya adalah zalim namanya. Tapi akhirnya amanah itu terpaksa dipikulnya jua mungkin atas kapasitinya sebagai Naib Presiden.

Saya mengenali DATI sejak kecil. Kami sekampung dan pernah berada satu sekolah tapi berpisah bilamana saya menyambung ke Al Azhar, beliau ke UKM. Rumah beliau depan rumah saya. Bahkan kami ada pertalian keluarga menerusi perkahwinan. Jadi..hubungan kami boleh dikatakan rapat. Sebab itu saya berani bercakap 'sikit-sikit' mengenai dirinya.

Apabila beliau diamanahkan supaya mengadili kes Dato' Hasan Ali dan YB Khalid Samad, dalam hati saya berkata 'Kesian kat DATI'. Tentu beliau sukar untuk berdepan dengan dua insan tersebut kerana seorang daripadanya adalah rakan dalam Forum Perdana dan seorang lagi sahabatnya. Saya pernah juga melontarkan kepada sahabat yang lain kenapalah PAS tidak memilih orang yang berkecuali untuk menjadi Pengerusi JK Disiplin yang terdiri daripada veteran parti seperti Ust Hasan Syukri, Dato' Mutalib Embong, Dato' Umar Muhamad dan seumpamanya. Rupa-rupanya perlembagaan PAS mensyaratkan Pengerusi JK Disiplin mesti dari kalangan AJK PAS. Maka saya amat bersetuju dengan cadangan DATI agar Pengerusi JK Disiplin diambil dari orang luar daripada AJK PAS Pusat. PAS Pusat kenalah segera buat pindaan perlembagaan.

Atas dasar pengetahuan saya tentang sifat DATI maka saya amat bersimpati pada beliau yang menjadi 'objek' serangan rasa tidak puas hati pencinta PAS terhadap keputusan JK Disiplin dalam kes Dato' Hasan Ali & YB Khalid Samad. Saya yakin keputusan itu bukan keputusan beliau seorang. Semestinya keputusan yang telah disepakati oleh JK yang lain. Tapi... adab beroganisasi maka baik buruk akan dipertanggungjawabkan pada ketua.

Kadang-kadang anak jahat, ayahlah yang dipandang buruk. Anak baik dan cemerlang ibubapanyalah yang dipandang mulia. Pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan SPM dan seumpamanya akan menyebabkan nama pengetua akan dijulang sedangkan yang bertungkus lumus mempastikan kejayaan itu ialah guru-guru dan anak murid yang akan mengambil peperiksaan. Bahkan akan memberi kredit kepada pengetua untuk cepat naik pangkat. Sebab itu di negara bermaruah seperti India, Jepun dan seumpamanya, kereta api tergelincirpun pasti menteri yang bertanggungjawab akan meletak jawatan. Padahal menteri tak reti pun hal kereta api. Tengok keretapi pun seram macam tengok hantu. Tapi dah keretapi tergelincir kerana hujan atau drebarnya cuai maka ketuanyalah yang dipersalahkan.

Dalam kes ini saya yakin DATI telah bersepakat dengan JK yang lain untuk memutuskan begitu. Sepanjang saya terlibat dalam Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP), saya sempat melalui 2 kali pilihanraya (2004 & 2008).

Semasa era DATI jadi PJ, saya dan anggota BPPNP amat berpuashati apabila semua calon-calon diputuskan bersama oleh Anggota BPPNP. Bahkan seingat saya lebih dari 3 kali dibuat semakan dan pindaan setiap calon yang akan bertanding dalam pilihanraya 2008 tempohari. Sedangkan sebelum ini mengikut 'orang lama', pemilihan calon biasanya diputuskan oleh pimpinan tertentu sahaja. Ini menunjukkan DATI cukup berhati-hati dalam membuat keputusan yang melibatkan jamaah.

Walaupun keputusan dibuat secara 'bersama' dengan JK yang lain namun DATI tak terlepas dari serangan oleh mereka yang tak berpuas hati. DATI kena menerima hakikat bahawa itulah nasib menjadi ketua.

Menyedari hakikat bahawa ketua akan dipuji atau dikeji bila membuat sesuatu keputusan maka ketua seharusnya menggunakan sedikit kuasanya untuk mengemukakan pandangannya sebelum membuat apa-apa keputusan. Mungkin kesilapan kerana tidak 'menjatuhkan hukuman yang berat' lebih baik jika dibandingkan dengan 'menjatuhkan hukuman yang berat'meskipun ianya betul.

Dalam kes ini, saya dapat rumuskan bahawa ramai yang tidak puas hati dengan keputusan JK Disiplin kerana mereka yang dilihat menggongcangkan Pakatan Rakyat, dikenakan hukuman ringan manakala yang cuba memperkemaskan hubungan PR dikenakan hukuman yang berat. Sedangkan Tok Guru Nik Aziz pula memandang berat kes ahli atau pimpinan PAS yang cuba hendak melemahkan PR sehingga beliau mencadangkan EGM diadakan. Tok Guru kelihatan tegas terhadap mana-mana ahli atau pimpinan yang mengkhianati ikatan PR. Ketegasan beliau boleh dilihat apabila Tok Guru menunjukkan kepada 3 pemimpin supaya dibei perhatian dan diambil tindakan (tak perlu disebut namanya). Tegas Tok Guru ni samalah dengan tegasnya Allah swt terhadap orang yang berdosa terhadap hambanya yang lain. Allah swt boleh berlembut bila melihat kepada dosa hamba denganNya. Tapi... Allah swt tidak boleh bertolak ansur bila hambanya mempunyai kesalahan dengan orang lain. Artinya kesalahan ahli dengan rakan dalam PR (orang luar) adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahan ahli dalam partinya sendiri.

Kegagalan menjaga erti 'setiakawan' dalam PR akan memberi impak negatif yang besar kepada PAS. Orang akan kata PAS tidak boleh dipercayai. Oleh kerana PAS membawa imej Islam maka Islam akan turut sama tercemar dan kelihatan hodoh.

Fenomena ketidakpuasan hati ini menjadi lebih hangat apabila Abdullah Karim menulis. Bagi saya..tindakan beliau dan siapa jua yang menegur dan mengkritik PAS, sebenarnya melambangkan betapa sayangnya beliau dan mereka-mereka itu kepada PAS. Kritikan dan teguran masakini pula amat sukar untuk diasuh dan di'etika'kan kerana zaman telah berubah. Dulu orang tegur 'depan-depan'. Tapi... sekarang lain. Zaman sekarang adalah zaman internet, zaman orang menegur dengan jari yang diketuk pada laptop atau komputer lalu terus keluar di dalam blog lantas menembusi alam maya sampai ke Mexico, Jepun, Algeria, Mesir, China, India dan seumpamanya.

Cumanya.. kita harus memandang kepada potensi anak muda yang bernama Abdullah Karim. Setahu saya beliau orang yang tiada berkepentingan dalam parti. Pada PRU Tahun 2008, saya selaku YDP PAS Jerantut mewakili PAS Kawasan Jerantut telah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di DUN Tahan (DUN yang mana PAS pernah menang pada 1999) namun beliau menolak walaupun ayahnya adalah seorang guru yang dikenali di DUN tersebut. DATI yang mewakili BPPNP juga pernah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Temerloh dan beberapa tempat yang lain tetapi beliau tetap juga menolak.

Jadinya... kritikan beliau saya anggap satu kritikan yang datang dari seorang yang sayangkan PAS dan beliau harus diberi perhatian dan asuhan agar ia menjadi pemimpin PAS di masa akan datang. Janganlah menganggap beliau seperti buah kelapa yang busuk seperti yang disebut oleh seorang pemimpin Dewan Pemuda.

Walau apapun, saya ingin mengesyorkan agar dapatlah kiranya 'Orang Tua' dalam parti yang bertaraf ulama' mendamaikan dan mengharmonikan suasana yang menyempitkan dada ini. Bukankah kita menyatakan Islam adalah penyelesaiannya. Kalau ini pun kita tak mampu nak selesaikan maka apakah Islam yang tak lengkap atau kita yang tak cekap.

Mudah-mudahan Allah swt menyelamatkan PAS dari terus menerus dilanda fitnah dalaman.
Baca Selanjutnya...