MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

08 Februari, 2010

Kadang-kadang Budibicara Perlu Digunakan Dalam Menyelesaikan Masalah

Satu Catatan Pengalaman ...

Ditakdirkan Allah, saya telah diamanahkan oleh ahli PAS Jerantut untuk menjadi YDP PAS Kawasan bermula 2007 hingga kini. Semasa mula memikul amanah tesebut telah berlaku beberapa kes yang menguji saya yang masih baru dalam memimpin PAS Jerantut.

Antara kesnya ialah ada seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat PAS Kawasan melebihi 3 kali berturut-turut tanpa makluman. Ikut perlembagaan, ia wajar digugurkan. Maka dalam mesyuarat, telah dibangkitkan kes AJK tersebut oleh salah seorang AJK Pas Kawasan. Lalu mesyuarat memutuskan bersetuju untuk menghantar surat tunjuk sebab, kenapa beliau tidak boleh digugurkan dari jawatan tersebut.

Saya juga turut bersetuju tetapi saya memohon pada mesyuarat agar surat tunjuk sebab itu, biarlah saya sendiri yang tulis. Bukan tak percaya pada Setiausaha PAS Kawasan tetapi saya lebih berpuas hati sekiranya AJK tersebut ‘mengamuk’ kepada saya yang mana ayat-ayat dalam surat itu ditulis sendiri oleh saya. Saya tentu terkilan dan kecewa sekiranya AJK tersebut ‘marah-marah’ kat saya setelah membaca surat tunjuk sebab, sedangkan surat itu bukan saya yang tulis. Maklumlah dalam beroganisasi, sekiranya ada apa-apa yang orang tak puas hati maka ‘ketua’lah yang akan dipersalahkan. Justeru itu, saya susun sebaik mungkin ayat-ayat dalam surat tersebut dengan harapan hatinya lunak, sejuk dan tak berang setelah membacanya.

Alhamdulillah, beliau respon dan menjawab surat tersebut dengan baik dan akhirnya beliau konsisten dengan mesyuarat. PAS Kawasan tak jadi menggugurkan beliau dan beliau juga tidak berhasrat untuk meletak jawatan bahkan beliau komited pula dengan mesyuarat. Syukurnya saya pada Allah swt pada waktu itu, hanya Allah saja yang tahu.

Kenapa saya kata begitu..!! Sebabnya AJK yang berkaitan, silap haribulan, parti (PAS Kawasan Jerantut) boleh bergelora dibuatnya.

Selepas beberapa bulan, saya diuji lagi bilamana mesyuarat membangkitkan tentang status salah seorang ‘orang penting’ dalam organisasi PAS Jerantut yang hanya sekali sahaja datang mesyuarat. Hujah ahli mesyuarat dengan nas perlembagaannya cukup kuat dan sukar dibakul sampahkan. Mengambil kira kes yang pertama, mesyuarat mencadangkan agar PAS Kawasan Jerantut menghantar surat tunjuk sebab kepada ‘orang penting’ dalam PAS Jerantut itu yang berada di jawatan yang agak tinggi dalam parti, selepas pemilihan yang dibuat oleh perwakilan PAS Jerantut pada Tahun 2009.

Kira-kiranya kes beliau ni agak berat kerana beliau hanya datang mesyuarat sekali sahaja (tanpa makluman) sedangkan beliau adalah orang berjawatan tinggi dalam PAS Jerantut, bukannya AJK biasa. Tambahan pula beliau telah mempertikaikan beberapa keputusan mesyuarat sedangkan beliau sendiri tak hadir.

Saya agak tersepit dan resah gelisah dengan kes ini. Kenapa? Sebabnya beliau boleh dianggap seorang yang berpengaruh juga dalam PAS Jerantut. Tetapi saya cuba kuatkan semangat dengan bersuara dalam mesyuarat, meminta sedikit kuasa sebagai YDP agar surat tunjuk sebab tidak dikeluarkan. Saya terpaksa menggunakan kuasa YDP dengan memilih langkah yang 'silap' ini. Silap saya ialah kerana tidak bersetuju dengan kehendak majoriti AJK yang mahukan surat tunjuk sebab dihantar. Saya juga silap dan bersalah kerana mengikut nas perlembagaannya, beliau amat wajar dan layak serta elok digugurkan kerana beliau bukan sahaja tidak hadir tetapi beliau juga mengkritik keputusan mesyuarat yang beliau tidak hadir sedangkan beliau sepatutnya hadir atas jawatannya yang tinggi dalam parti. Walaupun ahli mesyuarat bersetuju dengan permintaan saya itu, namun saya tetap rasa takut dan bersalah kerana saya telah menggunakan sedikit kuasa sebagai YDP.

Ekoran dari pilihan saya yang ‘silap’ itu, saya juga telah membuat ‘congak dan kira-kira’ di mana seandainya pilihan saya itu mengundang fitnah maka saya akan meletakkan jawatan saya sebagai YDP serta merta.

Alhamdulillah, syukur pada ilahi, tindakan saya itu tidak menimbulkan apa-apa gelombang fitnah sehinggalah sampai ke mesyuarat agung tahunan pada 2009 yang berakhir dengan pengunduran terhormat sahabat saya itu. Bahkan beliau dengan saya serta AJK yang lain terus mesra seolah-olah tiada apa-apa masalah antara kami semua.

Sebenarnya, sebelum AJK PAS bersetuju dengan kehendak saya itu, saya telah mengemukakan hujah bahawa sekiranya surat tunjuk sebab dihantar dan disusuli dengan penggugurannya maka saya membuat andaian, mungkin akan menyebabkan berlakunya ‘ribut' dalam PAS Jerantut. Kalaupun beliau boleh menerima tindakan itu kerana tahu akan kesalahannya namun belum tentu para pengikutnya boleh menerima dan berpuas hati. Lagipun, kes ini adalah dikatogarikan sebagai kes dalaman parti yang tidak melibatkan orang luar.

Oleh itu saya mengambil sikap, biarlah saya dan AJK tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bagi saya kesusahan menutup pintu fitnah itu lebih baik dari kesusahan berhadapan dengan fitnah dan beraksi menolak kefasadan itu lebih baik dari beraksi mendapatkan kebaikan.

Persoalannya kenapa saya memilih menggunakan sedikit kuasa YDP berbanding menuruti kehendak AJK? Ya..Dalam hal ini saya berpendirian adakalanya ketua perlu menggunakan sedikit kuasanya dengan penuh taqwa, hati-hati dan bijaksana. Sekali sekala ketua kena guna kuasanya untuk kebaikan organisasinya. Lebih-lebih lagi dalam bab menjatuhkan ‘hukuman’.

Saya melihat keputusan majoriti hanya bergantung kepada peraturan organisasi PAS semata-mata. Memanglah, kalau ikut perlembagaan, 3 kali berturut-turut tak datang mesyuarat (tanpa makluman) boleh diambil tindakan. Saya pula berpandangan, kesan dari tindakan itu, apakah menguntungkan jamaah atau sebaliknya. Oleh kerana saya berpandangan ianya mungkin akan mendatangkan kesan yang buruk pada jamaah maka saya dan AJK bersetuju akhirnya untuk membiarkan AJK terbabit tidak diambil tindakan.

Lagi satu,perlembagaan, peraturan dan undang-undang bukanlah penyelesai masalah sebenar. Ia adalah jalan yang terakhir. Kata Prof. Aziz Bari dalam rencananya 8 Febuari 2010 dalamn Sinar Harian :

1. “Memang undang-undang tidak boleh menyelesaikan masalah, malah ia tidak diwujudkan untuk perkara itu...”

2. “Mahkamah sendiri sering menggalakkan rundingan dan penyelesaian di luar kerana ia lebih murah dan cepat, selain mahkamah sendiri ada beban kerja yang cukup banyak.”

Oleh itu, saya lebih suka kepada jalan ‘berbincang dan bersemuka’ dengan orang yang melakukan masalah dalam jamaah kemudian jika tak selesai juga barulah kita mengambil jalan tindakan mengikut peraturan.

Contohnya, kadang-kadang bila berlaku satu kemalangan di hadapan polis, polis sendiri menasihatkan kita supaya selesaikan dulu ikut muafakat, budibicara dan tolak ansur. Polis yang sama nasihatkan kita supaya tak usahlah buat ‘lapuran polis’. Tak usahlah bawa ke mahkamah. Bila bawa ke mahkamah, hukuman yang dijatuhkan tak semestinya betul. Dah lah duit habis kerana bayar kat peguam, terpaksa pulak turun naik mahkamah kerana ‘pospon, pospon dan pospon’. Habis masa dibuatnya. Akhir sekali, mahkamah jatuhkan hukuman berdasarkan kekuatan hujah peguam. Yang betul, jadi salah, yang bersalah, terlepas. Suka tak suka, itulah keputusan hakim. Dan inilah jua yang berlaku ke atas Saidina Ali kw bila hakim memutuskan mengenai kes baju besinya yang dicuri oleh Yahudi. Hakim telah membuat keputusan yang adil kerana Saidina Ali kw gagal membawa saksi tetapi pada hakikatnya baju besi itu memang sebenar-benarnya baju Saidina Ali kw.

Kuasa budibicara cukup besar peranannya dalam menyelesaikan masalah khususnya dalam berjamaah atau beroganisasi. Kuasa budi bicara memerlukan ilmu, hikmah dan psikologi yang tinggi. Sebab itu, ketua organisasi kena ada kebijaksanaan, jangan hanya bergantung kepada keputusan majoriti semata-mata, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tindakan yang berbentuk ‘hukuman’.

Kalau semua pergerakan jamaah atau organisasi mesti ikut suara ramai, kita tidak memerlukan pemimpin yang hebat. Siapa-siapa pun boleh jadi pemimpin atas alasan semuanya mesti bergerak ikut keputusan suara ramai. Ketua hanya berfungsi sebagai ‘pengerusi mesyuarat’. Kalau organisasi mempunyai ketua seperti ini, tak kira ia jamaah Islam atau sebaliknya, kita boleh saksikan bahawa jamaah atau organisasi itu akan jadi lemah dan huru hara.

Justeru itu, alangkah baiknya setiap masalah di bawa berunding terlebih dahulu. Kalau isteri nusyuz, Islam ajar kita supaya beri nasihat dulu. Tak menjadi juga, baru pisahkan tempat tidur. Kemudian dipanggil orang tengah. Tak makan saman juga barulah diambil tindakan pukul (pukul pengajaran bukan menyakitkan).

Oleh yang demikian, dalam membuat apa-apa tindakan dalam organisasi, kumpulan, politik dan dakwah kita harus berhati-hati dengan mengamboil kira kepada satu kaedah ‘menghapuskan satu kemungkaran atau fitnah jangan sampai timbul kemungkaran atau fitnah yang baru’.

Wallahu’alam

3 ulasan:

aku dr amin berkata...

cantik ayat ayat tuan. seronok membacanya.

9/2/10 12:17 PTG
Aslam berkata...

Salam Dr,

Saya sangat bersetuju dengan artikel ini. terima kasih dr.

Kalaulah JKD berpandangan dan berpikirian seperti ini, alangkah baiknya.

P/a: Saya rindu mendengar kuliah maghrib dr. sudah lama tidak mendengarnya.

9/2/10 5:04 PTG
Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

Salam Dr,
Jika ketua mesti ikut keputusan majoriti maka tidak perlu berketuakan manusia bijak. Cukup berketuakan komputer yang canggih.

11/2/10 1:18 PTG

Catat Komen