MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

05 Februari, 2010

Isu JK Disiplin : Sebenarnya Orang Masih Sayangkan PAS ...

Dunia PAS mutaakhir ini sering bergelora. Ombaknya beralun dek kemenangan yang tidak diduga pada PRU12 Mac 2008. Kira-kiranya dah agak tenang selepas gelora UG tapi ramai yang meramalkan akan bergelora kembali selepas keputusan JK Disiplin PAS diumumkan. Ternyata ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Ramai juga yang bertanya saya mengenai keputusan JK Disiplin tapi saya berdiam diri. Cuma.. bertambah ramai yang bertanya pandangan apabila mereka membaca luahan Abdullah Karim dalam blog. Orang bertanya saya mungkin atas dasar Pengerusi JK Disiplin adalah PJ Pahang dan Abdullah Karim juga Ahli Badan Perhubungan PAS Pahang merangkap Penasihat/Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pahang(meletak jawatan pada 30.1.2010 kerana menemani isterinya di Scotland). Dan kebetulan saya pula diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Saya hanya mampu berkata "hormatilah dan akurlah dengan keputusan JK Disiplin pimpinan Dato' Tuan Ibrahim (DATI) dan hormatilah jua pandangan Abdullah Karim, seorang anak muda yang mungkin suatu hari nanti amat berguna mewarisi kepimpinan parti".

Saya telah membaca luahan DATI dalam blognya. Ya.. DATI adalah seorang yang baik dan jiwanya lembut. Kalau beliau menyatakan bahawa pada awalnya beliau menolak amanah sebagai Pengerusi JK Disiplin maka sesungguhnya penolakannya itu saya yakin kerana jawatan itu tidak sesuai dengan jiwanya. Beliau memang seorang yang mudah mesra dengan semua orang hatta dengan kanak-kanak. Bagi saya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada DATI boleh dianggap satu yang tak wajar. Meletakkan sesuatu, tak kena pada tempatnya adalah zalim namanya. Tapi akhirnya amanah itu terpaksa dipikulnya jua mungkin atas kapasitinya sebagai Naib Presiden.

Saya mengenali DATI sejak kecil. Kami sekampung dan pernah berada satu sekolah tapi berpisah bilamana saya menyambung ke Al Azhar, beliau ke UKM. Rumah beliau depan rumah saya. Bahkan kami ada pertalian keluarga menerusi perkahwinan. Jadi..hubungan kami boleh dikatakan rapat. Sebab itu saya berani bercakap 'sikit-sikit' mengenai dirinya.

Apabila beliau diamanahkan supaya mengadili kes Dato' Hasan Ali dan YB Khalid Samad, dalam hati saya berkata 'Kesian kat DATI'. Tentu beliau sukar untuk berdepan dengan dua insan tersebut kerana seorang daripadanya adalah rakan dalam Forum Perdana dan seorang lagi sahabatnya. Saya pernah juga melontarkan kepada sahabat yang lain kenapalah PAS tidak memilih orang yang berkecuali untuk menjadi Pengerusi JK Disiplin yang terdiri daripada veteran parti seperti Ust Hasan Syukri, Dato' Mutalib Embong, Dato' Umar Muhamad dan seumpamanya. Rupa-rupanya perlembagaan PAS mensyaratkan Pengerusi JK Disiplin mesti dari kalangan AJK PAS. Maka saya amat bersetuju dengan cadangan DATI agar Pengerusi JK Disiplin diambil dari orang luar daripada AJK PAS Pusat. PAS Pusat kenalah segera buat pindaan perlembagaan.

Atas dasar pengetahuan saya tentang sifat DATI maka saya amat bersimpati pada beliau yang menjadi 'objek' serangan rasa tidak puas hati pencinta PAS terhadap keputusan JK Disiplin dalam kes Dato' Hasan Ali & YB Khalid Samad. Saya yakin keputusan itu bukan keputusan beliau seorang. Semestinya keputusan yang telah disepakati oleh JK yang lain. Tapi... adab beroganisasi maka baik buruk akan dipertanggungjawabkan pada ketua.

Kadang-kadang anak jahat, ayahlah yang dipandang buruk. Anak baik dan cemerlang ibubapanyalah yang dipandang mulia. Pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan SPM dan seumpamanya akan menyebabkan nama pengetua akan dijulang sedangkan yang bertungkus lumus mempastikan kejayaan itu ialah guru-guru dan anak murid yang akan mengambil peperiksaan. Bahkan akan memberi kredit kepada pengetua untuk cepat naik pangkat. Sebab itu di negara bermaruah seperti India, Jepun dan seumpamanya, kereta api tergelincirpun pasti menteri yang bertanggungjawab akan meletak jawatan. Padahal menteri tak reti pun hal kereta api. Tengok keretapi pun seram macam tengok hantu. Tapi dah keretapi tergelincir kerana hujan atau drebarnya cuai maka ketuanyalah yang dipersalahkan.

Dalam kes ini saya yakin DATI telah bersepakat dengan JK yang lain untuk memutuskan begitu. Sepanjang saya terlibat dalam Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP), saya sempat melalui 2 kali pilihanraya (2004 & 2008).

Semasa era DATI jadi PJ, saya dan anggota BPPNP amat berpuashati apabila semua calon-calon diputuskan bersama oleh Anggota BPPNP. Bahkan seingat saya lebih dari 3 kali dibuat semakan dan pindaan setiap calon yang akan bertanding dalam pilihanraya 2008 tempohari. Sedangkan sebelum ini mengikut 'orang lama', pemilihan calon biasanya diputuskan oleh pimpinan tertentu sahaja. Ini menunjukkan DATI cukup berhati-hati dalam membuat keputusan yang melibatkan jamaah.

Walaupun keputusan dibuat secara 'bersama' dengan JK yang lain namun DATI tak terlepas dari serangan oleh mereka yang tak berpuas hati. DATI kena menerima hakikat bahawa itulah nasib menjadi ketua.

Menyedari hakikat bahawa ketua akan dipuji atau dikeji bila membuat sesuatu keputusan maka ketua seharusnya menggunakan sedikit kuasanya untuk mengemukakan pandangannya sebelum membuat apa-apa keputusan. Mungkin kesilapan kerana tidak 'menjatuhkan hukuman yang berat' lebih baik jika dibandingkan dengan 'menjatuhkan hukuman yang berat'meskipun ianya betul.

Dalam kes ini, saya dapat rumuskan bahawa ramai yang tidak puas hati dengan keputusan JK Disiplin kerana mereka yang dilihat menggongcangkan Pakatan Rakyat, dikenakan hukuman ringan manakala yang cuba memperkemaskan hubungan PR dikenakan hukuman yang berat. Sedangkan Tok Guru Nik Aziz pula memandang berat kes ahli atau pimpinan PAS yang cuba hendak melemahkan PR sehingga beliau mencadangkan EGM diadakan. Tok Guru kelihatan tegas terhadap mana-mana ahli atau pimpinan yang mengkhianati ikatan PR. Ketegasan beliau boleh dilihat apabila Tok Guru menunjukkan kepada 3 pemimpin supaya dibei perhatian dan diambil tindakan (tak perlu disebut namanya). Tegas Tok Guru ni samalah dengan tegasnya Allah swt terhadap orang yang berdosa terhadap hambanya yang lain. Allah swt boleh berlembut bila melihat kepada dosa hamba denganNya. Tapi... Allah swt tidak boleh bertolak ansur bila hambanya mempunyai kesalahan dengan orang lain. Artinya kesalahan ahli dengan rakan dalam PR (orang luar) adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahan ahli dalam partinya sendiri.

Kegagalan menjaga erti 'setiakawan' dalam PR akan memberi impak negatif yang besar kepada PAS. Orang akan kata PAS tidak boleh dipercayai. Oleh kerana PAS membawa imej Islam maka Islam akan turut sama tercemar dan kelihatan hodoh.

Fenomena ketidakpuasan hati ini menjadi lebih hangat apabila Abdullah Karim menulis. Bagi saya..tindakan beliau dan siapa jua yang menegur dan mengkritik PAS, sebenarnya melambangkan betapa sayangnya beliau dan mereka-mereka itu kepada PAS. Kritikan dan teguran masakini pula amat sukar untuk diasuh dan di'etika'kan kerana zaman telah berubah. Dulu orang tegur 'depan-depan'. Tapi... sekarang lain. Zaman sekarang adalah zaman internet, zaman orang menegur dengan jari yang diketuk pada laptop atau komputer lalu terus keluar di dalam blog lantas menembusi alam maya sampai ke Mexico, Jepun, Algeria, Mesir, China, India dan seumpamanya.

Cumanya.. kita harus memandang kepada potensi anak muda yang bernama Abdullah Karim. Setahu saya beliau orang yang tiada berkepentingan dalam parti. Pada PRU Tahun 2008, saya selaku YDP PAS Jerantut mewakili PAS Kawasan Jerantut telah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di DUN Tahan (DUN yang mana PAS pernah menang pada 1999) namun beliau menolak walaupun ayahnya adalah seorang guru yang dikenali di DUN tersebut. DATI yang mewakili BPPNP juga pernah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Temerloh dan beberapa tempat yang lain tetapi beliau tetap juga menolak.

Jadinya... kritikan beliau saya anggap satu kritikan yang datang dari seorang yang sayangkan PAS dan beliau harus diberi perhatian dan asuhan agar ia menjadi pemimpin PAS di masa akan datang. Janganlah menganggap beliau seperti buah kelapa yang busuk seperti yang disebut oleh seorang pemimpin Dewan Pemuda.

Walau apapun, saya ingin mengesyorkan agar dapatlah kiranya 'Orang Tua' dalam parti yang bertaraf ulama' mendamaikan dan mengharmonikan suasana yang menyempitkan dada ini. Bukankah kita menyatakan Islam adalah penyelesaiannya. Kalau ini pun kita tak mampu nak selesaikan maka apakah Islam yang tak lengkap atau kita yang tak cekap.

Mudah-mudahan Allah swt menyelamatkan PAS dari terus menerus dilanda fitnah dalaman.

15 ulasan:

Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

Salam ziarah,
Jazakumullahu khairan kathiran!

6/2/10 8:20 PTG
Tanpa Nama berkata...

Saudara,
tak perlulah saudara buat posting yang bila orang baca maka orang nampak PJ dan TPJ tak sehaluan. Walaupun menggunakan bahasa yang lembut, namun isu yang saudara kemukakan tidak sesuai dan hanya akan memecah belahkan ahli. Natijahnya bercanggah dengan tajuknya, Sayangkan PAS....

7/2/10 8:29 PG
cicit tok muda berkata...

salam Dr.. saya adalah warga kg. temin dan bakal pengundi di kawasan parlimen jerantut. kini saya menuntut di UIAM kampus gombak dalam jurusan ekonomi. saya barangkali mengenali saudara abdullah karim. sebenarnya saudara abdullah hanyalah mengungkapkan suara orang2 muda dalam PAS. Saya tidak sekali-kali menafikan keputusan yang dibuat JK disiplin baru2 ini. walaubagaimanapun, keputusan JK disiplin kali ini dilihat sebagai anti-pakatan. hal ini kerana YB khalid lebih dilihat pro-pakatan berbanding Dr. hassan yang terkenal dgn golongan konservatif dalam pas. Bukan dari dalam pas sahaja, rakan-rakan lain dalam pakatan juga melihat tindakan kali ini sbg bias dan anti-pakatan. Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera untuk mengalakkan perpecahan dikalangan penyokong pakatan rakyat dan hilangnya keyakinan rakyat malaysia terhadap pas sebagai parti dominan dalam memimpin perubahan dalam negara malaysia ini...

7/2/10 7:33 PTG
Tanpa Nama berkata...

saya rasa la ni,baik kita menghadapkan dan menghambakan diri kepada allah...
dunia ni doc,terutamanya dah sampai akhir zaman ni,dalam hadis dan quran ada berpesan,hakikatnya penghujung usia dunia,akan belaku fitnah-fitnah yang dasyat.sehingga manusia terlupa dan terleka bahawa kita sekarang mempercayai fitnah dari yang benar.....

mcm tu juga dengan tuan doc. pun,tak mungkin anda seorang yang terlepas dari fitnah tersebut kecuali anda seorang yang berpesan kepada kebaikan dan kebenaran..

adakah tuan seorang yang macam tu......

9/2/10 10:55 PG
dino berkata...

Masya Allah, komen Tanpa Nama di atas adalah komen buruk sangka terhadap doc. Butakah mata dan hati bahawa doc tu dengan PJ Pahang adalah kenalan dari masa budak-budak lagi dan ada pula pertalian saudara melalui perkahwinan. Itu menunjukkan mereka rapat.

Komen doc kepada Abdullah pula berdasarkan keyakinan dari pergaulan selama ini bahawa anak muda ini berpotensi dalam Jamaah. Walaupun komennya keras, tetapi kita perlu memberi peluang beliau untuk dewasa sebagai orang hadapan Jamaah. Kualiti kepimpinan ada padanya disamping tidak mengejar jawatan.

Saya sokong pendapat doc supaya ulama yang disegani seperti TGNA dan TGHH mengambil inisiatif secara peribadi mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah pendapat. Tak perlu formal.

Wassallam. Allah huakbar.

10/2/10 4:25 PTG
pemuda temerloh berkata...

Kepada dino, awakkah yg buta hati??? kalaulah pertalian saudara itu dijadikan sandaran, mengapa nak keluarkan statement kat dalam blog ini??? jumpalah macam adik beradik... Kalaulah abdullah berpotensi, mengapa dia calarkan diri dia dengan buat statement macam tu... itu jelas nak menjahanamkan karier politik dia sendiri... terimalah akibatnya... bapa sendiripun tak dihormati, apatah pimpinan pas yang lain, dibudakkannya... itulah perangai abdullah yg kononnya ada potensi utk jemaah...

11/2/10 5:12 PTG
Tanpa Nama berkata...

bagi saya golongan munafiq akan menjelaskan identitinya dgn sikapnya, jadi x payahlah kita nak membela.

18/2/10 4:44 PTG
syahnabil berkata...

Pemuda Temerloh.....kata anda...kalaulah pertalian saudara itu dijadikan ukuran,mengapakah keluar statement kt dalam blog?

untuk pengetahuan, saya mengenali kedua-dua tokoh ini iaitu Dato Tuan Ibrahim dan Dr.Hamzah ini sejak kecil kerana kami sekampung....tp saya ni peringkat adik sikit la.....tidakkah anda tahu wahai pemuda temerloh bahawa masalah ini masalah umum ,bukan masalah peribadi mereka berdua,kalau masalah mereka berdua bolehlah mereka bincang 2 orang je...kita berjuang untuk Islam dan bukan berjuang untuk parti semata-mata...skop Islam perlu dilihat lebih luas dan jangan pandang dari sudut kepartian semata-mata....tidak salah membuat teguran dalam saluran apa sekalipun asalkan teguran yg dibuat itu benar dan berhemah....
jika kita benar-benar berjuang kerana Allah,maka janganlah terlalu takut dengan fitnah atau putar-belit dari pihak yang tidak sealiran dengan kita kerana perjuangan dalam bentuk apa sekalipun pasti ada cabarannya....semakin kuat kita berjuang semakin besarlah cabaran dan dugaan yg datang pada kita....ingatlah Allah sentiasa ada bersama mereka yg berjuang menegakkan kebenaran.
saya ingin bertanya...adakah dengan merahsiakan kelemahan kita,kita akan dianggap tidak lemah????? pedulikan apa sahaja tanggapan pihak yang menentang kita kerana walau apapun yang kita buat,mereka yang menentang akan terus menentang.....tidakkah tuan ingat akan Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud" berkatalah yang benar walaupun ia pahit bagi kamu".....sedarlah bahawa kita semua walau diperingkat mana sekalipun adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan dan setiap yang silap mestilah bersedia untuk ditegur kesilapannya....teringat saya akan kisah Sayyidina Umar Al-Khattab R.A ketika beliau sedang menjawat jawatan khalifah,sewaktu sedang membuat tinjaun kepada sekumpulan tentera dalam satu peperangan maka khalifah telah bertanya siapakah pemimpin dikalangan kamu...maka bangkitlah seorang pemuda berkata...sayalah pemimpin mereka...maka Umar R.A bertanya tiadakah orang yang lebih tua untuk dijadikan ketua..lantas pemuda itu menjawab..wahai khalifah jika hal itu dijadikan ukuran maka engkau tidak layak menjadi khalifah kerana ada yang lebih tua dan berpengalaman daripada kamu...." Maka apabila mendengar ungkapan daripada pemuda tersebut Sayyidina Umar diam dan akur serta memuji semangat pemuda tersebut...cerita ini mungkin tidak berkaitan secara keseluruhannya dengan isu yang dibincangkan akan tetapi mesej yang hendak disampaikan ialah teguran pemuda tadi terhadap Sayyina Umar adalah secara terbuka dan jika Sayyidina Umar R.A pun boleh menerima teguran seperti itu dengan redha sudilah apakiranya pimpinan PAS juga berbuat demikian terhadap para pengikutnya....sekian Wallahu a'lam..

21/2/10 1:34 PG
pemuda temerloh berkata...

Habis tu kalau masalah umum buat apa cerita kat sini??? kata dr hamzah dan Dato Tuan ada pertalian keluarga, buat apa cerita kat blog??? sebelum ini mengapa tak tonjolkan diri sebelum keputusan dibuat, lepas keputusan dibuat, pimpinan lain boleh terima, mereka tak tegur kat blog. Kalau dr hamzah tak boleh tegur macam adik beradik, apa gunanya ada hubungan keluarga??? sebelum ini orang tak tahu pun dr hamzah dan Dato Tuan ada hubungan keluarga...

Saya nak tahu, siapa yg buat fitnah??? siapa yg tuduh siapa tanpa bukti??? bukankah Dr Hasan Ali telah buktikan bahawa Khalid samad bersalah dan Khalid samad gagal utk membuktikan Hasan ali nak bawa pas ke dalam umno... bukan ini FITNAH???

23/2/10 10:46 PG
syahnabil berkata...

Assalamualaikum.....wahai pemuda temerloh...sbb ia isu umum la kena bincang cara umum kt blog ni.....seluruh dunia boleh baca dan seluruh dunia boleh nilai..... tuan persoal kenapa sebelum keluar keputusan tak bincang????? sebabnya tak jangka keputusan yang keluar tu berat sebelah macam ni....itu je bang....sebenarnya Dr.Hamzah dah cadangkan jalan tengah yang terbaik iaitu berdamai...yg ko sibuk-sibuk nak marah YB Khalid lagi apasal....????? Berdamai je lah...buang yang keruh ambil yang jernih....kalau kita orang Islam bila sahabat kita bertelagah tak kira la sapa salah sapa betul pun,sapa pangkat besar sapa pangkat rendah pun dua-dua pihak perlu berdamai kerana itulah yang terbaik....sepatutnya kita kena sokong supaya mereka berdamai bukan masih nak pertikai siapa fitnah siapa....ko ingat ko bela Dr.Hasan Ali sangat tu beliau takde buat salah ke....satu Malaysia dah tau la brader....aku sokong cadangan dr. hamzah pasal aku faham matlamat beliau.....ko tu faham ke tidak pemuda temerloh.....satu lagi soalan..ko ni pemuda PAS ke pemuda UMNO?????

23/2/10 5:49 PTG
syahnabil berkata...

Satu lagi nak tambah jika diizinkan....nak tanya pemuda temerloh.....tuan pasti ke yang keputusan tu diterima sebualat suara oleh pimpinan lain???? atau adakah mereka hanya akur pada saluran yang dah tersumbat itu.....???? sekali lagi saranan saya iaitu BERDAMAILAH WAHAI PEJUANG ISLAM......!!!!!!!

23/2/10 5:54 PTG
pemuda temerloh berkata...

Kalau betul nak berdamai mengapa sampai la ni masih tulis, fwd macam dlm blog dia... lain kali jangan dok sebut pasal hubungan keluarga... ini intro macam2, mengenali Dato Tuan dari kecil sampai ada hubungan keluarga... yg buat keputusan Dato Tuan yg Dr Hamzah bgtau dia ada hubungan keluarga... so, jumpalah dia bukan cerita kat blog untuk tunjuk rasa tak puas hati??? syahnabil, ko dah pertikaikan keputusan JK Disiplin yg terdiri drpd mereka yg bukan calang2 orang... ada bekas hakim dan peguam, ada profesional dan ulamak dll... ko rasa, mereka ni saja2 je buat keputusan macam tu??? ko boleh tuduh macam kat mahkamah sebab buat keputusan yg berat sebelah... rupa2 ahli2 pas ni, bila keputusan yg tak selari dengan kehendak mereka, semuanya tidak adil semuanya salah... mentaliti membangkang semumur hidup, bila nak ubah pemikiran, tak taulah...

Tuduhan yg berat syahnabil kpd JK Disiplin??? sampai begitu sekali ahli Pas sekarang??? bilamana keputusan yg tidak selari dengan kehendaknya, tuduhan macam2... saluran tersumbatlah, tak adillah dll...

Satu lagi, ko bukan tahupun pasal khalid samad... apa yg dia buat kat selangor... orang selangor cukup marah kat khalid samad... sampai la ni dia buat onar kat selangor... kerana dia semua pimpinan sudah dilabelkan... mana2 keputusan yg tidak selari dengan mereka, pasti dilabelkan pro UG dll... inilah akibatnya membiarkan orang macam ini di dlm parti...

24/2/10 4:16 PTG
Tanpa Nama berkata...

pemuda temerloh,
kamu ni dah jauh benar tersasar..... yg kamu tak jumpa sendiri dr hamzah mintak penjelasan dari dia, pas tu dok melalak kat sini buat apa? baca betul2, dgn akal yg waras, dada yg lapang, fikiran yg terbuka apa yg d sampaikan oleh dr hamzah. kamu dah blok pemikiran kamu..., jd apa pun tak boleh masuk...! Dah lah...buat malu pas aje.

24/2/10 6:34 PTG
Tanpa Nama berkata...

Saya bimbang kalau Pemuda temerloh akan menjadi pimpinan Pas satu hari nanti. Beliau terlalu jauh dari akar umbi dan suara pemuda. Beliau cuma berada dalam ruang lingkup ekslusif pemuda Pas sahaja. Beliau tidak merasai suara pemuda bawahan yang majoriti yang sangat dahagakan perubahan.
Pemuda Professional.

27/2/10 11:20 PTG
Tanpa Nama berkata...

keadaan pada masa akan datang akan menjadi lebih berat untuk diselesaikan apabila terdapat insiden yang melibatkan prinsip perjuangan pas dan isu-siu yang bersifat liberal termasuklah yang berkaitan dengan gerakan memperkukuh pakatan rakyat. walaupun nampak remeh ianya akan menguji sejauh mana pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh pihak pas untuk memenuhi tuntutan agama atau atas kepentingan politik bersama pakatan yang sudah tentu pas terpaksa membuat ketetapan dan pendapat. ini bukan sahaja akan menyebabkan wujud perbalahan dalam hal pendapat bahkan mungkin berlakunya situasi give and take atau situasi menang-menang ... mungkin satu analisis bersifat ilmiah akan berlaku sepanjang pr 12 dan 13 ini nanti

8/3/10 8:25 PTG

Catat Ulasan