Saluran... Pastikan Jangan Tersumbat (Bahagian Akhir)
Bagaimana Bentuk Saluran Tersumbat Dalam Sesebuah Organisasi & Penyelesaiannya Masakini
Biasanya apabila muncul kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka terhadap mana-mana organisasi maka terpancullah kalimat penyedap dan penyelamat ini dari pimpinan, ‘Sebenarnya kita terbuka. Cuma kita mahu setiap kritikan mestilah ikut saluran’, ‘kita sedia berbincang’ dan macam-macam lagi.
Tegur menegur memang bagus. Kadang-kadang dipanggil ingat mengingati, muhasabah atau nasihat menasihati. Allah swt pernah tegur Nabi saw yang berpaling daripada orang buta kerana memberi perhatian kepada pemuka Quraisy sehingga teguranNya itu terpahat dalam al quran Surah ‘Abasa.
Persoalannya kenapa dewasa kini, kritikan, aduan dan teguran serta pandangan untuk organisasi dibuat secara terbuka. Sebabnya ialah kerana tindakan demikian dilihat lebih diberi perhatian oleh pimpinan organisasi dan keduanya mungkin ‘saluran’ untuk berbuat demikian telah tersumbat atau kabur.
Contohnya baru-baru ini kita lihat bagaimana rintihan isteri yang memohon wang simpanan suaminya (yang menyimpan wang suaminya untuk bekalan hari tua) bagi membiayai kos hospital, tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan walaupun dibuat mengikut saluran. Namun apabila dibuat secara terbuka di media lalu terus diluluskan.
Cadangan dan pandangan serta kritikan terhadap SPR yang dibuat ‘ikut saluran’ tidak mendapat perhatian tetapi apabila ia dibuat secara terbuka dengan mengadakan himpunan ‘BERSIH’, barulah ada sedikit tindakan yang agak positif sehingga pengerusinya bersedia untuk bertemu dengan wakil BERSIH dan parti politik.
Kita juga boleh lihat bagaimana pantasnya pihak-pihak yang berkenaan bekerja menyelesaikan masalah, apabila masalah dan aduan rakyat dibuat secara terbuka di media seperti TV3 dan seumpamanya sedangkan sebelum itu, telah dibuat mengikut saluran, tapi tiada tindakan dan tidak berbekas.
Begitulah perbezaan antara kritikan, aduan, teguran atau mengemukakan pandangan yang dibuat ‘secara terbuka’ berbanding dengan ‘ikut saluran’.
Tetapi sekiranya organisasi tersebut mempunyai mekanisma yang baik dalam menerima aduan dan kritikan serta pandangan ahli maka saya yakin tiadalah aksi ‘secara terbuka’ yang amat tidak disukai oleh pimpinan organisasi. Lebih selamat lagi sekiranya pimpinan organisasi bertindak pantas dengan mengambil tindakan segera menyelesaikan aduan atau kritikan yang ditimbulkan ahli bawahannya.
Hayatilah kisah Saidina Umar r.a dalam menangani aduan penduduk Himsh yang mana Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Umar r.a sebagai gabenor mereka. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.
Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar r.a mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin ‘Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya Ya Umar :
1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan atau menyelesaikan masalah kami.
2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.
3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.
4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.
Lalu Saidina Umar r.a memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’, dengan harapan agar setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab, Wahai Umar, saya rasa tak wajar saya menceritakan masalah peribadiku namun kerana adanya aduan maka aku terpaksa menjelaskannya.
1. Wahai Umar, saya tidak menerima kunjungan tetamu pada waktu malam kerana saya telah jadikan waktu malam untuk Allah sedangkan waktu siang hari untuk manusia/rakyat jelata.
2. Wahai Umar, saya sering datang lewat ke pejabat kerana saya tidak mempunyai orang gaji maka saya sendirilah yang menguli tepung gandum sehingga ia mengembang lalu dibakar untuk diberi makan kepada keluarga aku. Setelah siap menyediakannya barulah aku keluar ke pejabat yang kebiasaannya telah hampir waktu tengahari.
3. Wahai Umar, saya hanya mempunyai sehelai sahaja baju untuk dipakai. Dalam sebulan ada satu hari saya membasuh pakaianku itu. Saya tunggu pakaian itu kering barulah saya pergi ke pejabat.
4. Wahai Umar, sewaktu saya masih kafir, saya pernah menyaksikan seorang sahabat Nabi saw bernama Khubaib bin ‘Adiy,yang menerima siksaan dari Orang Kafir Quraisy yang telah mencederakan tubuhnya di hadapanku namun aku tidak menolongnya. Apabila aku teringat akan peristiwa itu, tak semena-mena aku rasa terkilan dan terasa berdosa. Sebab itulah aku keluar dari majlis.
Kisah ini mempunyai banyak pengajarannya. Antaranya ialah :
1. Aksi Saidina Umar r.a yang berusaha membuat lawatan ke Himsh menggambarkan sikap ambil berat pemimpin terhadap setiap aduan atau masalah yang ditimbulkan lalu menyelesaikannya dengan pantas agar api fitnah tidak terus menyala.
2. Aksi sedemikian juga menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a berusaha untuk mendengar sendiri aduan rakyat tanpa mengutus wakil sebagai ‘orang tengah’. Kerana kadang-kadang orang tengah banyak menyembunyikan fakta dan realiti sebenar yang boleh menjejaskan kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu daripada sampai ke pengetahuan ketua.
3. Apabila ada aduan yang berupa dakwaan maka Saidina Umar r.a menunjukkan keadilannya dengan memberi peluang kepada Said bin ‘Aamir untuk menjawab segala dakwaan/aduan dari rakyatnya secara terbuka. Manakala dakwaan dan jawapan itu pula dibuat di hadapan rakyat jelata agar rakyat sendiri dapat menilai penjelasan yang sebenar dari kedua-dua belah pihak.
Sehubungan dengan itu kita melihat bahawa ada organisasi yang pemimpinnya berjiwa besar, sanggup bersemuka dengan orang bawahannya secara terbuka asalkan ianya dapat menyelesaikan masalah sehingga membawa ketenangan dan kebaikan kepada organisasi yang dipimpin agar organisasinya mantap dan terus kukuh.
Walau bagaimanapun, menyelesaikan masalah samada berupa aduan, kritikan, teguran dan cadangan, boleh juga dibuat dengan mengikut saluran sekiranya itu satu kaedah yang berkesan bahkan sememangnya itu adalah kaedah yang lebih beradab dan berakhlak.
Namun, kenapakah wujud kritikan, teguran dan pandangan yang dibuat secara terbuka oleh ahli atau anggota terhadap satu-satu organisasi yang dianggotainya sedangkan saluran untuk berbuat demikian telahpun disediakan? Banyak sebabnya. Antaranya ialah kerana disebabkan saluran yang disediakan itu, didapati tersumbat atau kabur. Apakah bentuk-bentuk saluran yang dikatakan ‘tersumbat’ yang biasanya berlaku dalam sesebuah organisasi? Antaranya ialah :
1. Pemimpin organisasi samada yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan seumpamanya bersikap diktator atau bahasa mudahnya disebut ‘tak nak dengar cakap orang lain’. Atau …
2. Pemimpin bersifat terbuka tetapi orang di kiri kanannya pula (samada setiausaha organisasi atau PA/setiausaha peribadi) yang menyekat maklumat dan kritikan, teguran dan pandangan dari sampai ke pengetahuan pemimpin. Atau …
3. Pemimpin bersifat terbuka tetapi gaya dan penampilannya pula tidak mesra sehingga orang merasakan beliau seorang yang susah bergaul apatah lagi hendak mendengar aduan dan masalah. Atau …
4. Dalam mesyuarat tiada ruang yang cukup untuk mengemukakan pandangan, kritikan, teguran atau muhasabah. Atau ..
5. Ada ruang yang cukup dalam mesyuarat untuk berbuat demikian tetapi pengerusi mesyuarat atau pimpinan kanan organisasi bersifat ‘suka potong cakap’ ahli mesyuarat. Atau …
6. Kritikan, aduan, teguran dan pandangan telah dibuat mengikut saluran organisasi menerusi setiausaha oraganisasi atau setiausaha ketua jabatan tetapi ianya tidak dipanjangkan atau diistilahkan sebagai 'dibakul sampahkan' kerana mungkin kritikan, aduan, teguran serta pandangan itu menyentuh hal peribadi setiausaha atau rakan-rakan setiausaha atau pimpinan yang boleh dirumuskan sebagai menyentuh kepentingan mereka yang berkepentingan. Atau …
7. Tiada ketelusan di pihak pengurusan organisasi di mana mereka yang mengemukakan aduan secara resmi dengan mengikut saluran akan dipandang serong atau diboikot bahkan mungkin terpencil dari organisasi. Atau …
8. Sikap tidak mengambil berat pimpinan terhadap kritikan dan cadangan walaupun ia dikemukakan mengikut saluran utama organisasi seperti di dalam mesyuarat agung tahunan atau muktamar.
Ini adalah bentuk-bentuk yang boleh dianggap ‘saluran tersumbat’ yang saya rumuskan dalam beberapa seminar yang pernah saya 'handle / uruskan' untuk kakitangan kerajaan dan swasta. Rumusan di atas dipersetujui dan diperakui oleh peserta yang hadir sebagai antara sebab kenapa mereka memendam rasa atau mereka membuat kritikan secara terbuka di dalam blog atau membuat surat layang.
Untuk menjadikan kritikan, teguran dan pandangan itu positif, bermanfaat dan berguna bagi merubah organisasi sehingga menjadi sebuah organisasi yang cemerlang maka diperturunkan beberapa cadangan berikut :
1. Pemimpin organisasi yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan barisan pemimpinnya hendaklah jujur dalam menerajui organisasi lebih-lebih lagi organisasi yang bernama jamaah atau gerakan Islam. Rasa jujur dan bertanggungjawab juga hendaklah ada di jiwa petugas organisasi yang berhubung kait dengan pemimpin seperti setiausaha, setiausaha kerja, PA/setiausaha peribadi dan seumpamanya.
2. Ruang untuk menyuarakan pendapat atau muhasabah hendaklah dibuka sebaik mungkin agar ahli atau AJK Tertinggi Organisasi dapat meluahkannya dengan penuh tanggungjawab tanpa halangan dari pengerusi/presiden dan pimpinan kanan organisasi.
3. Menyediakan mekanisma terkini dalam menerima aduan dan cadangan dengan menerima pakai aduan, kritikan atau teguran serta cadangan yang dibuat menerusi e-mail dan sms. Sistem e-mail dan sms bolehlah dianggap sebagai bank aduan dan cadangan. Alamat e-mail dan nombor untuk sistem sms hendaklah diberitahu kepada ahli bawahan.
Mekanisma ini telah diterima pakai sebagai sah oleh kebanyakan jabatan kerajaan termasuk bank-bank yang amat mengambil berat mengenai kebertanggungjawaban dan kesahihan. Aduan dan cadangan menggunakan surat yang mesti bertandatangan sudah boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman.
Bukankah kita pernah menerima e-mail atau sms dari pihak-pihak tertentu dan ianya dianggap sah termasuk surat yang tertulis “Surat ini adalah cetakan berkomputer dan tidak memerlukan tandatangan”?.
4. Menubuh Jawatankuasa Urusan Aduan & Cadangan Ahli (JUADAH) yang dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan dalam organisasi. Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang tidak berada dalam struktur organisasi.Orang yang tidak berada dalam organisasi, mereka tiada tugas yang spesifik. Orang yang tiada tugas, biasanya tiada kerja organisasi dan bila tiada kerja maka mereka adalah bebas dari melakukan kesalahan berorganisasi. Ini berarti mereka adalah bebas dari kritikan dan aduan.
5. Tugas JUADAH ialah :
a. Menerima aduan dan cadangan-cadangan dari ahli menerusi sumber yang sah samada menerusi surat, e-mail atau sms.
b. Meneliti dan menyerah aduan atau cadangan yang diterima, kepada AJK Tertinggi Organisasi untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkaitan dengan aduan atau cadangan. Umpamanya aduan yang berkaitan dengan lajnah atau biro ekonomi hendaklah diserah kepada pengerusi lajnah atau biro terbabit. Aduan yang berkaitan dengan organisasi hendaklah diserah kepada Pengerusi atau Presiden atau Setiausaha Agung Organisasi terbabit untuk dibincang dalam AJK Tertinggi.
c. Memberi tempoh yang cukup kepada AJK Tertinggi Organisasi atau lajnah/biro yang berkaitan dengan aduan atau cadangan itu, untuk memberi respon atau mengambil tindakan terhadap aduan dan cadangan tersebut.
d. Memaklumkan kepada pengadu status tindakan terhadap aduan dan cadangan yang telah atau yang akan diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap aduan atau cadangan tersebut.
Yakinlah bahawa seandainya saluran untuk membuat kritikan, teguran dan mengemukakan cadangan disediakan secara sistematik dan diurus dengan jujur, penuh tanggungjawab maka sesuatu organisasi itu akan terhindar dari fitnah ‘peperangan alam maya’ dengan menggunakan senjata blog. Dan kalau pun ada, mungkin ianya boleh diklasifikasikan sebagai ‘peluru sesat’.
Seperkara yang harus diingat kepada pemimpin organisasi, jangan sama sekali berlaku tidak adil atau melakukan kezaliman apabila menerima aduan. Jangan jadi seperti orang yang membuat lapuran polis lalu pelapurnya yang disiasat, bukannya apa yang dilapurkan.
Sebagai seorang mukmin apatah lagi mukmin yang berada dalam organisasi jamaah atau gerakan Islam, hendaklah kita sentiasa merasakan seolah-olah kita melihat Allah dan kalau perasaan sedemikian tidak dirasai di hati dan jiwa kita maka sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat kita.
Ingatan saya ini adalah untuk saya, para pemimpin jamaah Islam dan penyokong-penyokong yang aktif menulis blog. Wallahu ‘A’lam.
Insya Allah, blog baru akan saya sentuh cerita panjang mengenai Said bin 'Aamir, kenapa Saidina Umar melantiknya sebagai gabenor. Saya akan posting pada hari Isnin Insya Allah.
6 ulasan:
mashallah tulisan yg begitu baik,tq dr.
19/2/10 9:44 PGdi harapkan pimpinan tertentu di atas sana membaca dengan sikap sangka baik untuk kepentingan islam dan parti.
sangat benar sdr dr hamzah
19/2/10 10:59 PTGmasaalah2 akan jadi lebih tersumbat kalau hanya seorang pemimpin dlm organisasi ditugaskan sebagai penapis dan dia juga sebagai hakim untuk menentukan aduan yang dibuat ada merit atau sebaliknya.
kalau dah terlalu tersumbat lama2 saluran akan pecah terbarai tak dapat diuruskan secara efektif lagi.
ana bersetuju dgn tulisn ini..ahli tidak akan melakukan kritik atau protes terbuka jika saluran jemaah untuk menegur dan mengkritk disediakan dan dan dikawal dengan baik..kita juga kena faham kritik ahli adalah krn sayang pada jemaah,bergantung pada niat seseorang itu,tetapi jika mengkritik kerana ingin merosak atau menghancurkan jemaah,maka tungulah balasan dari Allah taala..jika benar kta percaya pada janji Allah untuk memenangkan Islam,mereka-mereka yang masuk dalam jemaah kerana niat yang tidak baik,maka dia akan dikeluarkan sendiri secara automatik dari jemaah ...Allah Taala akan menapis mereka-mereka yang benar2 ikhlas untuk berjuang dijalanNya..Allahuakbar.
21/2/10 1:46 PGSalam Dr. Hamzah,
21/2/10 8:55 PGSaya amat teruja dengan artikel tuan ini. Penulisan di buat begitu jujur,profesional dan berhikmat. Isi kandongan nya dan saran tuan boleh di aplikasi oleh semua peringkat dan golongan. Baik nya organisasi siasah,kerajaan, pertubuhan kemasyarakatan kerana tuan bukan saja memberi ubat pelega dan penahan sakit ( berbagai jenama spt panadol dan etc tapi tuan menyatakan ialah paracytemol yang bertindak dengan acetylcholine, bendalir saraf) malah memberi deskripsi bagaimana menjaga serta mengukuhkan badan dengan menumpukan organ, tisu dan sel badan itu sendiri.
Justeru itu, adalah impian dan harapan saya supaya dibaca dan dipelajari oleh semua golongan orang yang berorganisasi dan beraktivitas kemasyarakatan,terutama barisan pimpinan dan ahli UMNO,PAS dan PKR dan jentera kerajaan.Tidak ketinggalan para pengadu domba, para pendengki khianat, para pelobi, kate. kategori radio buruk. Keharmonian, keamanan dan KEADILAN adalah fokus dan matalamat. ARTIKEL AMAT BERGUNA DAN BERMANFAAT kepada semua.OLeh itu pelajari lah.
Ini kerana dalam kehidupan kita berorganisasi apa tindakan dan keputusan nya dipenggaruhi oleh PUBLIC PRESSURE GROUPS;SUPPLIER;CUSTOMERS; dan COMPETITORS dalam persekitaran LEGAL SYSTEMS; TECHNOLOGY;ECONOMICS;POLITICS;SOCIO-CULTURE dan GLOBALISATION. Ini lah hakikat nya tapi Dr. Hamzah mencadangkan JALAN KELUARNYA. Dengan demikian nilai-nilai ideal Islam dapat bertumbuh subor ia itu Keadilan; Egalitarian; Keterbukaan dan Demokrasi.
Dr Hamzah, teruskan usaha baik sedemikian, jika tidak mengubah secara maksima sekarang , INSYAALLAH IA NYA PASTI MENGUBAH JUGA.Bagaimana Orang PAS, UMNO, baik PKR ? . Tepuk dada jangan tanya perut, tanya lah iman.
tq dari Bentayan.
salam. hebat hebat dan sekali hebat. alhamdulillah PAS tidak ketandusan pemikir dan ahli ilmuan. saya cadangkan dr hamzah jaafar dilantik sebagai setiausaha agung baru pas menggantikan dato mustafa ali @ cikgu pa sepertimana pas pernah melantik bekas pensyarah uia dan ukm ustaz nasharuddin mat isa menggantikan ustaz halim arshat yang uzur dan (di pangku oleh sekejap dato hishamuddin yahya ).
22/2/10 5:35 PTGsesungguhnya pas amat memerlukan pentadbir dan pembantu kepada presiden yang benar-benar boleh bekerja dalam suasana yang yang mengguntungkan pas dalam pakatan rakyat dan bukan melantik semula pemimpin yang dah veteran dan mempunyai pelbagai persepsi dan andaian kepentingan (kerana cikgu pas lah yang menyumbang faktor kekalahan pas di trg 2004 dan gagl merampas kembali pada 2008-pendapat saya).
sepatutnya parti sekarang ditadbir oleh golongan baru / muda dan berkebolehan menjana faedah semasa sedang berada dalam tahluf siyasi dalam PR.
maknanya jika kita mahu melihat kecemerlangan prestasi perjuangan kini maka kita wajib mempunyai pentadbir seperti dr hamzah ini kerana beliaupun berjaya dalam dakwahnya dan bisnesnya sekarang walaupun pernah turun naik pasang surut dalam gelombang bisnes suatu waktu dulu.
tolong fikirkan bersama.
zanari
menantikan cerita MENGAPA UMAR MELANTIK SAID BIN AMIR sbg gabenor.
23/2/10 10:10 PTGCatat Ulasan