MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

26 Februari, 2010

SENI : BIARKANLAH ARTIS WANITA MENYANYI ...



Dalam wawancara Harakah dengan saya tempohari bertajuk, “Biarkanlah artis wanita menyanyi tetapi dengan syarat …” saya berpandangan tak perlu kita menghalang wanita menyanyi bahkan tiada masalah sekiranya lelaki mendengar dan menyaksikan wanita menyanyi dengan syarat-syarat yang tertentu. Saya telah mengemukakan beberapa pandangan ulama yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan aksi tersebut. Saya memilih untuk menerima pakai pandangan yang membenarkan wanita menyanyi di khalayak ramai. (TGNA sedang mencuba permainan snoker setelah sekian lama diharamkan di Kelantan)

Saya bersetuju bukan kerana saya seorang yang suka mendengar lagu. Saya pun tak cukup masa untuk mendengar lagu kerana kesibukan menjaga kawasan di Jerantut sedangkan saya tinggal di Gombak, Taman Melewar. Tambahan pula saya sibuk dengan perniagaan untuk mencari sedikit rezeki harta benda untuk menyara anak isteri dan juga untuk menampung pergerakan saya menjaga kawasan. Di atas kereta pun saya tak minat nak mendengar. Semasa memandu, saya lebih suka berfikir apa yang patut dibuat untuk perniagaan saya dan untuk jamaah yang saya dukungi. Sewaktu memandu, banyak idea yang datang tapi tak boleh nak rekodkan kerana tengah memandu. Macam dalam sembahyang. Banyak idea datang sampai anak kunci hilang pun terjumpa tengah-tengah sembahyang. Tapi, tak boleh nak direkodkan sebab tengah solat.

Jadi.. saya bersetuju kerana ada pendapat yang mengatakan, harus bagi wanita menyanyi di khalayak ramai dengan menjaga adab-adab yang tertentu. Kalau ulama sepakat kata haram maka saya tak boleh nak kata harus. Kaya kena pakai yang kata haramlah.

Ya.. dalam Islam, adab amat dititik beratkan. Bermain badminton dan bolasepak serta menontonnya harus andaikata kita menjaga adabnya yang asas iaitu tidak meninggalkan solat. Kalau tidak, haramlah ia. Bukankah peringkat awal TGNA telah mengharamkan permainan snoker? Tetapi akhirnya TGNA sendiri mencuba permainan snoker setelah dibenarkan kembali oleh pihak Kerajaan Tempatan. Kenapa? Sebab dulunya snoker sinonim dengan judi. Kini, snoker adalah satu permainan untuk ketenangan fikiran dan menjaga kesihatan. Jadi .. TGNA dah ubah aksi ‘snoker haram’ kepada ‘snoker harus’. Mudah dan luaskan Islam ini? Itupun bergantung pada ulama yang menguruskannya. Kalau ulama berfikiran sempit, payah dan sempitlah Islam itu.

Keduanya saya bersetuju bila mana saya lihat dari sudut dakwahnya. Orang muda kadang-kadang rasa was-was nak sokong parti Islam. Mereka takut kalau-kalau mereka tak boleh lagi berhibur. Para artis lagi la takut. Takut kiranya mereka susah nak cari makan. Lagipun itulah kepandaian mereka dalam mencari sedikit wang. Walau pun kita boleh kata, banyak lagi kerja yang boleh dibuat untuk cari makan tetapi nak buat macamana, yang itu saja yang mereka pandai. Lainlah kalau kerja yang mereka buat jelas haramnya sampai tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharamannya.
Jadi ... dari sudut dakwahnya saya bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka boleh terima syarat-syaratnya. Paling tidak kita dapat ‘mengindahkan’ aksi artis semasa di atas pentas serta penyokongnya sekali. Sekaligus sudah tentu ini membuat mereka tidak berbelah bahagi untuk menyokong dan membantu politik Islam sehingga boleh memenangkan PAS lalu dapatlah kita mengurus dan mentadbir dengan acuan Islam.
(Gambar atas : Saya dan TGNA sewaktu dipertemukan oleh PAKSI berkaitan isu wanita boleh menyanyi di khalayak ramai)


Mungkin ada yang berkata, matlamat tidak menghalalkan cara. Ya .. saya bersetuju dengan kaedah feqah itu. Pertama, kaedah itu sesuai untuk perkara yang tiada khilaf pengharamannya. Kedua, persoalannya apakah membenarkan penyanyi wanita menyanyi di khlayak ramai itu dikategorikan sebagai cara tidak halal? Bukankah telah saya pertegaskan bahawa keharusannya bergantung kepada sejauh mana para artis dan penonton mampu menghayati adab-adabnya seperti tidak menari dengan aksi yang mengghairahkan, mesti menutup aurat, senikatanya berunsur nasihat atau penceritaan alam semesta dan menjaga pergaulan bebas.

Bayangkan kalau para artis dan peminatnya meyakini bahawa Islam tidak menghalang mereka menyanyi maka tak mustahil mereka akan berbondong-bondong memberi sokongan kepada PAS kerana mereka pun amat benci kepada UMNO. Saya pernah beberapa kali berjumpa dengan artis lelaki dan wanita terutama selepas saya menyampaikan kuliah di masjid di sekitar Lembah Kelang. (Tak perlu saya nyatakan nama mereka). Saya tanya mereka kenapa tak nak sokong PAS. Mereka kata ‘kami tau UMNO jahat. Kami pun tak sokong mereka. Kami tau PAS baik tapi mereka bawa Islam yang sempit. Semuanya tak boleh. Jadi kami takut nak sokong PAS. Takut tak leh cari makan. Tapi kalau PAS terbuka sikit, kami geng artis ni mesti sokong PAS. Walau pun PAS kata Islam tak cegah hiburan tapi kami sangsi lagi sebab bila ada program hiburan je, Pemuda PAS akan buat bantahan. Jadi, kami konfius (keliru) lah. Banyak kali dah mereka bantah. Sekarang dah ada kerajaan kenapa tak buat konsert yang beradab sopan. Mereka kata kami menyanyi tak ikut adab sopan. Sebenarnya silap tu. Bila kami diundang menyanyi, kami kena ikut kehendak penganjur. Kalau penganjur kata pakai tudung, jangan menari maka kami ikut je lah. Yang penting kami dapat sedikit wang untuk makan minum kami. Kami pun nak sangat buat persembahan depan TGNA. Kalau TGNA benarkan, barulah kami yakin dan rasa PAS ni memang betul-betul tak sekat hiburan. Setakat cakap dalam akhbar (selepas hantar surat bantahan supaya konsert dibatalkan) bahawa PAS tak sekat hiburan, kami tak pakai’.

Kita boleh bayangkan bagaimana tsunami politik telah berlaku apabila pemimpin dan penyokong UMNO berpaling tadah kepada PAS, PKR pada Tahun 1999. Lihat pula satu ledakan politik juga telah berlaku pada Tahun 2008 ekoran ramainya penyokong MIC dan MCA telah menyokong pembangkang.

Sekarang ada dua golongan lagi yang perlu kita ubah dan yakinkan mereka iaitulah golongan artis serta peminatnya dan peneroka FELDA. Sebenarnya ada satu lagi iaitu undi pos. Masalah undi pos, kita biarkan dulu. Jadi ... PAS kena yakinkan golongan artis serta peminat-peminatnya bahawa Islam yang dibawa oleh PAS tidak menghalang sama sekali aktiviti hiburan yang penuh dengan adab sopan. Kalau boleh biar orang sokong PAS bukan kerana benci UMNO sahaja tetapi kerana mereka suka dan yakin pada PAS.

Berbalik kepada persoalan penyanyi wanita yang disiarkan oleh Harakah dalam ruangan polemik maka ianya telah menimbulkan minat di kalangan ahli Persatuan Seniman Islam (PAKSI). Saya dihubungi oleh Sdr. Dinsman untuk mempertemukan saya dengan TGNA bagi membincangkan persoalan tersebut di rumah Kelantan, di Ampang, K. Lumpur. Saya bersetuju lalu pertemuan di atur di sebelah pagi pada 29.11.2008 sebelum TGNA bertolak ke Jerantut bagi merasmikan Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS).

Ikut adatnya saya tidak boleh tinggalkan Jerantut kerana ada 3 program penting yang dilakukan serentak pada sebelah malam hari itu. Program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia, Perasmian KIAS dan Pelancaran Program Jom Sertai PAS Peringkat Kebangsaan. Tetapi bagi menghormati permintaan PAKSI dan saya sendiri nak dengar pandangan TGNA mengenai persoalan wanita menyanyi di khalayak ramai maka saya bersetuju untuk bersama dalam perbincangan tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, wartawan Harakah dan beberapa orang ahli persatuan PAKSI termasuk seorang profesor, hadir sama. Saya berada di sebelah TGNA. Ahli persatuan mengemukakan pertanyaan kepada saya dan TGNA mengenai persoalan wanita menyanyi di khalayak ramai termasuk penonton lelaki. Yang jelas, TGNA memang mesra dengan AJK PAKSI.
(Gambar kiri : Saya, AJK PAKSI, termasuk wartawan Harakah bergambar kenangan dengan TGNA selesai selesai perbincangan)

Mungkin pembaca nak tau apa jawapan dan sikap TGNA dalam kes ini. Saya tidak dapat memberitahu pembaca tentang sikap TGNA dalam masalah ini. Takut sikapnya dah berubah, sebab masalah fekah boleh berubah ikut suasana. Jadi .. seeloknya anda pergilah tanya TGNA sendiri. Biar TGNA sendiri yang memberi pandangannya bukan dari mulut atau tulisan saya, itu lebih selamat.

Tapi cukuplah kalau saya katakan kepada mereka yang berminat nak menganjurkan konsert yang melibatkan artis wanita menyanyi di tempat terbuka yang disaksikan pula oleh kaum lelaki maka anda boleh buat kertas cadangan yang lengkap dan persembahkanlah kepada TGNA. Sekiranya beliau berpuas hati dengan bentuk perlaksanaannya seperti pakaian, jenis lagu, tiada tarian dan tiada percampuran lelaki perempuan maka Insya Allah saya yakin TGNA akan membenarkannya. Anda boleh jemput Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Dato’ Syarifah ‘Aini, Siti ‘Aisyah dan yang lain-lain. Dan pastikan konsert itu pula, perlu dibuat di Kelantan sahaja terlebih dahulu (sebelum dibuat di negeri yang diperintah oleh PR), agar mudah bagi TGNA nak menjawab sebarang kekeliruan yang bakal ditimbulkan nanti. Buatlah semasa TGNA masih MB Kelantan. Bincang elok-elok dengan TGNA. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk Dakwah Islam.

Yang penting, saya mahu orang seronok dan gembira dengan Islam yang di bawa oleh PAS. Saya sentiasa teringat akan hadis yang menyatakan ‘Islam akan diperkukuh dan disokong oleh orang-orang fasik’.

(Saya sedang mencari wawancara Harakah dengan saya tempohari untuk di posting dalam blog ini. Kalau jumpa nanti, saya akan posting Insya Allah).

Nota : Hari Sabtu dan Ahad, saya ada program. So... tak de lah posting yang baru.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Langkah Dr menongkah arus mungkin bakal menimbulkan spekulasi...
namun diharap Dr istiqamah kerana hasilnya, insya Allah Islam tidak dilihat sebagai agama yang mengongkong bahkan Islam itu sendiri bakal dilihat agama yang sederhana dan universal...

27/2/10 10:53 PTG
Tanpa Nama berkata...

Hujjah ilmiah tentang hukum wanita bernyanyi di

http://www.zaharuddin.net/content/view/495/99/

28/2/10 12:21 PTG
Tanpa Nama berkata...

pendapat ana, mmg benar kita kene ikut kesesuaian zaman, tapi perlu dibetulkan hukum Islam, cara hidup Islam tak boleh mengikut zaman bahkan zaman lah yang perlu mengikut cara hidup Islam...

ana setuju kita renung kata2 ustaz zaharuddin... http://www.zaharuddin.net/content/view/495/99/

suara wanita yg menyanyi pasti akan menlenggok/mengalunkan suaranya..di situlah akan menjadi haram hukumnya apabila lelaki yg mendengarnya lalai dek kemerduan suara perempuan

apa yang dihadapi oleh ust Zaharuddin, juga dihadapi oleh ana dalam kalangan sahabat2 ana,Islam x melarang hiburan, tetapi perlu adabnya..

16/3/10 2:20 PTG
Tanpa Nama berkata...

Setelah membaca artikel ustaz zaharuddin di http://www.zaharuddin.net/content/view/495/99/, saya merasakan ada satu sindrom yang kurang enak yang dialami oleh kebanyakan talabah agama.

Melalui artikelnya, ustaz zaharuddin menceritakan akan situasi talabah agama yang begitu excited, teruja dan terekstrim hanya dengan mendengar suara wanita. Ceritanya berkenaan anak muda yang mudah terangsang hanya dengan mendengar suara wanita di sebalik tabir serta kemaruknya talabah2 agama ini mendengar nasyid2 dilagukan oleh penasyid wanita adalah amat membimbangkan saya.

Kenapa? kerana talabah2 ini kebnyakannya berasal dari sekolah agama, sekolah pondok. Sebagai bekas talabah di sekolah agama, saya perlu nyatakan bahawa situasinya agak berbeza dengan sekolah aliran biasa kerana ada bi'ah atau environment yang mengekang pergaulan antara lelaki-wanita secara direct contact.

Jadi apabila mereka berhadapan dengan realiti dunia sebenar, iaitu tiada tabir atau tembok yang menghalang direct-contact antara mereka, kebanyakannya terkena renjatan 'kejutan budaya' kerana tidak biasa berhadapan dengan situasi itu. Jadilah mereka terlebih rangsangan sensitivitinya. Dengan hanya stimulasi2 yang remeh-temeh seperti suara sahaja mereka sudah jadi kemaruk & terkesima!

Saya mungkin tidak tinggi pemdidikan agama, namun saya rasa, jika Nabi benar2 inginkan ada batas pergaulan antara lelaki-wanita, nescaya akan didirikan tembok penghalang di jalan-jalan raya. Sadis bunyinya, namun kenapakah itu yang diajar di sekolah2 agama? Lalu hasilnya jadilah talabah lelaki kaget dengan wanita. Ada yang lebih teruk, kerana tidak biasa berhadapan dengan wanita, dan merasakan wanita itu makhluk dari planet lain,suburlah perasaan cinta songsang yang dikeji agama.

Bersederhanalah..... itu ajaran nabi yang ditinggalkan buat kita.

27/3/10 9:39 PG
Tanpa Nama berkata...

keadaan talabah yg di gambarkan tu bukanlah kejutan budaya...ia adalah satu momentum kebebasan yang tidak ada ukuran yg jelas...suasana hidup dengn agama bukan lah jenis terlalu terbuka sehingga banyak kecelaruan tentang pemahaman Islam itu sendiri. bagi saya, apa yg diperkatakan olh ust zaharudin adalh cukup jelas....jika dikaji, banyak hukum Allah Taala ni menentang nafsu manusia...bukan mengongkong, tetapi hakikat hidup sebagai hamba Allah, adakah kita ni benar2 beriman? perihal perempuan ini nabi Muhammad telah nyatakan dalam hadis yg jelas sekali menyatakan, "takutlah kamu fitnah perempuan" . kuasa godaan wanita ni sangt bahaya! sebab itu ulamak banyak memperincikan bagaimana keadaan yang dibenarkan untuk bergaul diantara perempuan dan lelaki...jagan kita pandai2 merubah sebelum kajian menyeluruh dilakukan sepertimana kajian para ulamak muktabar lakukan.

3/6/10 2:29 PTG

Catat Ulasan