PENYANYI WANITA : PERLU KETERBUKAAN DARI SUDUT PENDEKATAN DAKWAH
(Berikut adalah sedutan dari wawancara Harakah dengan saya selepas muktamar PAS di Perak 2008 mengenai penyanyi wanita dalam konteks Pendekatan Dakwah, seperti yang saya pertegaskan dalam ucapan dalam muktamar mewakili PAS Pahang)
Apakah asas yang menyebabkan Dr yakin dengan pendekatan Dakwah dalam menangani masalah sosial?
Asas saya yang pertama ialah dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan saya di Universiti Al Azhar di mana saya telah memasuki Kuliah Dakwah Islamiah bersama 6 orang kawan saya pada masa itu. Kira-kiranya agak aneh jugak pada waktu itu kerana kebanyakan pelajar Melayu di Mesir memasuki Kuliah, Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Kebetulan waktu itu dikira tahun percubaan untuk pelajar luar, dibenarkan memasuki Kuliah Dakwah. Sebelum itu, pelajar luar termasuk pelajar Melayu yang nak belajar Ilmu Dakwah, kena masuk Kuliah Usuludin di Jabatan Dakwah. Itupun Tahun Ketiga baru boleh masuk.
Selama 4 tahun saya di Kuliah Dakwah, pendedahan banyak berkisar bagaimana untuk menarik minat orang terhadap Islam dan bagaimana mahu mengubah minda dan tingkah laku manusia kepada yang lebih baik. Di sini, kami diajar ilmu psikologi dan sosiologi yang mana ianya amat penting untuk mengubah minda dan tingkah laku manusia.
Ekoran daripada asas yang pertama menerusi pembelajaran saya di Kuliah Dakwah, Universiti Al Azhar maka timbullah asas yang kedua iaitu saya terpengaruh dengan dakwah Nabi saw yang memperlihatkan seni yang hebat dalam dakwahnya.Contohnya suatu ketika seorang kafir datang bertemu dengan Rasulullah saw dan berkata ‘Ya Muhammad, Aku nak masuk Islam tapi aku nak juga mencuri.’. Nabi saw tidak menjawab menggunakan pendekatan hukum dengan menyatakan ‘Tak boleh. Kalau engkau masuk Islam dan masih lagi mencuri, tangan engkau akan dipotong.’ Atau pendekatan Ahli Usuluddin dengan menyatakan ‘Tak boleh. Kalau engkau masuk Islam, tapi terus mencuri maka engkau akan berdosa dan akan masuk dalam neraka.’
Dalam kes ini, Nabi saw menggunakan pendekatan dakwah dengan mengatakan ‘Boleh. Syaratnya engkau jangan berbohong.’ Seronoknya si kafir ini bila mendengar jawapan Nabi saw lalu ia memeluk Islam. Tatkala ia hendak mencuri ia teringat bagaimana kalau Nabi saw bertanya apakah ia ada mencuri atau tidak hari ini. Baginya tentu rasa malu untuk mengaku mencuri sebab dah masuk Islam. Sedangkan dia terpaksa bertemu Nabi saw setiap hari kerana nak belajar Islam. Maklumlah baru masuk Islam. Bila bertemu Nabi saw, tentu Nabi akan bertanya, hari ni ada mencuri ke tak. Akhirnya si muallaf itu terus berhenti mencuri. Inilah kehebatan pendekatan dakwah yang memerlukan kebijaksanaan yang cukup tinggi.
Dr ada menyebut tentang konsert ketika membahaskan ucapan dasar dalam muktamar baru-baru ni. Apa pandangan Dr terhadap konsert terutama dalam isu penyanyi wanita yang tidak dibenarkan menyanyi?
Terlebih dahulu saya nak jelaskan bahawa saya akan mengemukakan pandangan berdasarkan pendekatan dakwah dengan mengambil kira hukum Islam. Mengenai konsert, saya berpandangan ianya tak salah. Yang salahnya ialah perlaksanaan samada dari sudut percampuran lelaki dengan perempuan, masa persembahan, lirik lagu serta gerak badan yang melampau.
Adapun penyanyi wanita, mereka boleh terus menyanyi asalkan mereka bersedia menjaga adab sopan dan akhlak Islam sesuai dengan kewanitaan mereka. Antaranya ialah mereka mesti menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang mengiurkan. Itu saja. Kalau mereka boleh jaga 2 perkara ini maka tiada sebab mereka tidak boleh menyanyi di khalayak ramai.
Macamana dengan suara mereka yang dikatakan aurat?
Ya. Persoalan inilah yang menarik untuk saya bahaskan. Sebenarnya aurat wanita kalau mengikut Ulama’ Muktabar termasuk Al Imam An Nawawi, ianya tidak aurat. Namun begitu, ada juga yang menyatakan aurat. Cuma ianya menjadi perbahasan apabila wanita menggunakan suara untuk menyanyi. Dalam hal ini saya ingin menonjolkan pandangan Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan di mana mereka berdua menyatakan harus wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka menjaga adab-adab iaitu menutup aurat dan tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah. Hujah mereka ialah Nabi saw pernah membiarkan hamba wanita menyanyi sedangkan pada masa itu Abu Bakar r.a menegur Aisyah dengan berkata, suara syaitan apa ini? Jadi, dalam konteks dakwah, saya berpandangan apa salahnya kalau dibenarkan wanita menyanyi?
Saya bimbang sekiranya kita terlalu ‘ketat’ dalam masalah begini maka ia akan merugikan Islam dan dakwah Islam sekaligus menjadikan Islam kelihatan bukan satu Ad Din yang meraikan naluri manusia dengan memandu naluri manusia mengikut acuan Islam. Naluri manusia terutama anak muda ialah mereka nak kepada hiburan. Jadi kita kena kemukakan bentuk hiburan mengikut acuan Islam. Jangan kita dok asyik bantah dan sekat program hiburan. Kalau ini berterusan, anak muda akan takut dan lari dari kita. Dalam konteks politik berpilihanraya, mereka tak sokong kita lah. Inilah yang saya maksudkan dalam perbahasan di muktamar baru-baru ini. Kita hendaklah memandu bukannya menghukum. Kita kena bawa Islam kepada masyarakat mengikut kemampuan mereka dengan mengambil kira kelemahan umat di akhir zaman ini.
(Gambar kanan : Penyanyi wanita yang berpakaian seperti ini mungkin boleh dipertimbangkan buat permulaan)
Bagaimanakah bentuk konsert yang paling minimum dan wajar diadakan mengikut pandangan Dr?
Bentuk konsert yang boleh diketengahkan buat masa ini ialah seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan tempohari semasa Mawi mengadakan persembahan. Waktu itu, M.Nasir juga dijemput. Cuma, eloklah kalau dibenarkan juga penyanyi wanita mengadakan persembahan dengan syarat mereka menutup aurat dan tidak menari berlebihan. Saya syorkan juga supaya diadakan satu slot di mana diadakan juga satu ceramah atau tazkirah ringkas antara beberapa lagu dan kalau boleh adakan juga zikir munajat. Ceramah atau tazkirah pula, hendaklah menjurus kepada persoalan yang boleh menyedarkan hadirin tentang apa tujuan mereka hidup, untuk apa mereka dihidupkan dan ke mana mereka akan pergi.
Dengan cara ini, saya yakin jiwa anak muda yang kosong akan terisi dan terusik dek ceramah yang menyentuh tentang kehidupan hakiki. Saya yakin dengan adanya tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, hidayah akan menyelinap masuk ke dalam hati mereka. Pada masa itu, mereka akan dapat merasai kepuasan dan ketenangan jiwa yang luar biasa mengalahkan kepuasan yang diperolehi menerusi hiburan ‘menyanyi’ semata-mata. Tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, Insya Allah mampu mengetuk pintu hati mereka untuk menghayati ajaran Islam. Maknanya kita kena ambil peluang di atas kehadiran anak muda untuk mendengar nyanyian dengan menyelitkan sedikit tazkirah dan zikir munajat.
Di kala itu, mereka akan melihat konsert anjuran PAS / Pakatan Rakyat lebih terurus dan terarah dan lebih memberi kesan dalam mendidik jiwa mereka. Di kala itu juga mereka mula faham bahawa Islam tidak melarang untuk berhibur tetapi berhibur tidak boleh berlebihan sebagaimana garam tidak boleh berlebihan dalam makanan. Kelak ia masin langsung tak boleh makan atau ia merusakkan kesihatan. Begitulah juga hiburan dalam Islam tak boleh berlebihan kelak ia akan merosakkan jiwa dan masyarakat. Hiburan hanya sekadar untuk menghilangkan kebosanan dan kepenatan jiwa, badan dan fikiran. Mungkin mereka bosan dan penat dalam menjalani hidup mereka, tambahan pula dengan tekanan dari sudut ekonomi angkara rasuah dan penyelewengan pemimpin UMNO/BN. Jadi mereka nak kepada hiburan. Kerajaan PAS/Pakatan Rakyat hendaklah tunjuk kepada masyarakat, bagaimanakah bentuk konsert atau hiburan yang terbaik. Sementara ada kuasa, kita buatlah apa yang patut. Nanti orang kata, kita ni hanya pandai kritik je.
Dalam ilmu dakwah, apakah pertimbangan yang di ambil kira sehingga kadang-kadang semacam ianya bertentangan dengan hukum?
Pertimbangan dalam berdakwah ialah kita hendaklah meminimumkan kejahatan dan kemungkaran diperingkat awal, untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum di peringkat akhirnya. Banyak di kalangan kita begitu ghairah untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum seawal dan secepat mungkin, yang akhirnya langsung tak dapat apa-apa. Maknanya kita kena bijak mencongak sifir.
(Gambar kiri : Penonton yang hadir semasa persembahan Mawi & M. Nasir di Kelantan selepas Tok Guru Nik Aziz menyampaikan tazkirah)
Contohnya cuba kita lihat pada jawapan Nabi saw bila ditanya oleh lelaki kafir, apakah boleh saya masuk Islam tetapi saya nak terus mencuri. Nabi saw kata boleh. Syaratnya jangan menipu. Seolah-olah macam Nabi saw lawan hukum.
Dalam hal ini, kalau Nabi saw kata tak boleh maka mungkin si lelaki itu akan terus kekal dalam kekufuran. Ditaqdirkan dia mati maka tentunya dia akan masuk neraka selama-lamanya. Tapi kalau dia masuk Islam dan terus kekal dengan kerja mencurinya itu dan ditaqdirkan dia mati maka dia mati sebagai seorang Islam yang fasik. Dia akan masuk syurga jua setelah dicelup dalam neraka. Masuk syurga setelah dicelup dalam neraka adalah lebih baik daripada masuk neraka dan kekal selama-lamanya. Inilah yang dikatakan ‘meminimumkan kejahatan’ iaitu menjadi Islam yang fasik lebih baik dari menjadi kafir.
Namun begitu, Nabi saw tetap menaruh harapan agar si lelaki itu berubah perangai menjadi insan yang soleh. Sebab itu Nabi saw bagi syarat ‘jangan menipu’. Maksudnya oleh kerana lelaki tu dah masuk Islam maka dia kena sentiasa hadir majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Di situlah lelaki itu akan menghirup hidayah ilahi. Dan tentunya Nabi saw akan bertanya setiap hari, apakah beliau mencuri pada hari tersebut. Tentunya beliau malu untuk menipu sekiranya beliau ada mencuri. Sebab Nabi saw dah bagi syaratnya iaitu jangan menipu. Bermula dari itulah maka beliau terus meninggalkan kerja mencuri. Inilah yang dikatakan ‘kebaikan maksimum diakhirnya’.
Dalam konteks konsert seperti yang saya cadangkan tadi, kita cuba meminimumkan kemungkaran dalam konsert. Caranya ialah kita bagi syarat kena tutup aurat dan jangan menari-nari dengan tarian yang melampau, percampuran lelaki harus dibataskan, waktu persembahan juga harus diambil kira dan slot untuk tazkirah perlu diadakan. Saya yakin, akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita sekaligus menjadikan Kerajaan PAS/Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan mesra seni dan budaya, bukannya menolak atau membantah program kesenian dan kebudayaan tanpa mengemukakan altenatifnya.
Apa untung dari sudut dakwah dan politik kalau dianjurkan konsert seperti yang Dr cadangkan itu.
Pertama yang pentingnya kita nak tonjolkan kepada anak muda bahawa Islam yang di bawa oleh PAS tidak menghalang manusia untuk berhibur samada menerusi konsert atau teater dan seumpamanya. Selama ini UMNO/BN menakutkan anak muda bahawa sekiranya PAS memerintah, hiburan tidak dapat diadakan lagi dan penyanyi wanita pula tak dibenarkan menyanyi.
Jadi seandainya Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil pendekatan ‘membantah konsert’ bukannya menguruskan konsert mengikut acuan akhlak Islam dan tidak membenarkan langsung wanita menyanyi di khalayak ramai maka ini seolah-olah mengesahkan dakwaan UMNO. Dan tak mustahil jika pendekatan ini berterusan maka anak muda berpaling semula kepada UMNO/BN. Kita kena ingat, mereka sokong Pakatan Rakyat dalam PRU12 baru-baru ini bukannya kerana suka kat kita tetapi disebabkan mereka benci kat UMNO/BN. Jadi kalau kita bimbing dan atur elok-elok bentuk konsert mengikut akhlak Islam maka persepsi masyarakat terhadap PAS akan menjadi positif dan ini akan memberi keuntungan politik kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Keduanya dari sudut mengubah minda, jiwa dan adab sopan. Dengan adanya ceramah atau tazkirah ringkas serta zikir munajat serta syarat menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang melampau maka saya yakin akan berlaku perubahan pada jiwa, minda dan akhlak samada di pihak artis maupun pengunjung. Selama ini ramai beranggapan bahawa tak menarik sekiranya artis tak mendedahkan aurat dan tak menari-nari.
Tetapi bila dikenakan pakaian menutup aurat dan tiada pergerakan badan yang melampau maka mereka tetap terhibur juga. Bahkan artis itu sendiri kelihatan lebih ayu dan sopan bila bertudung. Yang penting, suara dan lirik lagu yang penonton nak dengar. Tak menari nari pun tak pe.
Kalau kita perhatikan M. Nasir dan Ramli Sarip sebagai contoh. Kedua-duanya tak pandai menari pun. M. Nasir tariannya lintang pukang tapi suaranya sedap dan lirik lagunya bagus. Ramli Sarip pula kelihatan kaku tapi suaranya bagus, liriknya berunsurkan ketuhanan. Begitu juga dengan beberapa penyanyi wanita yang lain yang saya perhatikan lirik dan senikata lagunya bagus. Umpamanya lagu Zaiton Sameon berjudul ‘Menaruh Harapan’, Mamat ‘Oh Ibu’, Dato Siti Nurhaliza dan sebagainya lagi. Saya sendiri ada menghimpunkan lagu-lagu yang baik samada dari penyanyi wanita maupun lelaki dalam satu kaset. Paling tidak saya pasang bila dalam kereta bersama anak isteri. Bukan apa, sekadar nak beritahu pada mereka ini adalah lagu yang baik-baik. Mereka boleh dengar lagu-lagu yang bagus. Kalau tak buat macam tu, atau kalau kita sekat mereka dari mendengar lagu, sudah tentu mereka akan mendengar lagu-lagu yang tak elok bila ada peluang tanpa diketahui oleh kita.
Apa cadangan Dr lagi dan kenapa Dr tak buat konsert sendiri sedangkan Dr YDP PAS Kawasan Jerantut.
Saya nak cadangkan kepada Kerajaan PAS/Pakatan Rakyat supaya membenarkan penganjuran konsert seperti yang saya cadangkan dengan menampilkan penyanyi popular seperti Dato’ Siti Nurhaliza, M. Nasir, Ramli Sarip, Noraniza Idris, Mawi, Wahida, Kumpulan Nasyid dan sebagainya. Saya dapati lagu-lagu mereka ada yang baik dan menarik. Kebanyakannya lagu tradisional. Persatuan Seniman Islam / PAKSI boleh berfungsi sebagai penganjur. Manakala pihak kerajaan hendaklah memberi sokongan moral dan kewangan jika perlu.
Dan Insya Allah di pihak saya bersama AJK PAS Kawasan Jerantut, kami akan mengadakan Malam Budaya Rakyat Malaysia pada Novemer 2008 nanti, dengan menghimpun 3 budaya utama iaitu Melayu, Cina dan India di Kompleks Imam Al Syafie’, Jerantut. Insya Allah ianya akan dirasmikan oleh Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sekian terima kasih.
0 ulasan:
Catat Ulasan