Pada 20.9.2011, seperti lazimnya Kerajaan PAS Kelantan akan menyambut Hari Hudud dengan harapan agar Umat Islam di Malaysia sentiasa merasai bahawa perundangan Islam termasuk undang-undang jenayah adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mendaulatkannya demi untuk menjaga harta, nyawa dan mereka sendiri.
Namun begitu, UMNO/BN pula menyambutnya sebagai modal politik untuk meraih sokongan Kaum Cina & India yang kini telah beralih dari barisan BN ke bulatan PAS, dengan harapan Kaum Cina & India berpaling arah masuk semula ke dalam barisan BN.
Lantas isu hudud terus dimainkan oleh UMNO/BN sehingga berjaya mewujudkan suasana ‘cemas’ apabila pemimpin PAS & DAP termakan jerat UMNO dengan menari ikut rentak yang dipalu oleh UMNO sehinggalah satu pertemuan antara parti kompenan PR terpaksa diadakan untuk mencari kata sepakat dalam menangani isu hudud.
Paluan UMNO dalam isu hudud ini sedikit sebanyak telah berjaya :
- Melonggarkan kepercayaan Kaum Cina & India tehadap PAS lantaran mereka setiap hari ditakut-takut dengan hudud dalam siaran akhbar dan media elektronik mereka.
- Melupakan seketika pimpinan dan petugas PAS terhadap isu besar dalam sistem pilihanraya yang telah berjaya diselongkar oleh PAS terutamanya oleh Pemuda PAS iaitu Saudara Suhaizan Kaiat iaitu daftar pengundi dari warga asing yang mencecah angka ratusan ribu pengundi.
Saya berpandangan bahawa PAS telah berjaya memberi faham kepada Umat Islam di Malaysia mengenai hudud sehingga orang-orang UMNO sendiri telah turut sama meyakininya dan tidak lagi mempersendakan hudud. (kecuali beberapa pemimpin UMNO)
Pada hemat saya, kita boleh berbincang mengenai hudud pada bila-bila masa dan keadaan yang kita mau namun kita juga harus tahu bahawa tidak semua benda baik boleh dibicarakan atau dilakukannya dalam semua waktu dan keadaan. Membaca ‘bismillah’ itu baik tetapi bila makan nasi, cukuplah baca sekali sahaja. Baca banyak kali pun tak mengapa tetapi tak sesuai. Melarang orang minum arak itu bagus tetapi kalau mereka sedang minum berkumpulan dalam keadaan mabuk dan kita pula seorang diri maka di kala itu kita tidak perlu melarang mereka takut-takut timbul mudarat yang lebih besar di mana mungkin mereka akan memukul dan mencederakan kita. Cukuplah kita membuat lapuran kepada pihak berkuasa.
Dalam konteks hudud, untuk melaksanakannya, kita memerlukan kuasa. Kita perlu berkuasa di peringkat negeri dan lebih mudah laluan untuk perlaksanaan hudud ini sekiranya kita berkuasa di peringkat persekutuan. Untuk berkuasa di peringkat negeri atau / dan persekutuan pula, kita perlu menang pilihanraya.
Dalam konteks Malaysia pula, untuk menang pilihanraya kita perlu berhempas pulas dengan penyelewengan dan penipuan ‘berangkai’ & ‘sekawan’ yang dilakukan oleh UMNO/BN dengan rakan kongsinya dari beberapa agensi kerajaan seperti SPR, JPN, Polis dan seumpamanya. Lihat sahaja kes terbaru bagaimana pihak polis boleh menyatakan bahawa bas yang membawa pendatang asing seramai 240 orang itu (yang ditahan oleh Pemuda PAS) adalah peserta kursus keusahawanan. Lucu bukan??!!
Justeru itu, alangkah baik sekiranya kita memberi tumpuan dan fokas terhadap isu yang berkaitan dengan penyelewengan yang ada pada sistem pilihanraya. Saya rasa dalam keadaan terlalu ramai warga asing yang ada mykad ini, kalau SPR setuju guna dakwat sekalipun, belum tentu kita boleh menang sekiranya pengundi dari warga asing ini dibenarkan mengundi.
Ingat … mereka wajar dibenarkan mengundi kerana mereka ada mykad. Apabila mereka mengundi, mungkin mereka juga akan dicelup jari sama seperti kita warga Malaysia namun disebabkan jumlah mereka yang terlalu ramai,yang telah diatur dengan licik di setiap DUN dan PARLIMEN maka akhirnya BN juga yang menang. Tak mustahil mereka mengatur dan menyusun pengundi dari warga asing ini sewaktu kita sedang sibuk berbicara fasal hudud termasuk berbicara mekanisma dan teknikal kearah perlaksanaan hudud. Mereka boleh berlakun untuk menyedapkan hati kita bahawa mereka ragu dengan 40,000 pengundi dengan menyemak kedudukan pengundi tersebut. Tapi mungkin juga mereka telah berjaya mengatur ratusan ribu yang lain sewaktu kita sedang sibuk dengan isu hudud. Mereka juga sedang berkira-kira untuk menggunakan dakwat kekal kononnya sedangkan mereka dah tau, guna dakwat kekal pun mereka boleh menang dengan undi warga asing. (kecuali Allah swt membalikkan hati mereka dengan mengundi PR)
Apa yang dapat saya simpulkan ialah membicarakan isu hudud dalam suasana kita sudah hampir dengan PRU 13 dan juga dalam suasana kita telah berjaya menyelongkar beberapa kes yang meragukan dalam daftar pemilih adalah dirasakan tidak berapa sesuai dengan masanya sekarang. Tapi .. kalau nak berbicara juga, tidak mengapa namun harus diingat, perlaksanaannya hanya boleh dibuat bila kita dah berkuasa. Nak melaksanakan hukuman ‘rotan’ anak kerana tak solat dan hukuman ‘pukul’ isteri kerana nusyuz, kita boleh laksanakan pada bila-bila masa dek kerana mereka tak solat atau nusyuz. Tetapi kalau kes mencuri dan berzina, sekalipun dilakukan oleh anak kita atau isteri kita, kita tetap tidak boleh kerat tangan atau rotan / rejam mereka. Kalau kita berdegil mahu melaksanakan hukuman tersebut maka akhirnya kita juga akan dihukum qisas oleh kerajaan. Kenapa?? Sebabnya hukuman ke atas pencuri dan penzina hanya boleh dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa sahaja iaitulah yang memerintah sesebuah Negara.
Oleh itu, jangan kita terperangkap dengan jerat UMNO/BN yang mahu kita hilang fokas dan tumpuan terhadap isu-isu yang boleh meggagalkan usahanya untuk berkuasa. Di pihak kita pula janganlah berkata bahawa kerana terlalu laba untuk ke Putrajaya maka kita sanggup melupakan impian kita untuk melaksanakan hudud. Sebenarnya kita harus laba dan bersungguh-sungguh untuk ke Putrajaya kerana kita amat serius dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hudud. Ingat … kita harus berusaha ke Putrajaya dulu baru ada potensi untuk laksanakan hudud.
Jangan kita menjadi seperti jurulatih dan pemain yang mana di kala melihat seorang pemain sudah hampir berjaya menjaringkan gol terakhir di minit terakhir untuk bergelar juara, tiba-tiba pemain lawan bertempik menyatakan kepada pemain terbabit bahawa mereka dipanggil jurulatih untuk berbincang apakah jenis menu dan di hotel manakah hendak diadakan majlis meraikan kejuaraan mereka yang bakal mereka kecapi sedangkan gol masih belum dijaringkannya. Pemain yang hendak jaringkan gol terus hilang tumpuan sebab dia sendiri nak cadangkan supaya tempah seekor kambing untuk dibakar.
Tengah asyik berbincang, dikala itulah pemain lawan yang sudah hampir kalah itu berkompromi dengan pengadil, lalu mengambil bola untuk disumbat ke dalam gol lawannya yang sedang asyik berbincang untuk membuat majlis bagi meraikan kemenangan. Akhirnya mereka menang dan pasukan yang hampir menang itu, kalah kerana mereka hilang fokas. Sepatutnya sumbat gol dulu dan pastikan kemenangan, baru berbincang soal majlis keraian dan seumpamanya. Ingat .. kita sering mengungkapkan kalimah ‘kita bermain di sebuah padang yang tak sama rata bahkan kadang-kadang bila kita nak sumbat gol, pengadil sendiri bawa lari tiang gol’. Kalau begitu, kita jangan mudah hilang fokas dengan isu yang disensasikan oleh UMNO/BN.
Begitu juga dengan peistiwa peperangan Uhud jangan dilihat hanya dari sudut ‘wajib ikut arahan ketua’ tetapi ia juga mengajar kita supaya kalaupun nak buat sesuatu perkara yang hanya boleh dibuat setelah mencapai kemenangan mutlak maka buatlah perkara tersebut setelah mendapat kemenangan mutlak. Malangnya sahabat-sahabat meninggalkan Bukit Uhud untuk turun berebut mengambil harta rampasan perang dalam keadaan kemenangan belum dimuktamadkan lagi, akhirnya mereka kalah, sedangkan mereka telah menang sebenarnya. Cuma belum dimuktamadkan lagi oleh Rasululullah saw. Mereka gopoh bertindak turun ke bawah dan berkerumun untuk mengambil harta rampasan perang sedang Nabi saw belumpun mengarahkan mereka turun meninggalkan Bukit Uhud. Akhirnya musuh yang telah pun lari lintang pukang, kembali semula untuk menyerang.
Akhir kata, saya berdoa agar kita semua jangan hilang fokas terhadap isu pilihanraya bahkan kita hendaklah laba dan bersungguh-sungguh untuk ke Putrajaya sebagai membuktikan bahawa kita memang serius dalam perlaksanaan hudud. Bahkan apabila kita telah sampai ke Putrajaya, ruang untuk berbincang dan menerang lebih luas dengan adanya kemudahan TV, radio, suratkhabar dan seumpamanya. Semuanya ini penting untuk mewujudnya suasana ‘kondusif’ terlebih dahulu, sebelum hudud diaktif.