MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

08 April, 2010

PAS TELAH GADAI PRINSIP PERJUANGAN !!!???

Perkembangan PAS yang terus mara ke hadapan telah menyebabkan berlaku kejutan kepada penyokong PAS. PAS telah sekian lama menerajui Kerajaan Kelantan. Kini PAS juga mengepalai Kerajaan Kedah. PAS juga pernah mengetuai Kerajaan Perak walaupun kemenangannya kecil. Ianya bagaikan Nabi saw mengepalai pemerintahan Madinah sedangkan Umat Islam di situ pada waktu itu terlalu kecil jumlahnya. Di Selangor pula PAS bersama dalam pemerintahan dengan rakan dalam PR iaitu PKR dan DAP.

PAS bukan sahaja disokong oleh orang Islam tetapi PAS juga didokongi oleh orang bukan Islam. Perkembangan menarik ini telah menimbulkan persoalan di dalam kotak pemikiran ahli. Antara persoalannya ialah apakah PAS kini telah menggadaikan prinsip perjuangan Islamnya?

Apa asas mereka berkata demikian? Asasnya ialah apa yang dilaungkan PAS selama ini seperti kalau kita memerintah, kita akan hapuskan judi, kedai arak, hiburan melampau dan seumpamanya. Nampaknya kilang arak terus megah di Selangor, kedai judi dan arak terus beroperasi di Kedah. Pemimpin PAS dah tak sebut lagi kalimat atau zikir dalam ucapannya sebelum ini iaitu ‘kita hendak menegakkan hukum Islam dan Negara Islam’.

Persoalan ini telah ditimbulkan oleh ahli PAS di banyak tempat. Baca di sini. Sebenarnya inilah kesan apabila kita mengambil pendekatan hukum sedangkan hukum Islam itu sendiri terlalu fleksibel atau anjal. Bukankah hukum ke atas pencuri di ‘kiv’ kan dulu sewaktu zaman ekonomi meleset? Bukankah seorang wanita yang terpaksa berzina (kerana diminta berbuat demikian sebagai syarat untuk mendapatkan susu oleh empunya kambing yang mempunyai susu yang banyak) kerana perlukan susu untuk anaknya, dibatalkan perlaksanaannya? Bukankah Al Walid terlepas dari hukuman rotan kerana minum arak sewaktu dalam peperangan?

Semuanya ini adalah contoh yang sedikit dari contoh yang amat banyak. Ia menggambarkan, perlaksanaan hukum apa sekalipun, adalah tidak seperti yang kita sangkakan dari sudut kewajipan melaksanakannya. Ia banyak bergantung kepada keadaan. Hatta hukum sembahyang sekalipun boleh ditangguhkan atas nama jama’ dan boleh dipendekkan atas nama qasar jika kita berada dalam keadaan dan situasi yang tertentu.

Dengan sebab itu, sekiranya kita mengambil pendekatan hukum dalam dakwah kita, dengan mengenepikan pendekatan dakwah dalam melaksanakan hukum maka kita akan terus berhadapan dengan fitnah yang mengelirukan ummah.

Sebenarnya PAS sama sekali tidak menggadaikan prinsipnya dalam mengurus tadbir negeri yang diperintah atau yang dikongsi bersama. Tidak menutup pusat judi atau kedai arak bagi Negeri Kedah atau Selangor atau Perak atau Penang bukan bermakna PAS menggadaikan prinsip. Kedudukan negeri-negeri tersebut tidak sama dengan Negeri Kelantan. Dari sudut tempoh pemerintahan pun tak sama juga. PAS dah perintah Kelantan selama 20 tahun sedangkan yang lainnya baru 2 tahun.

PAS tidak pernah melafazkan bahawa menegakkan Negara Islam tidak perlu atau tidak wajib dan PAS juga tidak pernah mengungkapkan bahawa judi atau arak itu halal. Seandainya PAS ada melafazkan sedemikian rupa semata-mata kerana hendak mengekalkan kuasa atau hendak merebut kuasa maka barulah boleh dikatakan PAS telah menggadaikan prinsip.

Walau apapun saya berpandangan, betapa pemimpin PAS harus menjelaskan perkara ini khususnya kepada masyarakat desa yang kadang-kadang tertelan juga racun yang disuap oleh UMNO/BN di media massa yang mengatakan PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya demi untuk berkuasa. Kepada ahli pula, berilah sedikit kepercayaan kepada pemimpin kita yang sudah tentu mempunyai kebijaksanaan dalam mengurus tadbir negeri dengan menggunakan kaedah usul fiqh dengan mengambil kira Siasah Syari’yyah. Wallahu’alam.

3 ulasan:

pepe_manjung berkata...

saya setuju dengan artikel ini,.,syabas PAS,..,pendekatan pas telah berjaya masuk kesetiap sanubari berbilang kaum di malaysia ini,.,,.tidak mengenal agama,warna kulit dan kaum,..,tahniah PAS,.,.semoga usaha2 ini di rahmati oleh NYA,.,..

8/4/10 10:05 PG
Tanpa Nama berkata...

PAS wajar memperkasakan kefahaman ahli berkenaan perkara ini supaya tidak menimbulkan konflik atau resah berpanjangan. PAS hari ini bergerak dalam realiti dunia tanpa sempadan. Setiap tindak-tanduk PAS sebagai organisasi politik Islam bukan shj dipantau di dalam negara malah menjangkau hinga global.

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dalam buku Fiqh Keutamaan. Buku ini wajar dibaca dan dikupas mengikut realiti Malaysia bagi membina kefahaman utuh di kalangan ahli PAS.

Karim

9/4/10 12:47 PG
Jebon berkata...

Salam ustaz,

Kami di Selangor amat faham dengan situasi atau strategi ini. Cuma kadang-kadang ada dikalangan ahli sendiri yang tidak faham serta terlalu fanatik sehinggakan minum minuman yang berjenama barbican pun nak dijadikan isu besar.

Mereka terlalu berdiri atas hukum tanpa ada fleksibiliti hinggakan orang kafir pun nak dihukum oleh mereka. Kami sebagai rakyat biasa tidak nampak pemimpin-pemimpin yang berkualiti (bukan semua) di dalam PAS. Kebanyakan kenyataan yang keluar dari mulut mereka merupakan kenyataan keras yang menakutkan orang kafir serta orang Islam yang jahil. Tidak kelihatan ciri-ciri dakwah yang dikeluarkan oleh PAS melainkan paksaan-paksaan supaya rakyat kebanyakan mengikut hukum Islam termasuk orang kafir.

Pada pandangan saya kita perlu menerapkan kefahaman kepada mereka yang jahil terlebih dahulu kerana kami semua masih jahil serta merupakan golongan majoriti di negara ini. Alim ulama serta mereka yang betul-betul faham tentang hukum Islam tidak ramai. Kami semua dibesarkan di dalam keluarga umno yang tidak mengamalkan kehidupan Islam yang sebenar. Kami hanya dilahirkan Islam serta diasuh dengan ilmu asas beragama Islam sahaja seperti solat, puasa, zakat dan haji. Yang lainnya kami tidak diberi kefahaman secara mendalam.

Oleh itu, kepada pemimpin PAS, saya harap janganlah kamu semua anggap rakyat Malaysia yang beragama Islam ini faham semua tentang Islam serta boleh mengikut sahaj apa kata pemimpin. Terapkan nilai-nilai dakwah dahulu untuk memberi kefahaman kepada rakyat. Jangan terus tegakkan hukum kerana jika itu dilakukan rakyat akan menganggap PAS hanyalah sebuah parti hukum. Rakyat akan menganggap kamu semua tak ubah seperti taliban di afghanistan.

Mungkin kami mudah untuk faham tetapi kepada rakyat yang masih mundur tanpa sebarang maklumat di kampung-kampung itu bagaimana? Begitu juga kepada rakyat yang terlalu maju yang tinggal dibandar yang telah sekian lama meninggalkan cara kehidupan Islam? Golongan ini merupakan golongan majoroti.

Dapatkan kuasa dahulu, kemudian atur strategi untuk kekalkan kuasa. Jangan hanya berkuasa hanya sepenggal kemudian rakyat penggal kepala kamu. Lihat saja terengganu? Apa dah jadi? Apa yang PAS dapat ubah serta beri kefahaman pada rakyat terengganu? Ini yang menjadi kekuatan UMNO yang sudah berkuasa 50 tahun sehingga sukar untuk diubah pemikiran rakyat yang sudah sebati walaupun bukan perkara mustahil. Begitu juga kelantan yang sudah sebati dengan PAS.

Kami tidak memerlukan pemimpin yang terlalu alim serta mendalami segala ilmu agama, tetapi kami perlukan pemimpin yang bijaksana yang boleh mengekalkan pemerintahan seterusnya melaksanakan hukum Islam secara total hingga sebati hingga kiamat.

Wallahualam...

11/4/10 3:05 PG

Catat Ulasan