MAZLAN ALIMAN : MEMECAH KANTUNG UMNO DI JERANTUT, DITAHAN DI RAUB
Sekitar jam 7.45 pagi 10.3.2010, saya telah menerima panggilan telefon dari Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu bahawa Saudara Mazlan Aliman telah ditahan di Ibupejabat Polis Daerah Raub. Beliau tidak dapat hadir ke Raub atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Lantas pemberitahuannya itu kepada saya mungkin atas nama Timbalan PJ PAS Pahang Zon Barat (Jerantut, Lipis, Cameron Higland, Raub & Bentong) menyebabkan saya terus bergegas ke Mahkamah di Raub dan selamat sampai sekitar jam 9.15 pagi.(Gambar kiri : ketika berada dibilik menunggu sebelum ke kamar majistret)
Di perkarangan mahkamah, saya terus bertemu dengan sahabat-sahabat yang telah lama menunggu. Saya bertanya peguam yang menguruskan kesnya iaitu Saudara Mohd Haris Abdullah yang juga Ketua Cabang PKR Raub. Beliau menyatakan sekitar jam 9.30 pagi Sdr. Mazlan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman. Sementara menunggu ketibaannya saya sempat bertanya khabar susur galur peristiwa penahanan Mazlan Aliman dari saksi-saksi yang terlibat secara langsung.
Antaranya ialah seorang penduduk di Kg. Lembah Klau yang telah menjadikan Sdr Mazlan Aliman sebagai tetamunya untuk beliau berehat dan mandi manda. Mengikut ceritanya, Sdr. Mazlan telah tiba awal sekitar jam 12 tengahari. Perjumpaan dengan peneroka dijadualkan sekitar jam 3 petang. Perjumpaan hanya sekadar untuk berdialog dengan penduduk mengenai masa depan anak-anak Peneroka Felda. Dan sekitar jam 3 petang jugalah pihak polis bantuan Felda lengkap bersenjata mengawal pintu masuk ke Kg. Lembah Klau. Mereka sangka Sdr Mazlan akan tiba pada jam 3 petang sedangkan Sdr Mazlan telahpun berada di rumah salah seorang penduduk kampung.(Gambar kanan : Mazlan sedang menaiki kereta polis untuk menjalani tahanan lanjutan)
Sdr Mazlan dijadualkan berucap dan berdialog di balairaya namun balairaya telah dikunci. Akhirnya Sdr Mazlan dibawa berceramah ke sebuah rumah yang lain dan dihadiri oleh penduduk sekitar 15 orang. Satu hal yang menarik ialah cerita bagaimana pihak polis menyatakan kepada penduduk yang membenarkan Sdr Mazlan Aliman mandi manda bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya membenarkan seseorang masuk ke Felda tanpa mendapat persetujuan Pengurus Felda dan apatah lagi sekiranya mengadakan perhimpunan yang melebihi 5 orang walaupun di rumah. Amat melucukan tetapi pak cik yang tak mengaji tinggi tu pun pandai menjawab dan berkata “ini kan rumah saya. Ikut saya lah nak bawak sape. Nak berhimpun berapa ramai dan sampai pukul berapa pun, itu hak saya. Kalau semua nak lapur kepada pengurus Felda, boleh juga tetapi larat ke pengurus nak layan”. Akhirnya polis tewas dengan hujah orang kampung.
Berbalik kepada kes Sdr Mazlan ditahan, pihak peguam memaklumkan kepada saya, beliau ditahan atas pertuduhan menceroboh kawasan Felda tanpa kebenaran pengurus. Rupanya nama Sdr Mazlan (Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda) dan Wan Rahimi (peguam yang telah memenangi kes Peneroka Felda Sungai Kemahang, Kelantan lawan FELDA) telah tidak dibenarkan memasuki kawasan Felda seluruh negara.(Gambar kiri : Mazlan sedang menjamah makanan yang dibawa oleh seorang sahabat)
Mengikut kata peguam, arahan sebegitu rupa terpaksa dibuat kerana Felda adalah benteng terakhir bagi Kerajaan UMNO/BN. Seandainya peneroka sedar bahawa selama ini mereka ditipu maka dalam PRU13 nanti, BN akan tumbang. Johor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan sedikit di N9 mempunyai sejumlah peneroka yang besar. Kalau peneroka berjaya diberi ubat atau suntikan untuk memulihkan kembali ubat pelali yang telah disuntik oleh pemimpin UMNO terutama PM yang berkuasa ke atas Felda maka kita akan menyaksikan negeri-negeri tersebut akan hidup lebih aman di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan peneroka sahaja yang hidup lebih bahagia malah anak-anak mereka (generasi kedua) juga akan menikmati hidup yang lebih tersusun. Kini, peneroka hidup bagaikan dalam neraka di bawah Kerajaan UMNO/BN sehingga peneroka terus menerus dibebani dengan hutang sepanjang masa. (Gambar kanan atas : Mazlan keluar dari kamar majistret untuk menjalani tahanan selama lebih kurang 24 jam lagi)
Sebenarnya Kerajaan UMNO/BN mula gusar dengan perubahan peneroka yang mula sedar bahawa selama ini mereka ditipu oleh pemimpin UMNO. Penipuan dan penindasan ini telah didedahkan dalam Konvensyen Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan Kali 1 yang berlangsung di Dewan Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) iaitu sebuah kompleks milik PAS Jerantut pada 20.2.2010. (sila lihat dalam blog ini sedikit ulasan mengenai konvensyen tersebut). Konvensyen telah dihadiri lebih kurang 1000 orang dari seluruh negara yang turut dihadiri oleh Saudara Mazlan Aliman, Wan Rahimi dan YB Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR sebagai pembentang kertas kerja. Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana yang disertai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Tuan Ibrahim, Dato’ Seri Chua Jui Meng, Dato’ Zaid Ibrahim dan Dato’ Fauzi Rahman. Sebab itulah saya katakan bahawa kantung UMNO/BN telah dipecah di Jerantut. Sebab itu UMNO marah kerana benteng mereka yang terakhir telah hampir robek dan bersedia untuk pecah. Akhirnya salah seorang tukang pecahnya yang amat konsisten bekerja memecahnya iaitu Sdr. Mazlan Aliman, ditangkap di Raub. Sdr Mazlan telah mencatatkan penipuan Felda dan Kerajaan UMNO/BN terhadap peneroka Felda dalam bukunya bertajuk "FELDA .. Dulu Tolong Sekarang Along..". Katanya akan terbit buku kedua yang menceritakan hikayat peneroka yang boleh disifatkan sebagai 'Harimau Mati Meninggalkan Belang, Peneroka Mati Meninggalkan Hutang..". (Gambar kiri atas : Mazlan sedang makan sementara menunggu ke kamar Majistret)
Lama saya berbual dengan peguam dan sahabat-sahabat yang lain sambil menunggu kedatangan Sdr Mazlan ke mahkamah. Akhirnya beliau tiba ke mahkamah sekitar jam 11.15 pagi dalam keadaan tangannya bergari bagaikan seorang penjenayah, dan masuk ke kamar majistret pada jam 1.20 tengahari dan diputuskan tahanannya dilanjutkan selama 24 jam lagi.
Salah seorang wartawan wanita dari sebuah akhbar yang baru sampai sempat melihat Sdr Mazlan keluar dari kamar menunggu menuju ke kamar majistret dengan tangannya bergari lantas saya melihat wajah beliau sugul dan berkata ‘kenapa dia dilayan macam penjenayah’.Saya lihat air matanya bergenang di kelopak mata. Sebenarnya saya sendiri dan mungkin juga sahabat-sahabat yang lain agak tersentuh hati apabila melihat Sdr Mazlan memakan makanan yang dibawa oleh seorang sahabat dengan ber’sudu’kan penutup polistrin yang dikoyakkan. Dalam masa yang sama, saya amat mengkagumi apabila saudara Mazlan kelihatan sentiasa tersenyum seolah-olah beliau lupa bahawa anak-anak dan isterinya mungkin sedang menangis. Itulah senyuman seorang pejuang keadilan dengan melupakan tangisan orang tersayang.(Gambar kiri atas : duduk dari kiri Sdr Mohd Haris (peguam dan juga Ketua PKR Raub), Sdr. Roslan Zainal, Dr. Hamzah, Ust. Azman Syapawi, Dr. Nilam dan Hj. Suhaimi)
Sementara menunggu beliau ke kamar, saya, Sdr Roslan Zainal (SU Perhubungan PAS Pahang), Ust Syukri (Pengerusi Lajnah Peneroka PAS Pahang), Ustaz Azman Syapawi (Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat), Dr. Nilam (YDP PAS Raub) dan beberapa sahabat yang lain sempat bergambar dan seterusnya membuat sidang akhbar di mana saya diamanahkan untuk bercakap bagi pihak PAS Pahang. (Gambar kanan : Raju & YB Choong dari DAP, Dr. Hamzah dan Sdr Mohd Haris dari PKR)
Bagi saya kita amat dukacita dan kesal dengan penahanan Sdr Mazlan kerana kalau pun ada arahan tidak membenarkan beliau masuk ke kawasan Felda maka sepatutnya pihak Felda membuat notis di pintu masuk Felda di seluruh negara bahawa Sdr Mazlan Aliman dan Sdr Wan Rahimi tidak dibenarkan masuk ke kawasan Felda.
Saya juga melahirkan rasa terharu dan berterima kasih yang tidak terhingga atas sokongan rakan dari Pakatan Rakyat di mana pihak PKR telah memberi khidmat guaman percuma kepada Sdr Mazlan yang dikendalikan sendiri oleh Ketua Cabang PKR Raub, Sdr Mohd Haris Abdullah. Manakala YB. Choong dari DAP juga turut hadir ke mahkamah. Ya.. saya terharu atas sokongan mereka kerana serangan media yang mewakili UMNO/BN menggambarkan seolah-olah PR telah lemah ekoran lompatan Ahli Parlimen PKR yang berlaku mutakhir ini. Namun kehadiran mereka menggambarkan solidariti dan kaloborisasi antara anggota PR amat kuat dan utuh. Sesungguhnya kami cukup bersedia untuk mencabar BN dalam PRU13 nanti. (Gambar kiri atas : keratan akhbar cina 'Sin Chew Press, mengenai berita tangkapan Sdr Mazlan keluaran 9.3.2010)
YB Choong sempat menunjukkan kepada saya 2 akhbar cina telah memaparkan berita penahanan Sdr Mazlan pada 9.3.2010 (Selasa). Begitu bebasnya akhbar cina dan begitu bebalnya akhbar yang dimiliki UMNO yang berbahasa Melayu.
(Gambar kanan : keratan akhbar cina 'Cina Press, mengenai berita tangkapan Sdr Mazlan keluaran 9.3.2010)
Mengenai penipuan Felda, sila layari :
2 ulasan:
Good write up. Kindly link me and follow me at www.teatimewithharris.blogspot.com
15/3/10 12:34 PTGteruskan perjuangan
3/4/10 6:38 PGCatat Ulasan