MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

09 Mac, 2010

OH TUHAN... DERITANYA HIDUP PEJUANG KEBENARAN.

Iktibar Dari Kisah Said Bin 'Aamir
Said bin Aamir adalah salah seorang pemuda yang sempat menyaksikan pembunuhan yang dilakukan terhadap Khubaib Bin ‘Adiy. Pembunuhannya dibuat penuh penyiksaan di khalayak ramai. Badannya dipotong satu persatu demi memuaskan hati pemuka kafir quraisy. Dan yang lebih penting dari itu ialah tidak ada lagi orang yang mahu menganut Islam kerana takutkan penyiksaan.

Khubaib Bin ‘Adiy, Insan kerdil tetapi berjiwa mantap yang sedang diikat pada sebatang kayu berbentuk salib tiba-tiba bersuara dan berkata “Jika dibenarkan, izinkan daku untuk sujud pada Allah sekadar 2 rakaat sebelum tubuhku dirobak rabik oleh kamu semua. Selesai sahaja aku mengerjakan solat maka lakukanlah apa yang kamu semua mahu lakukan pada diriku”.

Lantas Khubaib terus menghadapkan wajahnya kepada tuhan yang sedang bersedia menyambut ketibaan ruh hambaNya yang sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Beliau mengerjakan solat 2 rakaat dengan tenang dan sempurna. Selesai sahaja solatnya beliau berkata “ Demi Allah, sekiranya tidak bimbang, kamu menyatakan bahawa aku takut kepada penyiksaan ini nescaya aku akan memperbanyakkan lagi dan memanjangkan lagi solatku ini kerana jiwa ku cukup tenang bila berbisik dengan kekasihku, Allah”.

Selesai sahaja solat, tubuh Khubaib terus dipotong satu persatu, sedikit demi sedikit semata-mata untuk menyiksa. Darah terus memercik dan mengalir yang akhirnya mengalir dengan lemah selemah tubuh Khubaib yang menerima penyiksaan kerana perjuangan Islamnya. Di kala itu, pemuka kafir quraisy bersuara dengan berkata “ Apakah engkau sudi dan bersedia menggantikan Muhammad di tempat engkau ini sedang engkau kami bebaskan!!!???

Meskipun tubuhnya telah lemah longlai, Khubaib sempat berkata “Demi Allah, aku tidak suka dan tidak redha sama sekali berada dalam keadaan aman dan bersuka ria bersama dengan anak isteriku sedangkan Nabi Muhammad dihina dan disakiti…”

Sepantas kilat, tiba-tiba pemuka kafir quraisy bertempik sehingga suaranya memenuhi angkasa dengan tempikan “bunuhlah segera, bunuhlah segera si Khubaib itu…”

Di saat itu, Said bin bin ‘Aamir yang menyaksikan bersama orang lain melihat Khubaib memandang ke langit dan terdengar suaranya yang terakhir “Ya Allah, hitunglah bilangan mereka yang sedang hendak membunuh dan mencarik-carik tubuhku ini, bunuhlah mereka semua sehingga tidak tertinggal walau seorang sekalipun..” Doanya adalah lafaz yang terakhir yang terpancut dari mulutnya sedang darahnya sudah berhenti mengalir. Tak semena-mena, datang ribut taufan sehingga membunuh sebilangan orang-orang kafir yang sedang menyiksanya.

Dari sini kita dapat lihat bagaimana tulusnya akidah Khubaib Bin ‘Adiy dalam hidup bertauhidkan tauhid yang betul bersama dengan hidayah ilahi. Cubaan seperti ini mungkin ada berlaku dalam hidup pejuang kebenaran dan keadilan di masa kini. Diri mereka diaibkan dan disiksa tanpa peri kemaknusiaan. Mereka dipisahkan bertahun lamanya dari anak isteri. Mereka difitnah dan dituduh dengan pelbagai fitnah dan tuduhan samada yang masuk akal ataupun tidak. Namun itulah ujian untuk menjadi kekasih Allah.

Seandainyalah ujian yang terpaksa dilalui maka tiadalah kemampuan untuk kita menolongnya melainkan hanya doa semata-mata sebagaimana doa Nabi saw kepada Bilal ra yang sedang disiksa dihadapanNya. Hanya secebis doa dan tutus kata penetap dan penyedap hati sahaja yang mampu Rasulullah saw ungkapkan dengan berkata tetaplah kamu wahai Bilal dengan Aha.. Ahad dan Bersabarlah. Sesungguhnya syurga sedang menggamitmu wahai Bilal.. Allahu Akbar ….

Manakala mereka yang diuji pula hendaklah sentiasa berbual dengan Allah swt menerusi Solat dan Zikir kerana dengan amalan itu, Insya Allah akan menyejukkan hati yang resah gelisah, menenangkan fikiran yang berserabut, meredakan sakit badan yang menderita malah meringankan beban siksaan yang tidak mampu ditanggung oleh insan lain melainkan mereka yang dekat dengan Allah swt dengan amalan tersebut.

(Kisah Said bin ‘Aamir akan bersambung lagi)

1 ulasan:

Unknown berkata...

Tuan, artikel ini sangat baik untuk pengajaran semua. Jika diandaikan berlaku pada zaman ini maka tahulah kita siapa quraisy dan siapa khubaib. Namun yang menyedihkan, ada dari kalangan kita yang berada di pihak quraisy. Malah pihak yang menentang quraisy pula yang disalahtafsirlan oleh setengah dari kalangan kita. Tuan perlu betul betul faham masalah ini dan sesuatu perlu dilakukan untuk memberi kesedaran demi menjaga keutuhan jemaah

9/3/10 7:13 PTG

Catat Ulasan