MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

04 Mac, 2010

YB KARPAL SINGH & YAB LIM GUAN ENG MUNGKIN MINTA LAKSANA HUDUD DI PARLIMEN JIKA …


Hudud dicetuskan oleh PAS untuk dilaksanakan dalam perundangan Negara demi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat Malaysia. Manakala UMNO/BN pula menjadikan hudud sebagai modal untuk mencetuskan suasana huru hara dalam pemikiran rakyat khususnya rakyat bukan Islam demi meraih keuntungan politiknya.

Walau bagaimanapun, perkembangan mutakhir ini, hudud bukan sahaja telah diterima oleh kebanyakan orang-orang UMNO malah ia juga telah hampir diterima oleh kebanyakan orang bukan Islam.

Apa pun, senjata UMNO yang berpelurukan Hukum Hudud ini tetap berguna bagi mengurangkan sokongan orang bukan Islam terhadap PAS/PR. Dalam PRK Kuala Terengganu sebelum ini, UMNO dengan ghairah dan pelahapnya menjaja Hukum Hudud di media massa dengan harapan orang bukan Islam tidak mengundi calon PAS. Tetapi takdir Allah swt, Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, sendiri menyatakan sokongan terhadap perlaksanaan Hukum Hudud yang dikhususkan untuk orang-orang Islam sahaja.

Walau apapun PAS harus mencari jalan supaya isu hudud ini diterima dengan lapang dada oleh orang bukan Islam. Paling tidak, biarlah pimpinan DAP terlebih dahulu memahami dan menerimanya. Kalau diimbas kembali, Pengerusi DAP YB. Karpal Singh adalah salah seorang yang masih tegas tidak menerima Hukum Hudud. Tetapi kini sudah jarang kedengaran suara negatif beliau mengenai hudud. Apa yang menarik perhatian kita ialah beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak pernah didatangi oleh pimpinan PAS untuk menerangkan kepadanya apa itu hudud. Kalau itulah kehendaknya, tak salah sekiranya ada pimpinan PAS yang berkunjung dan bersua muka dengan beliau bagi menerangkan apa itu Hudud. Tak salah juga sekiranya ianya dijemput secara resmi oleh Kerajaan Kedah atau Kelantan bagi tujuan tersebut.

Tak mustahil seandainya YB karpal Singh faham dan menerima konsep Hukum Hudud maka isu hudud ini, tidak lagi menjadi isu yang besar bahkan ianya menjadi satu keperluan yang besar dan mendesak untuk dilaksanakan. Tak mustahil juga YB Karpal Singh, YB Lim Kit Siang dan YAB Lim Guan Eng sendiri yang akan bersuara di Dewan Rakyat, yang akan mendesak Kerajaan BN supaya menyegerakan perlaksanaan Hukum Hudud. Dan aksi ini bukanlah suatu yang mustahil berlaku. Seandainya ia berlaku, ianya merupakan pukulan maut untuk pemimpin UMNO Melayu Islam.

Seperkara yang wajar untuk kita bahaskan ialah pendekatan atau bentuk persembahan kita dalam mengenengahkan Hukum Hudud ini kepada masyarakat bukan Islam. Kita menyatakan kepada mereka bahawa menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam dan jamaah / parti Islam untuk melaksanakan Hukum Hudud ini. Kalau ini pendekatan yang kita ambil nescaya kita memerlukan jangka masa yang panjang untuk melihat orang bukan Islam menerima hudud ini. Kenapa? Sebabnya mereka bukan orang Islam maka mereka tak perlu bersetuju dengan hudud yang hanya menjadi tanggungjawab orang Islam atau parti Islam. Ditambah pula dengan putar belit daripada pemimpin UMNO maka bertambah bercelaru dan kusutlah pemikiran orang-orang bukan Islam terhadap hudud.

Oleh itu, kita harus mengemukakan hudud ini dalam konteks mereka sebagai insan yang amat perlukan kepada hudud. Dalam hal ini kita harus kemukakan hikmah dan matlamat perlaksanaan hudud (Hikmah Wa Maqashid At Tasyri’). Hudud bertujuan untuk melindungi nyawa, harta, maruah, keturunan dan akal manusia.

Hukuman kepada mencuri berguna untuk mencegah manusia daripada mengambil sewenang-wenang harta yang kita cari dengan penat lelah. Ini termasuklah harta orang bukan Islam. Hukuman kepada penzina berguna untuk mencegah manusia daripada melakukan persetubuhan sesuka hati dengan mana-mana wanita atau lelaki sehingga lahirnya zuriat atau keturunan yang tidak diketahui siapakah bapa atau ibunya. Begitu juga dengan hukuman kepada pemfitnah yang berguna untuk memelihara maruah dan harga diri setiap manusia. Termasuklah juga hukuman terhadap peminum arak yang berguna menyekat peminum daripada mencederakan orang lain atau diri sendiri akibat mabuk.

Kalau begitu keadaannya, kita harus bertanya kepada orang bukan Islam apakah anda suka harta yang anda cari sekian lama dengan susah payah, tiba-tiba dicuri oleh orang? Apakah anda suka isteri atau anak perempuan atau ibu dan saudara perempuan anda disetubuhi sesuka hati oleh orang? Apakah anda suka diri anda difitnah dengan rakus oleh pemfitnah? Apakah anda suka diri anda dicederakan oleh mereka yang mabuk kerana minum arak?

Kalau anda tidak suka kepada itu semua, kenapa pula anda tidak suka kepada satu hukuman kepada mereka yang melakukan perkara yang paling anda tidak suka itu? Apakah anda tidak suka kerana anda berfikir bahawa hukum hudud adalah hukum yang zalim? Kalau itu yang anda fikirkan, tak terfikirkah anda bahawa orang yang mencuri wang anda adalah seorang yang zalim? Tak terfikirkah anda bahawa orang yang bersetubuh dengan isteri tersayang anda itu dan jua anak-anak perempuan kesayangan anda adalah teramat zalim.? Tak terfikirkah anda bahawa orang yang memfitnah atau menuduh anda yang bukan-bukan itu adalah seorang yang zalim?

Kalau ada yang masih lagi tidak setuju dengan hudud maka mungkin mereka adalah terdiri daripada salah satu daripada 2 golongan iaitu :

1. Anda adalah seorang yang suka harta dan wang ringgit anda dicuri orang. Anda juga adalah seorang yang tidak kesah sekiranya anak bini anda disetubuhi orang. Anda juga tidak kesah sekiranya anda difitnah orang sehingga maruah anda tercemar. Anda juga tidak kesah sekiranya peminum arak yang mabuk, datang mencederakan anda atau keluarga anda.

2. Anda adalah seorang yang terlibat dengan perbuatan keji itu. Mungkin juga anda adalah seorang pencuri, penzina atau tukang fitnah atau kaki botol. Kenapakah pemimpin UMNO/BN tidak suka kepada hudud? Apakah kerana mereka kebanyakannya terdiri daripada pencuri wang rakyat atau penzina dengan isteri orang atau anak dara orang atau pemfitnah atau peminum arak?

Secara logiknya pula orang bukan Islam tidak perlu takut dengan hukum hudud kerana hukuman ini hanya dikenakan kepada Orang-orang Islam sahaja. Dari sudut kira-kira mudah, sekiranya hukuman hudud ini dilaksanakan di Malaysia, Insya Allah jumlah dan bilangan pencuri dan penzina akan berkurang kerana takutnya mereka kepada kehebatan hukuman hudud ini. Cuba bayangkan satu andaian, di mana sekiranya di Malaysia terdapat 1000 orang pencuri dan penzina. 500 orang daripadanya adalah pencuri dan penzina berbangsa Melayu dan beragama Islam. Katakan dari 500 orang itu, hanya 400 orang yang meninggalkan kerja jenayah tersebut dek kerana perlaksanaan hudud. Ini bermakna pencuri yang berbaki ialah seramai 600 orang lagi.

Apa kata kalau dibuat satu lagi undang-undang bahawa mana-mana lelaki atau wanita bukan Islam yang berzina dengan orang Islam atau mencuri harta orang Islam maka mereka akan dikenakan hukuman hudud sepertimana dikenakan kepada orang-orang Islam. Pengecualian hanya dikenakan kepada mereka yang berzina sesama bukan Islam atau mencuri harta orang bukan Islam sahaja. Seandainya undang-undang ini dikuatkuasakan maka para pencuri dan penzina hanya akan berlaku berleluasa di kalangan orang bukan Islam sahaja. Di kala itu, saya yakin orang-orang bukan Islam akan terfikir bahawa kehidupan mereka berada dalam keadaan tidak selamat. Kecurian dan perkosaan hanya berlaku dan berligar di kalangan mereka sahaja. Harta mereka tidak selamat dari kecurian. Anak isteri mereka serta keluarga mereka dari kaum wanita juga tidak selamat. Di saat itu mereka akan terfikir bahawa betapa hebatnya undang-undang Islam lantas demi menjaga harta, maruah dan kehormatan anak isteri mereka maka dengan penuh yakin kepada kewibawaan hukum Islam, maka tak mustahil Yang Berhormat yang terdiri daripada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng akan bersuara di Perlimen menuntut supaya dilaksanakan Hukum Hudud untuk semua rakyat Malaysia.

Pendekatan dan pendedahan logik seperti ini amat perlu diketengahkan kerana ianya lebih mudah untuk difahami oleh orang bukan Islam tentang Hukum Hudud jika dibandingkan dengan pendekatan ‘melaksanakan kewajipan Islam’. Pendekatan logik, mengenengahkan hikmah dan tujuan perlaksanaan hudud seperti ini mungkin boleh membantu orang bukan Islam menerimanya dengan rela hati atas dasar untuk menjaga kepentingan harta, maruah dan kehormatan diri dan keluarga mereka sendiri serta masyarakat awam. Mereka tidak lagi memandang hudud ini sebagai satu tuntutan dalam ajaran Islam semata-mata tetapi ia memandangnya sebagai suatu keperluan.

Alangkah indahnya pendekatan logik seperti yang pernah diketengahkan oleh Rasulullah saw ketika seorang lelaki datang meminta izin untuk berzina. Lalu Nabi saw menjawab, sukakah engkau sekiranya orang berzina dengan isteri atau emak atau anak perempuan atau saudara perempuan engkau. Jawabnya tidak suka. Lantas Nabi menjawab, begitulah juga dengan orang lain. Mereka juga tidak suka sekiranya engkau berzina dengan isteri, atau emak atau anak perempuan atau saudara perempuan mereka. Jawapan Nabi saw telah menyedar dan mengetuk pintu hati lelaki tersebut. Nabi saw tidak menjawab dengan menggunakan hujah agama kerana lelaki yang ingin berzina tentunya tidak kuat pegangan agamanya.

Pendekatan yang sama juga digunakan oleh Imam Abu Hanafiah di mana suatu hari seorang ethis yang tidak percaya kepada kewujudan tuhan telah bertanya kepada beliau dengan suatu soalan yang cukup sukar untuk dijawab. Ethis tersebut bertanya ‘Wahai Imam, engkau menyeru dan mengajak orang supaya beriman kepada Allah kerana dakwaan kamu Allah itu wujud. Kalau itulah dakwaan kamu, apakah kamu pernah lihat tuhan kamu itu, pernahkah kamu pegang tuhan kamu, pernahkah kamu cium tuhan kamu dan pernahkah kamu rasa tuhan kamu itu. Kerana semua benda yang wujud itu tentunya boleh dilihat, dipegang, dicium dan dirasa.

Imam Abu Hanifah tidak menggunakan hujah agama. Beliau tidak membaca Surah Al Ikhlas sebagai hujah kerana ethis memang tidak percaya kepada Allah swt, termasuklah juga dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt seperti ayat al quran dan juga hadis Nabi.

Imam Abu Hanifah telah menjawab dengan suatu jawapan yang penuh provokasi tetapi terselit dicelahnya suatu jawapan yang meyakinkan hati. Beliau bertanya kepada ethis tersebut dengan soalan provokasi, apakah engkau ada akal atau engkau seorang yang gila. Ethis menjawab dengan marah, aku seorang yang berakal. Aku masih ada akal. Kalau engkau menyatakan engkau ada akal, apakah engkau pernah lihat akal engkau, pernahkah engkau pegang akal engkau, pernahkah engkau cium akal engkau dan pernahkah engkau rasa akal engkau.?

Mendengar jawapan balas dari Imam Abu Hanifah itu, si ethis terdiam lalu Imam Abu Hanifah terus mengunci akal ethis tersebut dengan berkata, jangan engkau fikir semua yang ada di dunia ini boleh dilihat, dipegang, dicium dan dirasa. Ya! Banyak perkara yang wujud di dunia seperti oksigen, aliran letrik, gelombang dan seumpamanya, tidak boleh dilihat, dipegang, dicium dan dirasa. Namun begitu kita tetap mengakui kewujudannya.

Kesimpulannya, uslub atau pendekatan logik amat wajar diketengahkan oleh pendakwah untuk meyakinkan mereka yang kurang yakin dengan Islam atau mereka yang tidak beriman dengan Islam iaitulah orang-orang bukan Islam. Mudah-mudahan mereka dapat menerima Islam yang dibawa oleh Jamaah Islam ini tanpa pra-sangka atau prejudis.

Wassalam.

1 ulasan:

Jebon berkata...

Salam ustaz...

Oleh itu, untuk melaksanakan agenda Islam seperti yang tersebut di atas, maka PAS perlukan seorang pemimpin yang BIJAKSANA. Buka sekadar alim atau ulama, tetapi mestilah seorang yang bijaksana yang tahu bagaimana untuk memperhalusi emosi seseorang yang dipanggil hardcore.

Persoalannya... adakah kebijakan tersebut dimiliki oleh pemimpin PAS yang ada sekarang? Sedangkan orang Islam sendiri tidak memahami dengan begitu mendalam tentang kebaikan Islam, inikan pula orang bukan Islam.

PAS perlu tekankan pendekatan dakwah secara bijaksana dan menyeluruh. Berdakwahlah secara rasional buka emosional dengan lembut serta tidak dengan paksaan. Saya pernah mengikuti pengajian agama yang mengatakan berdakwah perlu dilakukan dengan lemah lembut kerana kita ingin memujuk bukan memaksa. Gunakan fakta apabila berhujah bukan hanya dengan menyatakan yang ini HARAM, yang ini HALAL sedangkan kebanyakan rakyat tidak tahu kenapa ia haram/halal.

Rakyat terbanyak tidak mengikuti usrah yang dianjurkan oleh PAS. Jadi pemimpin perlu fikirkan apakah pendekatan yang sesuai untuk menyampaikan ilmu buat manfaat kepada rakyat terbanyak. Jangan paksa bukan Islam menerima Islam tetapi adakan pendekatan berdakwah secara sopan (memujuk) iaitu tunjukkan Islam itu baik. Hidayah Allah tidak datang dengan cara paksaan. Pemimpin PAS kerap kali memberi alasan tentang sekatan yang dikenakan seperti ceramah agama serta tauliah yang menyebabkan ilmu Islam tidak dapat dikembangkan. Itu cuma alasan untuk ulama yang tidak kreatif serta tiada karisma.

Ilmu Islam adalah ibarat air sungai yang sedang mengalir, walau disekat macam mana sekali pun ia akan tetap mengalir.

Kami rakyat terbanyak sangat dahagakan ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh kami semua serta dikembangkan kepada generasi yang akan datang.

Wallahualam...

4/3/10 3:27 PTG

Catat Ulasan