MAKLUMAN

Blog ini dibina pada 1/1/2010 dan diaktifkan pada 1/2/2010.

Sekian terima kasih.

26 Mac, 2010

PAS, PKR & DAP TAK KUAT ..???

Saya ingin memperlihatkan di sini bahawa parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah parti yang lemah sebagaimana lemahnya parti-parti yang bernaung di bawah payung Barisan Nasional (BN). Lemah yang saya maksudkan di sini ialah lemah dari sudut kemampuan menumbangkan lawan antara satu sama lain khususnya dalam setiap pilihanraya yang telah berlalu. Namun kekuatan terserlah apabila parti-parti bersatu atas nama PR.

Cuba kita lihat beberapa unsur kekuatan PAS yang boleh kita banggakan (selain daripada kekuatan dalaman seperti iman dan seumpamanya), tetapi ia tetap lemah dan tak mampu menumpaskan BN.

1. PAS telah melalui suatu zaman dan keadaan di mana apabila diadakan ceramah maka PAS dapat menghimpunkan sejumlah pendengar yang cukup luar biasa. Bahkan bila diadakan kutipan derma PAS mampu mengumpul sejumlah wang melebihi RM10,000 setiap kali diadakan ceramah. Kalau diadakan pertandingan dalam konteks kemampuan menarik pendengar teramai dan kemampuan mengumpul kutipan derma terbanyak maka PAS mampu menjadi juara secara hatrick bahkan hatricknya mungkin akan berganda-ganda. Jadi, kemampuan menarik orang ramai untuk mendengar penjelasan isu-isu semasa dan mengumpul wang kutipan derma adalah salah satu kekuatan yang ada pada PAS. Kekuatan itu pula banyak bergantung kepada kemampuan pemidato PAS dalam mengenengahkan isu-isu penyelewengan UMNO/BN yang terlalu banyak seperti isu BMF, Memali dan seumpamanya.Namun PAS tetap gagal dalam memenangi hati rakyat untuk menumpaskan BN walaupun mempunyai kekuatan ini.

2. PAS juga mempunyai kekuatan jentera dengan bilangan cawangan yang cukup banyak. Jumlah cawangan PAS hampir mampu menandingi jumlah cawangan UMNO. Kekuatan jentera dengan jumlah cawangan yang banyak ini menyebabkan ahli dan pimpinan PAS merasai bahawa kita adalah parti yang kuat. Tak salah kalau dikatakan bahawa akar umbi juga terpedaya dan tertipu dengan kekuatan ini sehingga sukar untuk menerima hakikat ‘berkongsi kerusi’ dengan rakan PR terutama DAP dan PKR. Disebabkan perasaan ‘terasa kuat’ dek kerana jentera dan cawangan yang banyak inilah maka ahli bawahan meminta agar semua kerusi di kebanyakan kawasan parlimen samada kerusi parlimen atau DUN, ditandingi oleh PAS. Kalau letak calon selain PAS maka mereka tak berminat untuk bekerja memenangkan parti lain yang diamanahkan untuk bertanding. Aksi ini telah menyebabkan Mursyidul ‘Am PAS, Tok Guru Nik Aziz pernah melontarkan kata-kata hikmatnya dengan berkata ‘Kita jangan kedekut, parti lain pula jangan tamak’.

Dalam keadaan PAS begitu terpesona dengan kekuatan ini, PAS terus kecundang dalam setiap pilihanraya yang telah dilalui sejak sekian lama hingga terbentuknya PR. Maksud kecundang di sini ialah gagal membentuk kerajaan.

Hal yang sama turut di rasai oleh DAP yang merupakan parti yang agak lama wujud dipersada politik tanahair. Kalau nak dibahas, DAP adalah sebuah parti yang tidak banyak cawangan tetapi ia mampu meraih kemenangan cemerlang sehingga mereka berjaya menempatkan parti mereka sebagai Ketua Pembangkang untuk tempoh yang agak lama. Di Jerantut, DAP hanya ada 1 cawangan.

Pada Tahun 2004, DAP bertanding di DUN Damak tetapi kalah dengan majoriti yang kecil iaitu 2239 (BN memperolehi 7563 undi & DAP memperolehi 5324 undi). Pada Tahun 2008, ada calon bebas bertanding di DUN Damak. Mengikut kata calonnya, Cikgu Koh, dia tiada jentera. Jenteranya hanya diwujudkan sehari sebelum penamaan calon. Tetapi, Cikgu Koh dapat lebih 3295 undi, calon PKR dapat lebih 5165 undi dan calon BN 5674 undi dan menang dengan kelebihan 509 undi. Tennyata dari contoh di atas, kekuatan jentera dan cawangan yang banyak bukanlah kekuatan mutlak untuk menang dalam pilihanraya.

Berbeza pula dengan PKR di mana kelahiran mereka terus disambut oleh abang-abang yang terdiri dari PAS dan DAP. Adik yang baru lahir dengan usianya yang masih muda menjadi kuat kerana mereka akur bahawa mereka adalah adik yang baru lahir lalu mereka terus bergabung bersama abang-abang mereka iaitu PAS & DAP. Mereka dibantu dan mereka membantu abang-abang mereka untuk menundukkan musuh mereka bersama yang jahat iaitulah UMNO/BN.

Walaupun PKR dianggap adik yang baru lahir tetapi ia lahir di zaman yang serba canggih terutama kecanggihan alam maya dengan kemudahan internet. Macam adik-adik zaman sekarang juga. Mereka lebih bijak dari abang-abang mereka kerana suasana sekarang adalah suasana dunia cyber.

Adik yang bernama PKR ini mempunyai kepantasan menguasai ilmu politik kerana mereka adalah bekas-bekas ahli politik. Cuma parti mereka sahaja bertaraf adik. Banyak perkara yang tidak ada pada abang-abang tetapi ada pada adik ini. Begitu juga banyak kelebihan yang ada pada abang-abang ini yang tidak ada pada adik PKR. Adik ini mampu membongkar kejahatan dan kebusukan UMNO agar rakyat benar-benar dapat mencium dan mengesahkan bahawa UMNO memang jahat dan busuk. Adik ini pula memiliki seorang pejuang yang mampu mencipta gelombang walaupun terpaksa merelakan dirinya untuk terseksa.

Gelombang yang pertama yang tercipta dari pejuang ini telah menghasilkan sebuah lagi kerajaan PAS di Terengganu pada Tahun 1999. Pada waktu itu, beliau terseksa di penjara. Namun pada tahun berikutnya iaitu Tahun 2004, parti politik pembangkang dilihat berpecah dan tak kemas. Bila berpecah maka jadilah kita lemah. Bila lemah, kita kalah lalu tumbang satu negeri dan hampir tewas satu kerajaan negeri dengan hanya kelebihan 1 undi.

Pada Tahun 2008 PR rakyat menghadapi PRU 12 dengan gabungan yang cukup kuat walaupun tidak mantap dek usia gabungannya yang masih mentah. Natijahnya kita menang bergaya sehingga 5 negeri berada dalam genggaman PR. Itulah berkat dan berkuasanya bila kita bergabung atau bersatu. Apa kata kalau gabungan itu dijaga dan bajai sebaik mungkin untuk mendepani hari-hari muka. Yakinlah bahawa satu yang luar biasa akan berlaku dalam PRU 13 nanti. Allah swt tidak teragak-agak untuk menolong orang yang bersatu. Bukankah Nabi saw telah menyatukan orang-orang kafir di Madinah setelah berlakunya peristiwa hijrah? Penyatuan itu membentuk satu kekuatan untuk sama-sama mempertahankan kota Madinah dari serangan musuh.

Kalau diimbas kembali sejarah kemenangan PAS di Kelantan pada Tahun 1990 sehingga menang 39-0, kita akan dapati kemenangan itu juga dianugerahkan Allah swt dengan sebab bersatu dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang bergabung di dalamnya Semangat 46.

Oleh yang demikian, saya ingin rumuskan bahawa 3 ketumbukan pasukan iaitu PAS, PKR dan DAP hanya akan kuat sekiranya mereka menyatukan segala kelebihan dan kekuatan ke dalam satu pasukan yang telah dinamakan sebagai pasukan Pakatan Rakyat. Kalau 3 ketumbukan yang masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan ini membentuk satu ketumbukan yang bernama PR maka Insya Allah, kita akan menyaksikan satu perubahan yang besar akan berlaku dalam PRU 13 nanti.

PAS mempunyai kekuatan jentera dan cawangan yang banyak bergabung dengan PKR yang mempunyai kemampuan mencipta gelombang manakala DAP pula mempunyai kekuatan sokongan Kaum Cina maka jadilah kita sebuah ketumbukan yang kuat. Pastinya BN mampu ditewaskan. Orang yang merasakan kekuatan itu hanya ada pada jentera atau petugas semata-mata samalah seperti orang memiliki ‘handphone’ semata-mata. HP tetap tidak berguna selagi tidak ada gelombang. Maka HP hendaklah bergabung dengan gelombang, barulah ada gunanya.

Benarlah di pihak PAS apabila pimpinannya membuat keputusan untuk bergabung dan berpakat dengan PKR dan DAP. Cuma, pimpinan PAS harus memperturunkan kefahaman kepada petugas di peringkat cawangan, mengenai peri pentingnya kita berpakat dalam PR dalam usaha menumbangkan BN dala PRU 13 nanti demi mencari keadilan dan kebenaran hidup berasaskan Islam.Semuga Allah swt merahmati dan terus memberi petunjuk serta pertolongan kepada pimpinan PAS.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Ustaz Dr,

Perpaduan masyarakat adalah satu aspek yang besar. Ianya tidaklah boleh dilihat dalam aspek poltik semata-mata. Hanya tatkala berhadapan dengan UMNO/BN sahaja barulah kita hendak berpadu. Isu ini serius. Ianya hendaklah dimanifestasikan melalui tata cara dan kehidupan seharian.

Langkahnya perlu dimulakan sejak dari usia kecil lagi. Pemecahan sekolah mengikut komposisi kaum adalah satu kelemahan Malaysia yang terbesar. Kita ada Sek. Kebangsaan yang majoritinya melayu, SJK(C)untuk kaum cina, SJK(T) untuk kaum india.Untuk apa semua ini?

Di seluruh dunia, setiap negara masing2 hanya ada satu sistem persekolahan yang menggunapakai bahasa ibunda sebagai perantara sistem kecuali negara2 yang dijajah sahaja yang menggunapakai dwibahasa.

Bagi saya, kepompong ini yang utama sekali perlu dipecahkan. Inilah sebabnya kenapa perpecahan kaum berlaku. Aneh dan hairan, memiliki kewarganegaraan Malaysia namun tidak fasih berbahasa Melayu.Guru-guru juga mudah menghasut anak2 kecil tentang persepsi negatif terhadap kaum lain. Tiada semangat cintakan negara sebaliknya Race Superiority juga disuburkan.

Anak Melayu mengutuk kaum Cina &India di Sek. Kebangsaan, Anak cina mengutuk Melayu di SJK(C), anak India mengutuk Melayu di SJK(T). Kerana itulah sifir yang mengatakan 'melayu itu malas dan bodoh, Cina itu licik dan kiasu, India itu bangsa pariya' akan sentiasa dilagukan. Jangan dinafikan kerana itulah hakikatnya.

Begitulah kitarannya selama Malaysia ada di bumi ini. Tiada kesudahan.....

Kita perlu letakkan titik noktahnya di SINI!.

Saya mengharapkan ada individu dalam PR yang berani mengubah sistem penghancur negara ini. Untuk merealisasikannya, ada beberapa langkah yang perlu diambil Pakatan Rakyat:

1) Setiap sekolah digabung dan hanya satu sekolah sahaja untuk semua kaum. Sekolah jenis kebangsaan perlu dihapuskan secara mutlak. Segala urusan pentadbiran dan bahasa rasmi hendaklah di dalam bahasa kebangsaan.
2)Untuk menjamin setiap kaum tidak akan hilang identiti dan budayanya, setiap pelajar harus mengikuti subjek bahasa & budaya mengikut jenis kaumnya.
3) Untuk menjamin agama masing2, setiap pelajar diwajibkan mengikuti kelas pengajian agama mengikut agama ibu bapa mereka.
4) Perlu juga ada subjek khas iaitu "Budaya&Tatasusila Malaysia'. Melaluinya konsep toleransi antara agama dan kaum diperkenalkan. Setiap kaum perlu memahami budaya&adat resam kaum yang lain.

Langkah2 ini akan mengundang halangan daripada kumpulan ekstremis dan pelampau kaum, namun di sinilah pakatan perlu bertindak pintar. Bagi saya, DEB adalah cagarannya. Jika mereka mahu berdaya saing dan menghapuskan DEB, hapuskan juga sekolah2 jenis kebangsaan ini.

Mungkin ada yang memberi alasan, seluruh langkah ini hanya boleh direalisasikan dengan PR menjadi kerajaan. tetapi sebagai langkah awal, PR perlu perkenalkan 'Sekolah Model Malaysia' untuk masa depan.

Radzi Ahmad.

26/3/10 10:56 PTG
Tanpa Nama berkata...

Tanya la DAP adakan Mereka sanggup menghapuskan SJK(c)???

2/4/10 2:35 PTG

Catat Ulasan